Ahad, 10 Julai 2022 | 8:30am
Alif bersyukur doanya mohon agar ibu bapa terlebih dahulu menjadi tetamu Allah mengerjakan haji termakbul. - Foto IG Alif Satar
Alif bersyukur doanya mohon agar ibu bapa terlebih dahulu menjadi tetamu Allah mengerjakan haji termakbul. - Foto IG Alif Satar

Doa Alif di bawah pancur emas Kaabah termakbul

KUALA LUMPUR: Siapa sangka doa dipanjatkan artis serba boleh, Alif Satar ketika menunaikan ibadah haji termakbul apabila ibu bapanya beroleh peluang menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini.

Sebelum ini, Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar dua tahun berturut-turut mendapat jemputan menunaikan fardu haji, namun, belum rezeki. Alif tidak dapat pergi atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Di sebalik perasaan sedih, penyanyi lagu Akan Tiba dan Lelaki Seperti Aku itu tetap bersyukur doanya di bawah pancur emas Kaabah ketika menunaikan umrah mohon agar ibu bapanya terlebih dahulu menjadi tetamu Allah mengerjakan haji termakbul.

Sebagai anak, tiada apa diharapkan Alif melainkan ibu bapanya, Nor Hafiza Mohammed dan Mohd Satar Ramli terus dikurniakan kesihatan baik dan mendapat haji mabrur.

"Walaupun kali pertama saya dan adik-beradik menyambut Aidiladha tanpa kehadiran orang tua, tetapi, saya tetap bersyukur hasrat melihat mereka mengerjakan ibadah haji akhirnya termakbul.

"Saya pasti setiap anak mempunyai impian sama untuk melihat ibu bapa terpilih menunaikan Rukun Islam kelima itu.

"Mereka berangkat pada 2 Julai lalu dan dua hari sekali, mereka akan menghubungi saya bertanya khabar dan menceritakan pengalaman mereka menunaikan ibadah haji.

"Alhamdulillah, mereka sihat dan dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna," katanya kepada BH Online.

Alif bersama isteri dan anak-anak menghantar ibu bapanya menunaikan fardu haji. - Foto IG Alif Satar
Alif bersama isteri dan anak-anak menghantar ibu bapanya menunaikan fardu haji. - Foto IG Alif Satar

Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Muhammad Alif Mohd Satar, 32, turut meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Apabila baca nasib malang bakal jemaah terbabit, saya rasa sangat sedih. Sampai hati pihak berkenaan memperlakukan mereka seperti itu.

"Bila lihat wajah seorang pakcik kelihatan tenang ketika bercerita mengenai apa yang berlaku, saya sebak sangat. Walaupun tiada air mata gugur, namun, saya percaya jauh di sudut hati, mereka pasti sedih.

"Bayangkan, ada antara mereka kumpul duit bertahun-tahun untuk ke Tanah Suci. Malah, ada juga menjual tanah dan sebagainya, tetapi, akhirnya impian terkubur di pertengahan jalan," ujarnya.

Sehubungan itu, penyanyi yang baru muncul dengan single berjudul LebihXSempurna ini berharap ada pihak tampil untuk membantu bakal jemaah dan menahan pihak yang tidak bertanggungjawab atas dalam insiden yang didakwa berkait rapat dengan penipuan itu.

Seperti kelaziman, saban tahun bapa kepada tiga cahaya mata itu tidak pernah gagal dalam membuat ibadah korban.

"Tahun ini, saya masih bekerjasama dengan syarikat, Colla Cattle di Kuala Selangor untuk melaksanakan ibadah korban. Cuma, kali ini, saya tidak dapat bersama untuk sesi melapah.

"Sejujurnya, saya seronok buat kerja-kerja melapah. Rasa rugi juga, tetapi nak buat macam mana. Mujur mereka boleh uruskan termasuk pengagihan golongan asnaf dan mereka kurang berkemampuan," ujarnya.

Berita Harian X