Jumaat, 1 Julai 2022 | 1:45pm
Yayan membawa watak Toga dalam filem epik, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. - NSTP/Aziah Azmee
Yayan membawa watak Toga dalam filem epik, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. - NSTP/Aziah Azmee

Syamsul miliki bakat luar biasa - Yayan Ruhian

KUALA LUMPUR: Aktor Indonesia yang menempa nama di Hollywood, Yayan Ruhian, 54, menyifatkan pengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof memiliki sentuhan emas dan bakat luar biasa.

Yayan membawakan watak Toga dalam naskhah epik yang kini menjadi fenomena itu berkata, dia menerima tawaran kerana tertarik karakter pahlawan Melayu yang diangkat dalam filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu.

Selain itu, katanya, dia juga ingin bekerjasama dengan pengarah sehebat Syamsul yang namanya sudah dikenali sehingga ke Indonesia.

"Awalnya, saya menerima pelawaan syarikat produksi, Studio Kembara pada 2018. Ia juga adalah projek pertama saya bersama produksi Malaysia.

"Saya teruja ketika menerima tawaran, lebih lagi, apabila mengetahui filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diarahkan pengarah terbaik seperti Syamsul.

"Syamsul insan luar biasa. Dia masih muda dan mempunyai pemikiran bijak serta kreatif.

"Sebagai pengarah muda, Syamsul memiliki wawasan dan kreativiti. Proses penggambaran berlangsung dengan santai dan kami sentiasa berbincang di lokasi penggambaran," katanya kepada BH Online.

Yayan (dua dari kanan) bersama barisan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang kini sudah memperoleh kutipan lebih RM23 juta dalam tempoh seminggu ditayangkan di pawagam.
Yayan (dua dari kanan) bersama barisan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang kini sudah memperoleh kutipan lebih RM23 juta dalam tempoh seminggu ditayangkan di pawagam.

Bintang yang membuat kemunculan pertama di layar lebar Hollywood menerusi filem Star Wars: The Force Awakens pada 2015 itu berkata, Syamsul sangat terbuka jika ada idea dilontarkan.

"Biasanya, Syamsul akan bercakap secara elok dan bertanya boleh atau tidak untuk dilakukan," katanya yang turut teruja dapat bergandingan dengan Datuk Adi Putra yang memegang watak Mat Kilau.

Terdahulu, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berjaya mencatat kutipan lebih RM23 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan, sekali gus menjadikan ia filem epik Melayu pertama pecah panggung.

Diminta mengulas watak antagonis sering dibawa, Yayan tidak kisah kerana setiap karakter berbeza.

Tambah Yayan, dia sering menganggap setiap watak ditawarkan adalah cabaran dan tanggungjawab harus dipikul.

"Saya tidak suka menoleh ke belakang. Hanya kerana pernah membawakan watak hampir sama, jadi, saya harus menolak tawaran baru.

"Bagi saya, pengarah pastinya mempunyai alasan kenapa memilih saya.

"Setiap watak diberikan walaupun mungkin pernah dijayakan, tetapi mempunyai karakter berbeza yang perlu dipersembahkan mengikuti cara tersendiri," katanya yang pernah beraksi dengan aktor Hollywood terkemuka, Keanu Reeves ketika membintangi filem John Wick: Chapter 3.

Berita Harian X