Jumaat, 1 Julai 2022 | 11:00am
Syed Saddiq mencadangkan kerajaan memotong cukai hiburan bagi membantu menyemarakkan semula industri perfileman yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. - Foto TikTok Syed Saddiq
Syed Saddiq mencadangkan kerajaan memotong cukai hiburan bagi membantu menyemarakkan semula industri perfileman yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. - Foto TikTok Syed Saddiq

Syed Saddiq cadang kerajaan potong duti hiburan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan tiga cadangan bagi membantu industri perfileman terus bernafas menerusi aplikasi TikTok, semalam.

Cadangan dikemukakan ahli politik itu rentetan hantaran dimuat naik penyanyi, pengarah dan penerbit filem, Mawi yang menjelaskan kutipan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang meraih kutipan melebihi RM12 juta ketika itu masih belum membawa pulangan modal berikutan kos penerbitan filem arahan Syamsul Yusof itu menelan belanja RM8 juta.

Menerusi video berdurasi 1.22 minit itu, Syed Saddiq mencadangkan kerajaan memotong cukai hiburan bagi membantu menyemarakkan semula industri perfileman yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

"Kutipan filem Mat Kilau mencecah RM12 juta, tetapi dikatakan masih rugi, kenapa? Ini kerana 25 peratus bayar untuk cukai hiburan, 50 peratus ke pengusaha pawagam dan pembikin filem hanya peroleh keuntungan selepas itu.

"Ini bukan terjadi kepada filem Mat Kilau sahaja, tetapi semua filem tempatan. Jadi, bagaimana pembikin filem mampu bertahan?

"Justeru, saya mencadangkan tiga perkara. Pertama, cukai hiburan harus dipotong.

"Ini kerana Malaysia antara negara yang mengenakan duti hiburan tertinggi sebanyak 25 peratus jika dibandingkan dengan Indonesia dan Singapura tidak sampai 10 peratus," kata Syed Saddiq.

Kedua, Syed Saddiq mencadangkan agar cukai hiburan wajib disalurkan semula kepada tabung industri seni negara.

"Ia harus digunakan untuk tujuan tertentu. Kini, cukai dikutip disalurkan untuk mengecat pagar, tar jalan dan menanam pokok.

"Perasaan tak, bagi filem tempatan tidak ada papan iklan mahupun poster besar. Malah, ketika saya ke pawagam tiada papan gegantung (bunting). Jadi, saya tidak dapat bergambar bersama Mat Kilau dan Awang kerana tiada papan gegantung atau poster disebabkan modal tidak mencukupi," katanya lagi.

Selain itu, ahli politik berusia 29 tahun itu turut mencadangkan agar kebajikan kru perfileman dijaga.

Katanya, kebajikan kru balik tabir sering diabaikan berikutan penerbit lebih memberi perhatian kepada bintang filem.

Syed Saddiq berkongsi tidak dapat bergambar bersama Mat Kilau dan Awang kerana tiada papan gegantung atau poster disebabkan modal tidak mencukupi ketika ke pawagam. - Foto TikTok Syed Saddiq
Syed Saddiq berkongsi tidak dapat bergambar bersama Mat Kilau dan Awang kerana tiada papan gegantung atau poster disebabkan modal tidak mencukupi ketika ke pawagam. - Foto TikTok Syed Saddiq

Justeru, Syed Saddiq menggesa, kru balik tabir turut mendapat hak sama rata daripada penerbit.

"Institusikan kebajikan kru perfileman. Janganlah hanya beri perhatian kepada pelakon sahaja, sebaliknya jangan lupa ada kru yang bekerja lebih masa, tetapi tidak dibayar gaji.

"Ada yang lambat menerima gaji dan insuran juga tidak ada.

"Begitu juga nasib, penggiat muzik yang menghasilkan lagu apabila tidak dibayar royalti. Apa yang lebih penting, kontrak tidak berat sebelah. Hak pencipta lagu dan filem perlu kekal di tangan pengkarya.

"Lihat sahaja nasib yang menimpa Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Bagi pencinta seni, marilah kita bersama-sama menggesa perubahan dilakukan," katanya.

Terdahulu, Mawi menerusi dalam hantaran dalam Instagram berkongsi, filem yang ditayangkan di pawagam dikenakan cukai hiburan sebanyak 25 peratus.

"Untuk minggu pertama tayangan, perjanjian antara penerbit dan pawagam pembahagian adalah 50/50 bermaksud separuh perlu bayar.

"Jadi, selepas bayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus, jumlah yang tinggal perlu dibayar sebanyak 50 peratus pula kepada pihak pawagam.

"Untuk minggu seterusnya lain pula perkiraannya. Minggu-minggu seterusnya pihak pawagam akan ambil lebih lagi dari 50 peratus.

"Minggu kedua pihak pawagam akan ambil 55 peratus, minggu ketiga akan ambil 60 peratus. Manakala minggu keempat akan ambil 65 peratus dan pembahagian akan tetap sampai habis tayangan," katanya.

Berita Harian X