Rabu, 29 Jun 2022 | 6:40pm
Single Satu Malam Di Temasek adalah karya bercerita mengenai diri Joe Flizzow sehingga digelar penyanyi hip hop nombor satu negara.
Single Satu Malam Di Temasek adalah karya bercerita mengenai diri Joe Flizzow sehingga digelar penyanyi hip hop nombor satu negara.

Satu Malam Di Temasek sarat kiasan, sindiran

KUALA LUMPUR: Bermula anggota kumpulan rap legenda, Too Phat, Joe Flizzow tidak dinafikan berjaya mencipta nama dan memegang gelaran sebagai penyanyi hip hop nombor satu negara.

Tidak hanya itu, Joe turut dikenali sebagai penerbit, pencipta lagu dan usahawan yang sentiasa ingin memajukan diri.

Diimbas semula, album solo pertama berjudul The President pernah merangkul anugerah Album Inggeris Tempatan Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2009.

Kejayaan berterusan apabila album Havoc pula mencuri tempat pertama di carta iTunes Malaysia pada 2013.

Kini, Joe kembali dengan satu lagi mahakarya berjudul Satu Malam Di Temasek.

Joe berkata, single Satu Malam Di Temasek adalah karya yang sarat dengan lirik penuh kiasan dan sindiran, ciptaannya.

"Satu Malam Di Temasek adalah karya bercerita mengenai diri saya. Daripada budak nakal hingga melalui fasa perkahwinan seperti situasi hari ini.

 

"Ia juga satu bentuk nasihat untuk diri sendiri. Walaupun tunjang utamanya adalah mesej dan nasihat, pada masa sama, tetap meraikan kehidupan.

 

"Jika saya gambarkan karya ini dalam bentuk perumpamaan Melayu, perumpamaan yang sesuai adalah hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

 

"Segala yang dikejar dalam dunia bersifat material, semua ini tak mampu dibawa ke mana-manapun. Single Satu Malam Di Temasek mengingatkan diri bahawa dunia itu hanya sementara," katanya kepada BH Online.

Joe menghadiahkan peminat dengan Showcase Joe Flizzow Satu Malam Di Temasek di The Bee, Publika, Ahad lalu.
Joe menghadiahkan peminat dengan Showcase Joe Flizzow Satu Malam Di Temasek di The Bee, Publika, Ahad lalu.

Karya dicipta, ditulis dan diterbitkan sepenuhnya bersama rakan seperjuangannya, SonaOne itu diharap dapat memberi inspirasi kepada mereka yang ingin mengejar impian dan cita-cita.

Pada Ahad lalu, Joe turut menghadiahkan peminat dengan Showcase Joe Flizzow Satu Malam Di Temasek.

Mengambil tempat di The Bee, Publika, acara berdurasi satu jam setengah itu bermula jam 9 malam dan dihadiri lebih 700 peminatnya.

Memilih lokasi itu, Joe berkongsi, ia ekoran ingin membawa peminatnya untuk mengikuti perjalanan kembali ke masa lalu, sekali gus mengimbau kenangan ketika mula bertapak dalam industri muzik.

"Orang tanya, kenapa tak buat di lokasi lebih besar? Saya sebenarnya suka untuk mengimbau di mana permulaan saya.

"Bukanlah bererti lokasi ini secara spesifik menjadi tempat saya bermula, tetapi secara simboliknya, saya bermula dari lokasi yang kecil," katanya.

 

Showcase Joe Flizzow Satu Malam Di Temasek dihangatkan dengan persembahan lagu-lagu popular. Antaranya Havoc, Baek, Kongsi, Jampi dan tentunya, Satu Malam Di Temasek.

Joe turut mengundang beberapa artis seperti Yonnyboii, Gard, Pele L, Fuego dan Alyph.

Berita Harian X