Jumaat, 10 Jun 2022 | 6:00pm
Razzuan sudah berkeyakinan menyanyi secara langsung selepas dua tahun berlatih sepanjang fasa PKP.
Razzuan sudah berkeyakinan menyanyi secara langsung selepas dua tahun berlatih sepanjang fasa PKP.

Berlatih vokal sepanjang fasa PKP

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Razzuan Rosli terpaksa menangguhkan pelancaran single pertama berjudul Akur sebanyak tiga kali gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, ia tidak mematahkan semangat bintang kelahiran program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 untuk meneruskan langkah sebagai penyanyi.

Razzuan berkata, single Akur ciptaan Shah, Tam Cobain, Sin Syim dan lirik oleh Sulu Sarawak siap dirakam pada 2020.

Namun, katanya, merancang melancarkan single berkenaan selepas enam bulan rakaman.

"Apabila single Akur siap dirakam pada 2020, saya merancang mengadakan majlis pelancaran.

"Namun, tiba-tiba PKP dilaksanakan, jadi terpaksa menundanya. Bukan sekali, tetapi tiga kali hasrat mengadakan pelancaran terpaksa ditangguhkan.

"Apa yang berlaku tidak langsung mematahkan semangat, sebaliknya, saya anggap ada hikmah di sebaliknya. Mungkin jika dilancarkan ketika itu, saya belum yakin menyanyi secara langsung.

"Ini kerana saya bukan seorang yang bagus, memerlukan banyak latihan," katanya kepada BH Online.

Razzuan berkata, dia menggunakan kesempatan fasa PKP berlatih selama dua tahun.

"Alhamdulillah, sekarang sudah ada keyakinan untuk menyanyikan lagu secara langsung," katanya.

Razzuan merancang melancarkan single Akur selepas enam bulan rakaman, namun, tertangguh disebabkan pelaksanaan fasa PKP.
Razzuan merancang melancarkan single Akur selepas enam bulan rakaman, namun, tertangguh disebabkan pelaksanaan fasa PKP.

Bagi Razzuan, merakamkan single sulung adalah pengalaman cukup berharga dalam hidupnya.

"Ini salah satu pengalaman menarik. Sebelum ini, saya tidak pernah melihat proses rakaman lagu dilakukan, jauh sekali melalui pengalaman itu.

"Jadi, saya kagum dan barulah faham keadaannya bila kali pertama melangkah ke studio rakaman.

"Proses rakaman mengambil masa satu hari. Ia juga pengalaman yang sukar kerana saya bukan penyanyi.

"Memang renyah, tetapi saya seronok dengan pengalaman baharu ini," katanya.

Begitu juga penggambaran rakaman video muzik lagu Akur, Razzuan berkata, ia berbeza dengan penggambaran drama.

"Proses rakaman video muzik berbeza dengan penggambaran drama atau projek berkaitan lakonan.

"Untuk video muzik, saya perlu 'miming' dan memberi ekspresi. Pengalaman paling tidak boleh dilupakan apabila penggambaran dilakukan sehingga jam 6 pagi.

"Walaupun kepenatan, tetapi kru tetap memberikan komitmen tinggi. Terima kasih pada pasukan produksi," katanya.

Pun begitu, setiap cabaran dilalui Razzuan sepanjang menyiapkan single Akur memberikannya ilmu baharu terutama dalam bidang muzik.

"Karya ini mengisahkan cinta terlerai di tengah jalan kerana wanita ingin menyambung pelajaran.

"Lelaki pula terpaksa akur dengan keputusan dibuat demi masa depan kekasih.

"Harapan saya agar single Akur diterima dengan baik," katanya.

Single Akur sudah tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Razzuan Rosli sejak 28 Mei lalu.

Berita Harian X