Selasa, 26 Julai 2022 | 11:23am
Meskipun berdepan krisis rumah tangga, Puteri Sarah tetap bersikap profesional memberi penghargaan berdasarkan pengalaman menyaksikan kepayahan Syamsul ketika menyiapkan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. - NSTP/Rohanis Shukri
Meskipun berdepan krisis rumah tangga, Puteri Sarah tetap bersikap profesional memberi penghargaan berdasarkan pengalaman menyaksikan kepayahan Syamsul ketika menyiapkan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. - NSTP/Rohanis Shukri

Puteri Sarah ucap tahniah atas kerja keras Syamsul

PETALING JAYA: Pelakon Puteri Sarah Liyana mengucapkan tahniah kepada suaminya, Syamsul Yusof atas kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahannya meraih kutipan RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di pawagam.

Meskipun berdepan dengan krisis rumah tangga, Puteri Sarah, 37, tetap bersikap profesional memberi penghargaan berdasarkan pengalamannya menyaksikan perjuangan dan kepayahan Syamsul ketika menyiapkan filem itu.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Syamsul dan pasukan produksi filem Mat Kilau kerana ketika penggambaran saya sedang mengandungkan anak kedua, Sumayyah. Saya datang ke lokasi untuk memberikan sokongan.

"Saya tahu bagaimana proses penggambaran dilakukan, ada masalah di set dan ketika proses suntingan dibuat, kita dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jadi, berbanyak tahniah diucapkan terutama kepada kru yang dirasakan paling penat sekali," katanya kepada BH Online.

Puteri Sarah percaya selain kerja keras, kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan juga dibantu doa orang sekeliling. - NSTP/Rohanis Shukri
Puteri Sarah percaya selain kerja keras, kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan juga dibantu doa orang sekeliling. - NSTP/Rohanis Shukri

Mengulas lanjut, pelakon drama rantaian Sabarlah Duhai Hati ini menyifatkan selain kerja keras, kejayaan filem itu juga dibantu oleh doa orang sekeliling.

"Alhamdulillah, tahniah juga kepada penerbit filem ini, Studio Kembara Sdn Bhd kerana diberikan rezeki untuk mendapat kutipan RM90 juta.

"Ini juga kerana ramai orang mendoakan kejayaan filem ini," ujarnya ketika ditemui pada majlis Meet & Greet yang menyaksikannya dilantik sebagai Face Of Inayah Beauty diadakan di Bandar Utama.

Diusik pertanyaan apakah bakal menerima tempias dengan kejayaan filem Mat Kilau, Sarah berkata, perkara itu hanya akan jadi kenyataan jika penerbit filem itu.

"Kalau pemilik Studio Kembara, mungkin saya akan dapat," ungkap wanita ini sambil ketawa.

Terdahulu, Syamsul menerusi hantaran Instagram (IG) memaklumkan filem epik mega itu meraih kutipan jualan tiket sebanyak RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Dengan data baru itu, Syamsul memaklumkan filem Mat Kilau menjadi filem pecah panggung dengan kutipan tertinggi bagi kategori tempatan dan antarabangsa selepas Munafik 2 dan Avengers: End Game.

Berita Harian X