Ahad, 3 Julai 2022 | 4:17pm
Adi Putra menghidupkan watak Mat Kilau dan dibantu pelakon lain seperti Beto dan Fattah Amin. Foto Ihsan Studio Kembara
Adi Putra menghidupkan watak Mat Kilau dan dibantu pelakon lain seperti Beto dan Fattah Amin. Foto Ihsan Studio Kembara

10 hari kutip RM39.2 juta

KUALA LUMPUR: Sepuluh hari kutip RM39.2 juta.

Itu jumlah kutipan filem 'box office', Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan selepas 10 hari ditayangkan di pawagam tempatan, Singapura dan Brunei, mengikut data diperoleh penerbit.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM7.3 juta dikutip daripada tayangan sepanjang hari di pawagam di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei, semalam.

Pengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof menganggap kutipan RM7.3 bagi tayangan seharian, semalam, suatu sejarah dan fenomena luar biasa bagi industri perfileman Melayu.

Sebanyak RM7.3 juta dikutip daripada tayangan sepanjang hari filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di pawagam di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei, semalam. Foto IG Filem Mat Kilau
Sebanyak RM7.3 juta dikutip daripada tayangan sepanjang hari filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di pawagam di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei, semalam. Foto IG Filem Mat Kilau

"Masya-Allah... Ini semua adalah kuasa Allah," katanya menerusi kemas kini dalam format video yang dimuat naik di Instagram (IG), hari ini.

Menerusi perkongsian itu, Syamsul merakamkan penghargaan kepada penonton yang tidak jemu menyokong hasil kerjanya.

"Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia, Singapura dan Brunei. Terima kasih kerana masih percaya sentuhan saya dan pasukan saya.

"Bukan hanya untuk filem ini, malah, semua hasil kerja saya selama ini. Akan ada banyak lagi (karya) menyusul selepas ini... Nantikan," katanya dalam nada teruja.

Khamis lalu, anak kepada penerbit dan pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam ini memuat naik hantaran di IG untuk memaklumkan kejayaan filem epik itu meraih kutipan sebanyak RM23.3 juta selepas seminggu ditayangkan.

Diterbitkan Studio Kembara, kos pembikinan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang berdasarkan fakta sejarah ini bernilai RM8 juta.

Naskhah yang sarat dengan elemen cintakan agama, bangsa dan tanah air ini ditunjangi pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Johan As'ari, Yayan Ruhan dan ramai lagi.

Berita Harian X