Sabtu, 25 Jun 2022 | 1:00pm
Ruhainies masih berteka-teki status hubungan cinta dengan Mr E. - Foto IG Ruhainies
Ruhainies masih berteka-teki status hubungan cinta dengan Mr E. - Foto IG Ruhainies

'Enggan terus dikecam jaja kisah cinta'

KUALA LUMPUR: Enggan terus menjadi mangsa kecaman, pelakon kecil molek, Ruhainies, 29, tidak mahu menjaja kisah cintanya bersama kekasih yang dikenali sebagai Mr E.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia tidak kisah seandainya netizen terus membuat spekulasi mengenai hubungan dengan jejaka anak hartawan itu.

Sama ada masih menjalinkan hubungan mahupun sebaliknya, biarlah hanya dirinya dan keluarga tahu.

Ketika ini, Ruhainies ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya, malah, tidak mahu peminat terlepas pandang mengenai perkembangan kerjayanya.

Ruhainies berkata, dia tidak merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa yang terdekat.

"Saya mahu fokus mengukuhkan nama dalam kerjaya seni terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan menamatkan zaman bujang.

"Buat masa ini, saya juga tidak mahu hanya dikenali sebagai pelakon drama, sebaliknya mempunyai impian mengembangkan kerjaya ke layar perak," katanya kepada BH Online.

Ditanya mungkinkah Mr E kecewa melihatkan keakrabannya dengan pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin, Ruhainies berkata, setiap apa yang dilakukan mengikut keputusan sendiri.

"Saya rapat dengan Zul sebagai sahabat dan rakan artis. Sebab itu, saya memilih Zul sebagai gimik dalam klip video malam berinai yang dimuat naik menerusi laman Instagram, sebelum ini," katanya yang akan muncul dengan filem baharu berjudul Musyrik - Api Neraka Menantimu!.

Menerusi filem arahan Arjin Uppal itu, Ruhainies bergandingan dengan Ashraf Muslim dan Aeril Zafrel selaku teraju utama.

Antara babak seram Ruhainies kena rasuk dalam filem Musyrik - Api Neraka Menantimu!
Antara babak seram Ruhainies kena rasuk dalam filem Musyrik - Api Neraka Menantimu!

Bercerita mengenai filem Musyrik - Api Neraka Menantimu!, Ruhainies berkata, dia menerima tawaran berlakon disebabkan mahu mencuba naskhah bergenre seram.

"Saya seorang penakut, tetapi Arjin berjaya memujuk saya berlakon dalam filem seram ini.

"Saya bertuah bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Ashraf dan Aeril dalam filem ini.

"Aeril banyak membantu memberi tunjuk ajar untuk saya menjiwai karakter Farah seperti tuntutan watak," katanya.

Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd turut menampilkan barisan pelakon seperti Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Mengulas cabaran membintangi filem seram, Ruhainies berkata, dia berdepan cabaran ketika melakonkan babak Farah dirasuk dalam filem itu.

"Penggambaran filem banyak dilakukan pada waktu malam dan babak dirasuk dibuat jam 3.30 pagi.

"Mujur babak Farah dirasuk dibantu dengan elemen imej janaan komputer (CGI) untuk menghidupkan lagi karakter," katanya.

Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! bakal menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem disiarkan menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies sejak 15 Jun lalu.

Berita Harian X