X
Rabu, 29 Jun 2022 | 1:00pm
Nikki dan Audi lebih selesa berkawan baik dan hubungan kekeluargaan tetap utuh biarpun sudah berpisah. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Nikki dan Audi lebih selesa berkawan baik dan hubungan kekeluargaan tetap utuh biarpun sudah berpisah. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

'Pendam rasa sebab anak'

KUALA LUMPUR: Ikatan perkahwinan yang terlerai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, tahun lalu, benar-benar menguji kekuatan penyanyi Nikki Palikat, 36.

Berjauhan daripada keluarga dan pada masa sama, perlu mengambil langkah berjaga-jaga mengelak dijangkiti wabak berbahaya dalam persekitaran serba asing dan menakutkan, Nikki atau nama sebenar, Nicolette Louisa Palikat, pasrah memikirkan bahtera dibina bersama komposer, Audi Mok, hanyut dibawa arus.

Rasa keseorangan, Nikki ketika itu menganggap dirinya gagal dalam serba-serbi. Tidak cukup itu, bekas peserta musim kelapan program realiti Gegar Vaganza (GV8) ini bimbang keputusan dibuat mengecewakan keluarga.

Tidak hairanlah, Nikki mengambil masa panjang untuk mendedahkan perceraiannya dengan bekas suami, Audi yang disahkan Mac tahun lalu.

"Saya berjauhan daripada keluarga. Ketika itu, saya betul-betul berasakan diri keseorangan.

"Saya takut keluarga kecewa dan saya fikir diri ini gagal dalam semua segi. Ini adalah suatu perkara menyakitkan yang saya cuba padam.

"Apatah lagi, semua itu berlaku ketika PKP. Jadi, ia lebih menyakitkan kerana kita tidak bekerja dan hanya duduk di rumah.

"Saya terpaksa berdepan dengan perasaan bahawa kami tidak bersama lagi. Namun, tempoh itu memberi masa kepada saya dan Audi menerima kenyataan dan pulih semula," katanya pada sidang media mengumumkan perpisahannya dengan Audi di pejabat Indigital Music di Petaling Jaya, kelmarin.

Nikki yang pernah menyertai musim pertama program realiti, Malaysian Idol pada 2004 dan popular dengan lagu Caramu, bertemu jodoh dengan Audi pada 27 Jun 2009.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Liam Mok, 12.

Tanpa berselindung, Nikki mengambil kesempatan pada sidang media itu untuk bercerita kemelut rumah tangga yang dihadapi agar selepas ini, kisah hitam itu tidak diungkit lagi.

Hakikatnya, Nikki mengaku memendam rasa selama 10 tahun sejak mula menyedari dirinya tidak serasi untuk hidup bersama Audi.

Nikki mengaku memendam rasa selama 10 tahun sejak mula menyedari dirinya tidak serasi untuk hidup bersama Audi. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Nikki mengaku memendam rasa selama 10 tahun sejak mula menyedari dirinya tidak serasi untuk hidup bersama Audi. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Mendakwa rasa tidak bahagia terpaksa dipendam demi kebaikan Liam yang bakal menjengah usia 12 tahun, Oktober depan, Nikki meletakkan faktor berkahwin pada usia muda sebagai antara punca keretakan rumah tangga.

"Mungkin disebabkan saya berkahwin pada usia muda. Jadi, saya tidak kenal diri sendiri. Dalam perjalanan (perkahwinan) itu, banyak percanggahan berlaku yang membuatkan saya rasa tidak serasi.

"Sebenarnya, saya pendam perasaan ini lebih 10 tahun dan saya cuba perbaiki keadaan. Tetapi apabila sudah tiada keserasian, tiada gunanya.

"Banyak kali kami hadiri sesi kaunseling. Apabila kaunselor kenal kami dengan lebih dekat, dia jadi takut hendak beritahu tahap persefahaman kami rendah.

"Tetapi apabila kami meluangkan masa sebagai kawan, kami sangat bagus. Cuma sebagai suami isteri, kami tidak serasi. Jadi, kami tidak boleh tipu diri sendiri," katanya yang ditemani Audi pada sidang media itu.

Ditanya mengenai penerimaan Liam, Nikki memberitahu, anaknya dapat menerima hakikat dan biarpun mereka berpisah, tiada yang berubah dalam hubungan kekeluargaan mereka.

"Sebenarnya, lama saya berfikir bagaimana hendak beritahu anak. Jadi, disebabkan Liam, saya bertahan lama.

