Jumaat, 1 Julai 2022 | 5:39pm
Perkongsian gambar jurusolek, Khir Khalid yang menata rias Camelia dikongsi dalam Instagram turut diperkatakan peminat yang cukup merinduinya. - Foto IG Khir Khalid
Perkongsian gambar jurusolek, Khir Khalid yang menata rias Camelia dikongsi dalam Instagram turut diperkatakan peminat yang cukup merinduinya. - Foto IG Khir Khalid

Video Camelia tular selepas 15 tahun menyepi

KUALA LUMPUR: Penyanyi Bob Yusof menyifatkan kesempatan terindah yang tidak pernah dibayangkan apabila dapat berduet dan berkongsi pentas bersama penyanyi lagu Rindu Padanya, Datin Seri Camelia.

Kedua-dua penyanyi yang berasal dari Sarawak itu diberi peluang berduet menerusi lagu projek khas, Simfoni Tuanku ciptaan Sharnaz Saberi.

Bob atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop berkata, lagu berkenaan dicipta khusus kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai hadiah daripada kerajaan Sarawak.

"Menyanyi dan menjalani penggambaran bersama Camelia tak pernah terlintas di fikiran. Ia kesempatan yang tidak dapat dilupakan, cukup luar biasa.

"Sikap Camelia yang merendah diri, mudah mengukir senyuman dan ramah membuatkan saya senang berada dekat dengannya. Beliau masih jelita dan cukup mempesona dalam usia 48 tahun.

"Saya boleh sifatkan Camelia memiliki aura, berkarisma dan bersikap profesional. Sikapnya tak pernah berubah seperti saya mengenalinya dahulu," katanya kepada BH Online.

Penyanyi bersuara lunak kelahiran Akademi Fantasia musim kedua itu berkata, dia dan Camelia turut menjalani penggambaran video muzik lagu Simfoni Tuanku di Sawarak, baru-baru ini.

"Penggambaran video muzik dibuat pada 21 dan 22 Jun lalu di dua lokasi berbeza. Satu di perkarangan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan satu lagi di Tasik Ti Ton Bau.

"Kami turut diundang ke Istana Negara pada 29 Jun lalu untuk Majlis Santapan Memuliakan Persidangan Raja-Raja Ke-259," katanya.

Sikap Camelia yang merendah diri, mudah mengukir senyuman dan ramah membuatkan Bob senang bekerjasama menerusi projek lagu Simfoni Tuanku.
Sikap Camelia yang merendah diri, mudah mengukir senyuman dan ramah membuatkan Bob senang bekerjasama menerusi projek lagu Simfoni Tuanku.

Penyanyi lagu Beribu Rasa itu berkata, projek istimewa sering diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

"Cuma, ia lebih besar kali ini. Asalnya, projek lagu ini saya dendangkan secara solo, ia sudah dirakamkan, tahun lalu.

"Ketika itu, pembabitan Camelia belum wujud. Rakaman lagu pula dibuat di rumah dalam keadaan serba terbatas. Malah, ketika penggambaran video muzik asal lagu ini menggunakan skrin hijau dan hasilnya, tidak seperti diharapkan.

"Kemudian, projek lagu ini diberi nafas baharu dengan menampilkan Camelia. Dan, rakaman lagu ini juga dilakukan semula," katanya.

Terdahulu, video Camelia tular menerusi aplikasi TikTok selepas kemunculannya bersama Bob mencuri perhatian ramai.

Dalam rakaman video, kelihatan Camelia sedang berjalan bersama Bob, manakala satu lagi video pula sedang berduet bersama.

Malah, kecantikan pemilik nama penuh Dayang Nur Camelia Abang Khalid itu juga dipuji ramai.

Perkongsian gambar jurusolek, Khir Khalid yang menata rias Camelia dikongsi dalam Instagram turut diperkatakan peminat yang cukup merinduinya.

Terdahulu, Camelia pernah mencipta nama sebagai penyanyi selama beberapa tahun, sebelum mengambil keputusan meninggalkan dunia hiburan dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan usahawan ternama, Datuk Seri Akhbar Khan dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Aisha Asmara Khan, 14, menerusi perkahwinan keduanya itu.

Berita Harian X