Jumaat, 1 Julai 2022 | 4:00pm
Beto mengakui bukan mudah menghidupkan watak fiksyen dalam filem epik yang diinspirasi menerusi karekter pahlawan ulung.
Beto mengakui bukan mudah menghidupkan watak fiksyen dalam filem epik yang diinspirasi menerusi karekter pahlawan ulung.

Wahid angkat Beto sebagai pahlawan Melayu

KUALA LUMPUR: Sekalipun tidak memegang watak utama dalam filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, lakonan aktor Beto Kusyairy disifatkan cukup cemerlang.

Karisma dan pesona watak Wahid, rakan kepada Mat Kilau lakonan Datuk Adi Putra bagaikan melengkapi perjalanan naskhah epik arahan Syamsul Yusof itu.

Lakonan, lantunan suara dan emosi Wahid bersatu dengan kemas. Hinggakan, lakonan Beto dianggap paling menyerlah berbanding pelakon lain.

Beto atau nama sebenarnya, NurKusyairy Zakuan Osman berkata, bukan mudah menghidupkan watak fiksyen dalam filem epik yang diinspirasi menerusi karekter pahlawan ulung.

"Saya bersyukur filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan menjadi perhatian. Sebagai pelakon, bukan nak kata bawa watak fiksyen tanggungjawabnya kurang. Ia sama sahaja, namun, ada sedikit kelegaan.

"Saya hanya menunaikan tanggungjawab diamanahkan. Namun, filem Mat Kilau berjaya menjadi naskhah filem epik Melayu pertama pecah panggung atas kerja berpasukan.

"Terima kasih menonton karya dengan penuh bersemangat dan lengkap berbusana Melayu," katanya kepada BH Online.

Mengulas cabaran menghidupkan watak Wahid, Beto menyifatkan ketahanan fizikal dan stamina adalah keperluan hampir semua pelakon filem itu.

"Apabila membintangi filem aksi, cabaran lebih kepada sudut fizikal. Tempoh penggambaran juga mengambil masa lebih panjang.

"Kemampuan melakukan babak aksi, itu semua menjadi tuntutan utama.

"Saya bukannya masih muda lagi. Sudah sudah menjengah 40-an, namun, Alhamdulillah atas bantuan koreografi yang dihasilkan aktor Indonesia, Yayan Ruhian membuatkan tuntutan pengarah menjadi lancar," katanya.

Beto menyifatkan ketahanan fizikal dan stamina adalah keperluan utama pelakon filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.
Beto menyifatkan ketahanan fizikal dan stamina adalah keperluan utama pelakon filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

Dalam pada itu, Beto berkata, pengalaman bekerja dengan Syamsul cukup berharga.

"Syamsul boleh dikatakan seorang pengarah yang 'gila', semua perkara ingin dilakukan.

"Sejak awal menghasilkan skrip hingga kerja pengarahan dan membentuk pelakon, jiwa Syamsul begitu besar dalam menghasilkan karya ini.

"Saya kagum dan hormat dengan caranya bekerja. Syamsul sangat teliti dan mementingkan perincian.

"Saya tahu Syamsul amat serius dengan apa yang dilakukan. Ketika penggambaran kita boleh nampak hala tujunya.

"Ini termasuklah kerja pasukan produksi dan pelakon dalam satu unit," katanya.

Hingga kini, karya terbitan Studio Kembara itu sudah mencatat kutipan lebih RM23 juta selepas tujuh hari ditayangkan. Ia sekali gus menjadikan filem epik Melayu pecah panggung yang menenggelamkan filem barat termasuk Elvis dan Top Gun Maverick.

Selain Beto, Adi dan Yayan, filem yang ditayangkan sejak 23 Jun lalu menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Fattah Amin, Johan As'ari, Farah Ahmad, Ellie Suriaty, Zarina Zainoordin dan ramai lagi.

Berita Harian X