Sabtu, 18 Jun 2022 | 3:00pm
Hazama menyifatkan kolaborasi bersama dua penyanyi hip hop popular, Kmy dan Luca sebagai satu penghargaan.
Hazama menyifatkan kolaborasi bersama dua penyanyi hip hop popular, Kmy dan Luca sebagai satu penghargaan.

Hazama ibarat 'legenda muda'

KUALA LUMPUR: Kejayaan kolaborasi bersama tiga penyanyi tersohor, Datuk M Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah memberikan cabaran kepada penyanyi duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta apabila tampil berkolaborasi dengan Hazama.

Ini kerana tiga single terdahulu, Zuhud, 7 Nasihat dan Neraca memberikan impak besar, justeru, Kmy perlu berusaha gigih dalam menghasilkan lirik yang berbekas di hati pendengar.

"Proses penulisan agak mencabar kali ini. Sebelum ini, kami sudah mengeluarkan tiga single yang memberi impak besar kepada pendengar.

"Jadi, ia tentunya memberikan tekanan dalam mengekalkan momentum sama seperti karya sebelum ini.

"Namun, saya dan Luca percaya, pendengar akan mengkaji bait lirik ditulis untuk memahami dan menghayati rahsia di sebalik single baharu berjudul Makuta," katanya Kmy kepada BH Online.

Menyentuh kolaborasi bersama juara Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan itu, Luca berkata, pemilihan Hazama dibuat kerana mengambil kira bakat, karakter dan personaliti penyanyi rock terkenal itu.

"Hazama adalah penyanyi yang mampu menjiwai karya diberikan. Hazama tahu apa itu seni dan setiap lagu dendangan Hazama pasti menusuk kalbu.

"Saya melihat kehadiran Hazama sebagai legenda muda. Hazama, antara penyanyi dikagumi bakat dan karakternya juga begitu bersahaja," katanya.

Kmy dan Luca menganggap Hazama mampu menjiwai setiap karya diberikan dan lagu dendangannya pasti menusuk kalbu.
Kmy dan Luca menganggap Hazama mampu menjiwai setiap karya diberikan dan lagu dendangannya pasti menusuk kalbu.

Berkongsi cabaran menghasilkan single Makuta, Luca berkata, Makuta bermaksud mahkota dalam bahasa Sunda.

"Single Makuta sepatutnya dilancarkan lebih awal. Namun, kami sukar bergerak dan terpaksa menangguhkan terlebih dahulu disebabkan pandemik COVID-19.

"Demo pertama dirakam pada 2020 sebelum pandemik, manakala vokal Hazama pula hanya dapat dirakam pada pertengahan, tahun lalu.

"Saya mengakui proses rakaman agak perlahan kerana perancangan terpaksa ditangguhkan hampir dua tahun.

"Bagaimanapun, peluang bekerjasama dengan penyanyi bersuara rock ini sangat menyeronokkan.

"Hanya satu sesi rakaman, walau konteks karya ini agak serius, tetapi Hazama berjaya menghadam lirik lagu dengan begitu cepat," katanya.

Single Makuta mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi yang berlaku dalam alam pekerjaan dan kehidupan seharian.

"Ia lebih menjuruskan kepada ketua, pengurus dan wanita. Golongan ini mempunyai mahkota tersendiri dengan kuasa dimiliki.

"Mereka mampu membawa setiap agenda atau tanggungjawab ke arah kebaikan atau sebaliknya dengan mahkota sebagai senjata kuasa veto," ujar Luca lagi.

Sementara itu, Hazama menyifatkan kolaborasi bersama dua penyanyi hip hop popular itu sebagai satu penghargaan.

Lebih lagi, karya Kmy dan Luca sebelum ini terbukti berjaya, selain mereka berpengalaman bekerjasama dengan nama besar dalam industri muzik.

"Bagi saya, single Makuta adalah naskhah yang penuh isi. Saya memberikan sepenuh jiwa dalam mendendangkan karya hebat ini agar sampai ke hati pendengar," kata Hazama.

Single Makuta boleh dinikmati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX dan YouTube Music

sejak 3 Jun lalu. Video muzik dilancarkan menerusi saluran YouTube Kmy Kmo Official pada 10 Jun lalu.

Berita Harian X