Jumaat, 1 Julai 2022 | 3:00pm
InTeam berharap dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan terutama yang terbabit dengan usaha mempromosikan Malaysia di luar negara.
InTeam berharap dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan terutama yang terbabit dengan usaha mempromosikan Malaysia di luar negara.

InTeam gabung muzik tradisional, bahasa Arab

KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid, InTeam berhasrat mempromosikan konsep muzik tradisional Malaysia yang dicampur dendangan bahasa Arab dan mahu membawa nama negara agar terus dikenali di seluruh dunia.

Anggota InTeam, Hazamin atau nama penuh, Muhammad Hazamin Harun, berkata konsep itu pernah digunakan ketika diundang pada acara di Toronto, Kanada sebanyak dua kali bermula pada 2018.

Hazamin berkata, melihat sambutan yang menggalakkan, mereka meneruskan konsep itu ketika menghadiri The World Muslim Communities Council (TWMCC) di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

"Menariknya konsep ini, kami gayakan pakaian tradisional yang lengkap dengan tengkolok dan samping serta menggunakan pelbagai peralatan muzik tradisional termasuk rebana dan gendang sunda.

"Muzik yang dimainkan mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri. Kami memainkan lagu berunsur Islamik dan ketuhanan seperti selawat dan qasidah dalam bahasa Arab.

"Jadi, apabila muzik seperti ini dimainkan di negara Islam seperti Arab atau komuniti Islam di luar negara seperti Kanada dan Eropah, mereka boleh dengar muzik tradisional Melayu dan faham bait lagu yang dinyanyikan.

"Sebagai contoh kami menyanyikan lagu Solatullah tetapi menggunakan alat muzik Sape dari Sarawak," katanya kepada HIP.

Hazamin berkata, ketika ini, antara perancangan yang diatur adalah merakam beberapa lagu qasidah dengan muzik tradisional Malaysia.

InTeam menggayakan pakaian tradisional yang lengkap dengan tengkolok dan samping serta menggunakan pelbagai peralatan muzik tradisional ketika menghadiri The World Muslim Communities Council (TWMCC) di Abu Dhabi, UAE.
InTeam menggayakan pakaian tradisional yang lengkap dengan tengkolok dan samping serta menggunakan pelbagai peralatan muzik tradisional ketika menghadiri The World Muslim Communities Council (TWMCC) di Abu Dhabi, UAE.

Tambahnya, ada beberapa lagu yang sudah dipilih antaranya qamarun, solatun dan beberapa lagi qasidah yang berirama lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

"Di Malaysia kami pernah buat persembahan televisyen (TV) dengan konsep sama dan mendapat sambutan menggalakkan.

"Jadi, melihat sambutan itu, kami merancang merakamkan lagu yang sesuai. Dijangka akhir tahun ini, proses rakaman lagu siap," katanya.

Hazamin berkata, InTeam dijemput membuat persembahan berkonsep sama di majlis pelancaran Islamic Tourism Week anjuran Islamic Tourism Centre di Putrajaya.

Justeru, Hazamin amat berharap dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan terutama yang terbabit dengan usaha mempromosikan Malaysia di luar negara.

Akuinya, ketika ini, sudah ada kumpulan kebudayaan yang mempromosikan budaya termasuk lagu Malaysia ke luar negara.

"Bagaimanapun konsep yang kami bawakan berbeza iaitu menyampaikan lagu berunsurkan Islamik.

"Kami amat berharap konsep lagu Islamik tradisional ini dapat diterima pendengar tidak kira di Malaysia atau di luar negara," katanya.

Berita Harian X