Sabtu, 11 Jun 2022 | 8:30am
Azri mendakwa anak-anak merestui niatnya menikahi Azra. Foto NSTP
Azri mendakwa anak-anak merestui niatnya menikahi Azra. Foto NSTP

Azra bukan punca kami bercerai - Azri Iskandar

KUALA LUMPUR: Menyifatkan segala yang berlaku ketentuan Tuhan, pertemuan Azri Iskandar, 54, dengan penulis, Azra Diera Abdul Hamid yang didakwa pelakon itu terjadi selepas 12 hari dia bercerai dengan bekas isteri, Ellie Suriaty, bulan lalu, membuka lembaran baharu.

Biarpun dikecam dek belum cukup sebulan berpisah dengan Ellie, namun, sudah mula mencari pengganti, Azri tidak dapat menepis aura Azra dengan kebolehannya bermain mata pena dan kejelitaan wanita berusia 43 tahun itu.

Terpikat dengan segala yang dimiliki Azra, Azri tidak menunggu lama untuk melamarnya sebagai suri hidup.

Peminat yang terkejut dengan keputusan Azri untuk berkahwin, tertanya-tanya apa yang mendorong aktor ini bernikah sekali lagi, tidak kurang membuat spekulasi konon Azra punca runtuhnya mahligai dibina dengan Ellie hampir dua dekad.

"Saya jumpa Azra 12 hari selepas bercerai dengan Ellie. Azra adalah penulis skrip untuk drama yang saya lakonkan. Jadi, dakwaan saya ada perempuan lain tidak benar.

"Bukan Azra punca perpisahan kami... Saya dan Ellie bercerai pada 17 Mei lalu. Saya jumpa Azra pada 29 Mei.

"Bagi saya keputusan untuk bernikah semula bukanlah terburu-buru. Usia saya bukan lagi muda, begitu juga Azra.

Azri menafikan Azra punca perceraiannya dengan Ellie. Foto IG Azri Iskandar
Azri menafikan Azra punca perceraiannya dengan Ellie. Foto IG Azri Iskandar

"Tidak sesuai kami bercinta seperti lagak orang muda. Selain itu, kami ingin mengelak maksiat jika bercinta atau bertunang lama-lama," dakwanya kepada BH Online.

Justeru, Azri yang bakal bertemu keluarga Azra di Perlis, dua minggu lagi berharap spekulasi konon Azra jadi punca perceraiannya dengan Ellie tidak menjejaskan hubungannya dengan keluarga bakal isteri.

Ditanya apa keistimewaan dimiliki Azra sehingga dia nekad berkahwin dengan wanita itu, Azri menganggap semuanya ketentuan Allah.

Azri bagaimanapun mengaku suka wanita yang pandai menulis dan terpikat dengan kecantikan Azra.

"Azra terlalu istimewa. Saya 'cair' kerana dia pandai menulis dan cantik. Lagipun, Azra percayakan saya. Dia cakap kalau saya serius dengan perhubungan kami, dia minta saya berjumpa orang tuanya.

"Jadi, saya penuhi permintaannya. Kebetulan bapanya ingin berkenalan dengan saya. Sebaik ada waktu berikutan saya sedang 'shooting', saya akan ke Perlis untuk mengunjungi keluarga Azra," katanya.

Selepas pertemuan itu, Azri merancang menghantar ibu saudaranya untuk meminang Azra.

"Kami tidak mahu tunggu lama, kalau boleh saya ingin bernikah dahulu. Seminggu dua selepas itu barulah saya merancang mengadakan majlis persandingan," katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan anak-anak, Azri berkata, mereka merestui perhubungannya kerana melihat dia gembira.

Azri juga tidak mempedulikan kata-kata netizen dengan keputusannya berkahwin.

Tambah Azri, rata-rata yang tidak menyokongnya adalah golongan muda terutama pelajar sekolah. Namun, kelompok berusia tidak menunjukkan reaksi negatif.

"Terpulanglah orang hendak kata apa sahaja. Ada yang kata saya ingin mempermainkan Azra dan begitu juga sebaliknya. Sebenarnya, tidak tidak terlintas langsung soal itu," katanya.

Azri berkahwin dengan Ellie selama 19 tahun sebelum membuat keputusan membawa haluan masing-masing.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 13.

Sebelum menikahi Ellie, Azri mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31; Farah Qistana, 29; dan Nur Anis Mastura, 27, melalui perkahwinan pertama.

Berita Harian X