Jumaat, 24 Jun 2022 | 5:21pm
Aina mementaskan Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 2.0 di Panggung Sari, IB, masih mahu mengekalkan identiti eksentrik dalam bergaya, tetapi mengikut saranan peminat. - Foto IG Aina Abdul
Aina mementaskan Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 2.0 di Panggung Sari, IB, masih mahu mengekalkan identiti eksentrik dalam bergaya, tetapi mengikut saranan peminat. - Foto IG Aina Abdul

Aina janji busana tak keterlaluan dalam konsert

KUALA LUMPUR: Sering mengundang kecaman akibat cenderung melakukan eksplorasi fesyen, Aina Abdul yang bakal mementaskan konsert dua malam di Istana Budaya (IB), esok, berjanji akan menjaga sensitiviti dalam berpakaian.

Namun, Aina yang mementaskan Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 2.0 di Panggung Sari, IB, masih mahu mengekalkan identiti eksentrik dalam bergaya, tetapi mengikut saranan peminat.

"Saya akan tampil dengan busana berbeza pada malam pertama dan kedua. Saya bakal memperagakan 10 persalinan busana hasil ciptaan pereka fesyen tempatan.

"Antara pereka itu adalah Melinda Looi, Zaimi Zulkafli, Rizman Ruzaini, Tsyahmi, Wan & Mary, Behati, Khuntumn dan Masyadi Mansoor.

"Saya masih berani bereksperimen dalam fesyen, namun, pada masa sama menjaga sensitiviti agar tidak terkait isu panas," katanya kepada BH Online.

Tambah pemenang program realiti, Vokal Mania dan The Masked Singer, busana yang digayakan mempunyai maksud tersendiri.

"Malah, ada busana bersifat ekstravaganza seperti yang selalu saya pakai. Tunggu dan lihat hasilnya nanti... Saya memang tidak sabar," katanya.

Aina masih berani bereksperimen dalam fesyen, namun, pada masa sama menjaga sensitiviti agar tidak terkait isu panas. - Foto IG Aina Abdul
Aina masih berani bereksperimen dalam fesyen, namun, pada masa sama menjaga sensitiviti agar tidak terkait isu panas. - Foto IG Aina Abdul

Bercerita mengenai konsert solo keduanya itu, Aina mahu menjadikannya sebagai medan menonjolkan bakat.

Pada masa sama, Aina mahu menzahirkan terima kasih kepada peminat yang menyokongnya sejak mula bertapak dalam dunia seni.

"Alhamdulillah, persiapan konsert semuanya lancar. Konsert ini menjadi tanda usaha gigih saya dan pasukan Aina Abdul Entertainment untuk memberikan sesuatu kepada peminat.

"Kalau boleh, pada malam konsert, saya hendak penonton sama-sama menghayati apa yang saya cuba sampaikan. Kita sama-sama menangis, ketawa dan menyanyi.

"Saya hendak semua orang puas menyaksikan konsert ini. Saya memohon doa peminat agar perjalanan konsert dua malam itu dipermudahkan. Insya-Allah," katanya.

Akhir bulan lalu, Aina dikecam berikutan mengenakan tudung persis rahib ketika menghadiri sidang media Konsert ANWAA 2.0. Berikutan itu, Aina memohon maaf melalui hantaran dimuat naik di Instagram (IG).

Berita Harian X