Rabu, 6 Julai 2022 | 1:00pm
Camelia masih suka menyanyi, namun, tidak lagi aktif sejak memberikan tumpuan kepada keluarga sejak 15 tahun lalu.
Camelia masih suka menyanyi, namun, tidak lagi aktif sejak memberikan tumpuan kepada keluarga sejak 15 tahun lalu.

'Tak pernah ucap selamat tinggal'

KUALA LUMPUR: Tular dalam media sosial apabila foto terbaru menampakkan dirinya masih anggun dan jelita dikongsi netizen, penyanyi, Datin Seri Camelia menolak tanggapan melakukan 'comeback' atau mahu aktif semula dalam bidang muzik selepas 15 tahun menyepi.

Camelia atau nama sebenar, Dayang Nur Camelia Abang Khalid, 48, menjelaskan, dia masih suka menyanyi, namun, tidak lagi aktif.

"Soal 'comeback' bukan isunya di sini. Saya tidak pernah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian. Cuma, sejak berkeluarga, saya tidak lagi aktif menyanyi.

"Buat masa ini, apa yang boleh dikatakan, insya-Allah saya ke arah itu (kembali aktif menyanyi). Cuma, saya tidak mahu berjanji hal yang belum pasti," katanya kepada BH Online.

Camelia yang pernah meraih trofi Artis Baharu Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998, kembali diperkatakan apabila video memaparkan dirinya dan penyanyi, Bob Yusof menjayakan projek kolaborasi khas, Simfoni Tuanku ciptaan Sharnaz Saberi, dimuat naik di TikTok.

Dalam satu rakaman video itu, Camelia dilihat berjalan bersama Bob manakala klip lain menampakkan mereka sedang berduet.

Rata-rata netizen memuji kejelitaan Camelia yang seolah tidak dimamah usia.

Malah, perkongsian jurusolek, Khir Khalid yang menata rias Camelia dan muat naik fotonya di Instagram (IG) juga diperkatakan peminat yang rindukan penyanyi itu.

Camelia yang pernah tersenarai dalam 100 wanita tercantik di dunia memberitahu, keinginan menyanyi kembali bertitik tolak daripada impian arwah ayahnya.

Namun, insan tersayang, Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki menghembuskan nafas terakhir pada 4 Februari lalu.

"Sebelum bapa pergi, beliau ada memasang impian melihat saya menyanyi lagi. Tetapi tidak berkesempatan... Tuhan lebih menyayanginya.

"Kebetulan tawaran berduet dengan Bob dalam projek istimewa untuk Sarawak datang, itu yang membuatkan hati saya tergerak menerimanya.

"Tambahan pula, saya mendapat keizinan suami," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan usahawan ternama, Datuk Seri Akhbar Khan dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Aisha Asmara Khan, 14, menerusi perkahwinan keduanya itu.

Camelia bersama puteri kesayangannya, Aisha Asmara Khan.
Camelia bersama puteri kesayangannya, Aisha Asmara Khan.

Camelia yang popular dengan lagu Rindu Padanya itu memberitahu, bidang nyanyian sudah sebati dalam dirinya.

"Setiap orang ada minat dan kesukaan masing-masing. Begitu juga dengan saya. Saya memang suka menyanyi.

"Sama seperti orang lain, ada yang menjadikan minat itu sekadar minat. Ada orang menjadikan kesukaan mereka itu sebagai kerjaya.

"Saya masih minat menyanyi cuma cara saya meluahkan rasa minat itu berbeza dengan cara atau medium dahulu," katanya yang mula aktif sejak 1997.

Mengenai kerjasama dengan Bob, Camelia seronok menimba pengalaman dengan temannya itu.

"Bekerja dengan Bob cukup menyenangkan kerana dia ada bakat yang hebat.

"Pengalaman ini lebih istimewa kerana kami menyanyikan lagu yang khusus untuk Sarawak iaitu negeri kelahiran kami," katanya.

Single Simfoni Tuanku dicipta khusus kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai hadiah daripada kerajaan Sarawak.

Camelia pernah merakamkan lima album iaitu Camelia, Memori, Mimpi, Untukmu dan Mysticam. Turut memiliki bakat dalam bidang pengacaraan dan menjadi hos program dekorasi, Casa Impian terbitan Astro Ria.

Berita Harian X