Selasa, 26 Julai 2022 | 1:06pm
Untuk membezakan karakter peguam dan penipu genius, Lee Jong Suk memberi kelainan secara halus menerusi pandangan serta cara pertuturan. - Foto AGENSI
Untuk membezakan karakter peguam dan penipu genius, Lee Jong Suk memberi kelainan secara halus menerusi pandangan serta cara pertuturan. - Foto AGENSI

Emosi Lee Jong Suk bawa watak peguam, penipu genius

KUALA LUMPUR: Selepas kali terakhir menjayakan drama Romance is a Bonus Book, tiga tahun lalu dan menamatkan latihan ketenteraan, pelakon K-Drama popular, Lee Jong Suk kembali menerusi drama baharu, Big Mouth.

Jong Suk menghidupkan watak sebagai peguam kelas ketiga, Park Chang Ho yang mempunyai kadar kejayaan sangat rendah iaitu 10 peratus. Chang Ho dikatakan tidak mempunyai kemahiran, sebaliknya hanya pandai bercakap.

Bagaimanapun, kejadian tidak diduga, Chang Ho akhirnya perlu bertanggungjawab dalam kes pembunuhan, sekali gus mengubahnya sebagai penipu genius dikenali 'Big Mouse' dengan menerima banyak serangan misteri.

Demi melindungi diri dan keluarga, Chang Ho berusaha membongkar konspirasi besar orang atasan.

Digandingkan bersama aktres dan ahli kumpulan Girls' Generation, YoonA, pelakon berusia 33 tahun itu berkongsi, dia menerima tawaran berikutan kepercayaan dan persahabatan yang terjalin bersama pengarah, Oh Choong Hwan.

Menerusi laporan portal K Drama Star, Jong Suk memuji kemampuan Choong Hwan yang berjaya menghasilkan drama fenomena seperti My Love From The Star, Doctors, While You Were Sleeping, Hotel del Luna dan Start-Up.

"Choong Hwan mahu kami berseronok dan bekerjasama seperti sebelum ini. Jadi, saya memutuskan untuk menyertai pasukan produksi drama ini," katanya.

Lee Jong Suk dan YoonA membawa watak suami isteri dalam drama Big Mouth. - Foto AGENSI
Lee Jong Suk dan YoonA membawa watak suami isteri dalam drama Big Mouth. - Foto AGENSI

Jong Suk percaya menerusi transformasi watak dibawakan dalam drama Big Mouth akan memperlihatkan sisi lakonan berbeza.

"Saya merasakan memperlihatkan sisi lain menerusi karakter Chang Ho yang bergelut antara kebaikan dan kejahatan untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Terdahulu, Jong Suk bekerjasama dengan Choong Hwan menerusi drama fantasi romantik, While You Were Sleeping bersama pelakon, Bae Suzy dan Jung Hae In pada 2017.

Selepas lima tahun, Jong Suk dan Choong Hwan bergabung menerusi siri terbitan stesen televisyen, MBC yang akan ditayangkan pada 29 Julai ini.

Menerusi laporan portal Soompi, aktor yang pernah mencetuskan fenomena menerusi drama Doctor Stranger dan Pinocchio itu berkata, dia melihat Chang Ho adalah karakter biasa, tetapi menyedihkan.

Namun, katanya, perspektifnya terhadap Chang Ho berubah selepas selesai penggambaran.

"Nampak seperti watak biasa, tetapi saya percaya karakter dan jalan cerita cukup kuat. Saya harap penonton akan faham maksud 'kuat' selepas menonton drama ini.

"Chang Ho dikenali peguam 'mulut besar' dan 'penipu genius' dianggap Big Mouse. Untuk membezakan antara dua karakter, saya cuba memberi kelainan secara halus menerusi pandangan dan cara pertuturan.

"Sama ada peguam atau penipu genius, Chang Ho adalah orang sama, tetapi mempunyai matlamat serta emosi berbeza.

"Saya berfikir panjang bagaimana mahu menggambarkan emosi bersesuaian dalam situasi dua karakter," katanya.

Lee Jong Suk percaya menerusi transformasi watak Chang Ho dalam drama Big Mouth akan memperlihatkan sisi lakonan berbeza. - Foto AGENSI
Lee Jong Suk percaya menerusi transformasi watak Chang Ho dalam drama Big Mouth akan memperlihatkan sisi lakonan berbeza. - Foto AGENSI

Aktor diangkat pemenang trofi utama, Daesang menerusi Korea Brand Stars itu berkata, Chang Ho adalah watak dipenuhi darah, peluh dan air mata.

"Untuk mencari nafkah dan terus hidup, Chang Ho bangkit berdepan pertempuran hidupnya.

"Dalam drama Big Mouth, semua karakter saling berkait dan dijalinkan secara rumit. Saya berharap penonton memberi tumpuan kepada niat sebenar watak-watak ini dan kebenaran tersembunyi di sebalik konflik berlaku.

"Saya percaya penonton akan menunggu setiap episod dengan perasaan teruja memandangkan ia adalah naskhah drama yang kuat," katanya.

Selain Jong Suk dan YoonA, drama Big Mouth juga dibarisi oleh Kim Joo Hun, Ok Jang Yeon, Yang Kyung Won dan Kwak Dong Yeon. - AGENSI

Berita Harian X