Rabu, 27 Julai 2022 | 7:53pm
Gosip Idan dan Mia disalah erti apabila gambar makan bersama dimuat naik dalam Instagram. - Foto IG Idan Aedan
Gosip Idan dan Mia disalah erti apabila gambar makan bersama dimuat naik dalam Instagram. - Foto IG Idan Aedan

Idan, Mia Sara reka gimik kisah cinta?

KUALA LUMPUR: Pelakon remaja, Idan Aedan, 18, menafikan gosip cinta bersama Mia Sara Nasuha sengaja cipta gimik demi melariskan filem.

Pemilik nama penuh Muhammad Shahidan Abdullah menegaskan, hubungannya dengan pelakon filem Papa I Love You itu hanya sekadar kawan.

Idan berkata, gosip itu disalah erti segelintir netizen hingga mengundang spekulasi kurang tepat.

"Timbul salah faham disebabkan saya memuat naik gambar ketika makan bersama Mia dalam Instagram. Namun, pengurus ada bersama.

"Biasalah, pasti timbul gosip apabila memuat naik gambar berdua. Sedangkan, orang luar tak tahu cerita sebenar.

"Jujurnya, ini juga bukan gimik melariskan drama atau filem lakonan. Saya dan Mia tak pernah keluar berdua jika bukan soal kerja," katanya kepada BH Online.

Idan mengakui Mia Sara memiliki kriteria gadis idamannya dalam kenyataannya sebelum ini. - Foto IG Mia Sara Nasuha
Idan mengakui Mia Sara memiliki kriteria gadis idamannya dalam kenyataannya sebelum ini. - Foto IG Mia Sara Nasuha

Terdahulu, Idan ditemui pada majlis pelancaran filem Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd, baru-baru ini.

Idan turut menjelaskan hubungannya dengan Mia seperti selepas kekecohan berlaku.

"Lepas kecoh gosip keluar, hubungan kami masih okay. Tiada apa, bergaduh pun tidak, malah, Mia sangat memahami.

"Dia pun sudah lama bergelar pelakon, jadi, memahami gosip pantas bertebaran walaupun kami hanya kawan," katanya.

Idan berkata, dia enggan larut dengan gosip dan perkara tidak perlu ketika usia pembabitan dalam dunia seni masih hijau.

"Sekarang bukan masa fokus hubungan cinta. Banyak perlu saya kejar terutama melonjakkan nama dan kerjaya seni.

"Saya tahu ada peminat kecewa apabila gosip ini bertebaran. Namun, saya sudah menjelaskan kepada pengikut dalam IG.

"Hubungan saya dan Mia sekadar berkawan. Saya pun tiada niat lebih daripada itu," katanya yang masih solo.

Idan enggan larut dengan gosip dan perkara tidak perlu ketika usia pembabitan dalam dunia seni masih hijau. - Foto IG Idan Aedan
Idan enggan larut dengan gosip dan perkara tidak perlu ketika usia pembabitan dalam dunia seni masih hijau. - Foto IG Idan Aedan

Menerusi kenyataan Idan sebelum ini, dia mengakui Mia Sara memiliki kriteria gadis idamannya. Antaranya, pandai bergurau dan boleh menjadi pendengar setia.

Filem Anak Rimau The Movie arahan Areel Abu Bakar sepatutnya menemui penonton pada 2020, namun, disebabkan penularan pandemik COVID-19, penerbit menangguhkan niat membawa naskhah berkenaan ke pawagam.

Filem menelan belanja RM5.5 juta itu turut mendapat tajaan pakaian sukan dari gedung Al Ikhsan.

Ia dihasilkan menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD).

Selain Idan, filem Anak Rimau The Movie dibintangi Beto Kusyairy, Azhan Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Megat Sharizal, Mustaqim Bahadon dan ramai lagi.

Lagu tema, Pentas Dunia ciptaan Bajai dan lirik nukilan Amylea Azizan dinyanyikan barisan pelakon muda seperti Idan, Kechikimi, Hanz Skelchy, Omar Daanyal, Joel Low dan Hakeem Sufian.

Berita Harian X