Sabtu, 23 Julai 2022 | 11:00am
Drama Honey-Moon menyaksikan Zara bergandingan dengan Ben Amir yang memegang watak Ilham. Foto Ihsan TV3
Drama Honey-Moon menyaksikan Zara bergandingan dengan Ben Amir yang memegang watak Ilham. Foto Ihsan TV3

Macam dalam sauna - Zara Zya

KUALA LUMPUR: Kira-kira dua dekad lalu aktres Erra Fazira pernah disolek dan menggunakan kostum khas untuk membawa watak gadis montel dalam filem Cinta Kolesterol.

Ketika ditemu bual, Erra berkongsi betapa sengsara setiap kali memakai baju khas itu, selain perlu mengambil masa berjam-jam untuk ditata rias bagi menampakkan wajah tembam.

Pengalaman dilalui pelakon jelita itu kini dirasai dramatis, Zara Zya yang melakonkan watak gadis berbadan gempal, Moon dalam drama bersiri untuk siaran slot Lestary, TV3 berjudul Honey-Moon.

Bukan sahaja menempuh cabaran membawa watak komedi, malah karakter itu memerlukan kesabaran tinggi kerana terpaksa menahan panas selepas menyarung baju khas itu.

"Bukan mudah melakonkan watak komedi. Untuk buat orang ketawa dengan lawak jenaka kita sangat susah. Paling ditakuti jika lawak jenaka kita itu tak nampak semula jadi, keterlaluan dan tampak bodoh.

"Lagipun, komedi yang dipaparkan dalam drama ini memang lain daripada yang lain. Mujur pengarahnya, Pali Yahya banyak bagi idea. Zara ikut apa sahaja yang diarahkannya.

"Cabaran lain yang terpaksa Zara hadapi adalah apabila terpaksa memakai baju khas ini. Di lokasi, memang produksi ada sediakan kipas khas berair untuk Zara, yang mana, kemudahan ini tak mungkin dirasai di set penggambaran lain.

"Walaupun hendak sarung baju tidak perlukan masa lama, bahangnya seperti dalam sauna. Lebih-lebih lagi jika penggambaran dibuat di luar," katanya kepada BH Online.

Zara menjadikan teman baiknya, Nana yang bersaiz gempal sebagai inspirasi menghidupkan watak Moon dalam drama bersiri Honey-Moon. Foto Ihsan TV3
Zara menjadikan teman baiknya, Nana yang bersaiz gempal sebagai inspirasi menghidupkan watak Moon dalam drama bersiri Honey-Moon. Foto Ihsan TV3

Berkongsi persiapan dilakukan untuk membawa watak Moon, Zara atau nama penuh, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 37, menjadikan orang bersaiz besar sebagai sumber inspirasi.

"Watak Moon dalam drama ini bukanlah untuk mempersendakan orang berbadan gempal, tetapi lebih kepada memberi kesedaran agar tidak mempersendakan tubuh seseorang atau 'body shaming'.

"Moon digambarkan sebagai seorang yang berkeyakinan tinggi, aktif dan ceria. Cuma, sesekali dia akan berasa rendah diri kerana memikirkan apakah ada insan yang sudi terima dirinya seadanya.

"Kebetulan dia meminati seseorang yang tampan hingga timbul anggapan dia tidak layak menyimpan perasaan itu.

"Zara memang menunggu untuk berlakon dalam drama ini. Sebagai persediaan, Zara banyak memerhatikan orang sekeliling, terutama mereka yang berbadan besar.

"Antara yang Zara jadikan sumber inspirasi adalah seorang teman Zara iatu Nana. Walaupun bertubuh gempal, dia sangat aktif dan ceria. Itulah semangat yang Zara pinjam untuk diserapkan dalam watak Moon ini," kata pelakon berkarakter ini.

Dalam perkembangan lain, Zara turut meluahkan kebimbangannya apabila dua drama lakonannya ditayangkan serentak di TV3.

Selain drama Honey-Moon yang episod pertamanya mula ditayangkan pada Sabtu minggu lalu, lakonan Zara juga dapat dilihat menerusi drama Risik Pada Hati yang disiarkan slot Akasia.

Mengulas lanjut perkara itu, pelakon yang namanya mula meledak menerusi drama rantaian Love You Mr Arrogant ini berkata, perasaan itu timbul kerana bimbang lakonannya dibandingkan, selain penonton jemu melihat wajah sama.

"Takut juga sebenarnya apabila kita ada dua drama ditayangkan serentak. Bimbang orang bosan tengok muka Zara, walhal penggambaran drama Risik Pada Hati sudah lama selesai dan ditayangkan lebih awal iaitu bulan lalu.

"Satu lagi yang buat Zara risau apabila ada yang cuba bandingkan lakonan. Tidak perlu bandingkan kerana kedua-dua drama itu berbeza genre.

"Dari segi karakter pun berbeza kerana dalam Honey-Moon, Zara bawa watak komedi. Dalam drama Risik Pada Hati, lebih kepada watak serius dan sedih.

"Sebagai pelakon, Zara perlu jadi versatil dan tidak hanya tertumpu kepada satu karakter sahaja," ujarnya.

Drama Honey-Moon menyaksikan Zara bergandingan dengan Ben Amir yang memegang watak Ilham.

Diadaptasikan daripada novel berjudul Honeymoon karya Nurharyati Ishak, drama ini turut dibintangi Wanns Ahmad,

Dynas Mokhtar, Rashdan Baba, Fiza Thomas dan Khalaf Zulkafli.

Berita Harian X