"Kita sebagai ibu, pasti tidak mahu menyakiti anak. Perkara ini (perceraian) akan menyakitkan dan menghancurkan anak.

"Saya banyak kali berlatih bagaimana hendak beritahu Liam. Namun, seorang teman nasihatkan saya agar bercerita dengan cara mudah dan ringkas.

"Adik-beradik saya juga beri nasihat. Kata mereka, kalau hendak beritahu, cakaplah ketika Liam berada di Kota Kinabalu yang mana ramai anggota keluarga ada bersamanya.

"Namun, akhirnya, pada suatu hari, saya bangun dan terus beritahu Liam kerana memikirkan dia sudah besar. Liam terkejut dan bertanya mengapa," katanya.

Nikki kemudian memberitahu Liam bahawa dia dan Audi lebih baik berkawan, namun, hubungan kekeluargaan terus utuh.

"Saya beritahu Liam, kami akan selalu ada bersama dan dia menjadi keutamaan kami dari dahulu sampai sekarang. Perkara itu tidak akan berubah," katanya.

Bertanya mengenai hak penjagaan anak, Nikki berkata, Liam bebas memilih untuk menetap bersama bapa atau dirinya.

"Hak penjagaan diletakkan pada kami berdua. Terpulang kepada anak saya hendak ikut siapa. Saya tak mahu dia rasa terikat.

"Namun, saya rasa dia lebih selesa dengan bapanya kerana masing-masing suka muzik dan komputer," katanya.

 Nikki meletakkan faktor berkahwin pada usia muda sebagai antara punca keretakan rumah tangga, namun rasa tidak bahagia terpaksa dipendam demi kebaikan anaknya, Liam Mok. - Foto IG Nikki Palikat
Nikki meletakkan faktor berkahwin pada usia muda sebagai antara punca keretakan rumah tangga, namun rasa tidak bahagia terpaksa dipendam demi kebaikan anaknya, Liam Mok. - Foto IG Nikki Palikat

Nikki berkata, pendedahan mengenai perceraian itu dibuat sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-13.

"Saya umumkan sudah bercerai. Perkara sangat susah untuk saya kongsi, tetapi, saya fikir, sudah tiba masanya.

"Saya emosional kerana kerana hari ini adalah ulang tahun perkahwinan kami ke-13. Jadi, saya umum hari ini kerana saya tak mahu jadikan tarikh ini sebagai peristiwa hitam dalam hidup.

"Saya mahu tarikh ini jadi tarikh gembira dan yang membuatkan melangkah ke hadapan. Sebenarnya, perkara ini berlaku ketika pandemik. Ia menyakitkan yang mana saya cuba padam.

"Saya pun tak mahu tipu sesiapa. Saya mahu melangkah ke hadapan, jadi lebih baik berterus terang. Bukan mudah untuk saya cerita, biar saya cerita perkara ini sekali, lepas ini tidak lagi," katanya.

Ditanya sama ada single Sudah yang dirakam ada kena mengena dengan kisah hidup sebagai bekas isteri Mok, Nikki mengiyakan.

Nikki mahu menyanyikan lagu itu kerana liriknya sangat dekat dengan kehidupannya.

"Sebenarnya, apabila ditawarkan menyanyikan lagu itu, saya ragu-ragu. Tetapi lagu ini berkait rapat dengan hidup saya. Ia menggambarkan kisah hidup saya sendiri.

"Jadi, saya mahu menyanyikan lagu itu," katanya yang melancarkan single Sudah ciptaan Naim Daniel yang sepatutnya dirakamkan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Diusik apakah suatu hari nanti dirinya mahu mencari pengganti, Nikki mengaku hatinya belum tertutup untuk menerima mana-mana lelaki. Namun, buat masa ini, dia belum sedia kembali berpasangan.

"Sudah tentu ada yang mahu berkenalan, namun, hati saya belum bersedia untuk berpasangan.

"Lagipun, sekarang saya sibuk menguruskan anak saya yang hendak memasuki sekolah menengah. Saya sedang mencari sekolah sesuai dan tiada masa fikir soal itu," katanya.

Sementara itu, Audi tidak menafikan kesibukan kerja antara faktor perpisahan mereka.

"Saya fikir mungkin kerana sibuk bekerja. Ketika pandemik COVID-19 bermula, saya sangat sibuk.

"Namun, biarpun perkahwinan ini tidak kekal, saya tetap anggap ia suatu rahmat kerana membantu saya dalam mendewasakan diri," katanya.

Berita Harian X