Selasa, 28 Jun 2022 | 7:10pm
Lufya alami kecederaan agak teruk di bahagian muka selepas bergelut dengan lelaki yang didakwa cuba menculik anaknya. - Foto IG Lufya
Lufya alami kecederaan agak teruk di bahagian muka selepas bergelut dengan lelaki yang didakwa cuba menculik anaknya. - Foto IG Lufya

Lufya cedera, gagalkan cubaan culik anak

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Lufya mendakwa berdepan detik cemas apabila dipukul di bahagian kepala dan badan dengan kayu dalam cubaan menculik anaknya, Laana Haura, 5, di sebuah taman permainan di Kota Damansara, di sini, dua hari lalu.

Lufya mendakwa, seorang lelaki berbadan besar memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian kira-kira 4 petang itu.

"Selama ini, saya melihat babak atau aksi ganas dalam kaca televisyen dan pawagam.

"Namun, saya menempuhnya sendiri, dua hari lalu. Lelaki ini memukul saya dengan kayu pada bahagian kepala dan badan menyebabkan saya alami kecederaan agak teruk.

"Syukur, saya dan anak selamat. Ketika kejadian, Laana sempat menjerit meminta tolong, namun, tiada sesiapa di tempat kejadian dapat membantu.

"Nasib baik, saya pernah belajar bertinju, jadi boleh mempertahankan diri apabila berlaku situasi tak terduga ini.

"Saya sempat menendang muka dan menumbuk alat sulit lelaki ini, sebelum berjaya menyelamatkan diri," dakwa Lufya.

Lufya mendakwa, seorang lelaki berbadan besar memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya di sebuah taman permainan di Kota Damansara, dua hari lalu. - Foto IG Lufya
Lufya mendakwa, seorang lelaki berbadan besar memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya di sebuah taman permainan di Kota Damansara, dua hari lalu. - Foto IG Lufya

Ketika dihubungi BH Online, Lufya sedang mendapatkan rawatan dan akan membuat laporan polis, hari ini.

Lufta atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar berkata, sebagai manusia harus, dia sentiasa peka dan berjaga-jaga dalam apa juga situasi.

"Selalunya golongan wanita dianggap lemah, jadi ada ilmu mempertahankan diri.

"Dengan izin Tuhan, saya dapat melawan, sekali gus, menyelamatkan anak.

"Manusia zaman sekarang sanggup buat perkara keji dan semakin hilang perikemanusiaan," katanya memohon doa diberi kesembuhan dan keselamatan.

Menurut Lufya, dia terpaksa menggagahkan diri ke hospital pada hari kejadian untuk mendapat rawatan.

"Kini, saya masih menerima rawatan akibat kecederaan. Namun, keadaan saya okay," katanya.

Berita Harian X