X
Rabu, 22 Jun 2022 | 4:30pm
Aishah tidak kisah jika digelar ‘andartu’ kerana masih belum bertemu jodoh pada usia 35 tahun.
Aishah tidak kisah jika digelar ‘andartu’ kerana masih belum bertemu jodoh pada usia 35 tahun.

'Satu badan gelembung gatal akibat babak seram'

KUALA LUMPUR: Pelakon tinggi lampai, Aishah Ilias, 35, berdepan detik cemas apabila satu badan menggelembung gatal ketika menjayakan babak seram dalam filem Musyrik - Api Neraka Menantimu!

Berkongsi pengalaman membintangi filem arahan Arjin Uppal itu, Aishah berkata, dia melakonkan watak Wati, isteri kepada Aeril Zafrel dalam filem berkenaan.

"Antara pengalaman sukar dilupakan apabila satu badan menggelembung gatal ketika menjayakan satu babak seram.

"Saya terpaksa dihantar ke klinik untuk mengambil suntikan bagi merawat gatal-gatal ini hingga penggambaran terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

"Memang serik, tetapi saya berkorban demi tuntutan watak. Ini juga pengalaman pertama saya berdepan dengan perkara yang tidak dijangka ketika membintangi naskhah bergenre seram," katanya kepada BH Online.

Aishah sukar melupakan pengalaman satu badan menggelembung gatal sehingga dihantar ke klinik untuk mendapatkan suntikan ketika membintangi filem Musyrik - Api Neraka Menantimu!.
Aishah sukar melupakan pengalaman satu badan menggelembung gatal sehingga dihantar ke klinik untuk mendapatkan suntikan ketika membintangi filem Musyrik - Api Neraka Menantimu!.

Menerusi filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu, Aishah bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Aeril dan Ruhainies selaku teraju utama.

"Saya tidak menolak tawaran berlakon dalam projek filem kerana mahu mengembangkan bakat ke layar perak.

"Sebelum ini, saya pernah membintangi filem seram, Paku dan Pilot Cafe.

"Dalam masa sama, siapa tidak mahu bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Ashraf dan Aeril," katanya.

Selain Ashraf, Aeril, Ruhainies dan Aishah, filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! turut menampilkan barisan pelakon seperti Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem disiarkan menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies sejak 15 Jun lalu.

Diajukan soal pasangan hidup, Aishah berkata, dia tidak kisah jika digelar 'andartu' kerana masih belum bertemu jodoh pada usia 35 tahun.

Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! arahan Arjin Uppal mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan.
Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! arahan Arjin Uppal mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan.

Bagi Aishah, dia hanya menyerahkan soal jodoh pada ketentuan Tuhan.

"Jodoh dan pertemuan urusan Tuhan, siapa kita mahu menentukannya?

"Memang saya ada juga berkawan dengan lelaki, tetapi tiada teman istimewa yang sesuai dijadikan calon suami.

"Saya mencari calon suami baik, bertanggungjawab dan boleh memberi komitmen terbaik apabila berumah tangga pada usia sekarang," katanya.

Diajukan soalan adakah pernahkah didekati suami orang, Aishah menafikannya.

"Setakat ini, hanya lelaki bujang cuba mendekati kerana saya memang mengelak berkawan suami orang.

"Maaflah, saya tidak suka berkongsi kasih dengan wanita lain," katanya.

Berita Harian X