Jumaat, 10 Jun 2022 | 11:00am
Md Nasir (kiri) menjawab soalan penggiat seni yang menghadiri sesi dialog awam di Teater Tun Hamdan, Yayasan Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Md Nasir (kiri) menjawab soalan penggiat seni yang menghadiri sesi dialog awam di Teater Tun Hamdan, Yayasan Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin

'Tunjuk penyata kewangan dahulu'

KUALA LUMPUR: Pergantungan sepenuhnya terhadap bantuan kewangan kerajaan menjadi antara punca syarikat produksi gagal mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus markah dalam penilaian permohonan mendapatkan dana agihan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menghasilkan kandungan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata penerbit perlu membuktikan adanya sumber kewangan kukuh setiap kali memohon dana kerajaan untuk sektor industri kreatif.

"Melalui pengalaman saya dan mengikut data yang ada, kegagalan untuk menyiapkan filem adalah disebabkan kebergantungan 100 peratus kepada dana FINAS (dalam membiayai penerbitan kandungan).

"Jadi, apa yang berlaku adalah mereka (penerbit) tiada sumber kewangan lebih untuk mengendalikan kerja produksi termasuk dalam aspek promosi yang baik.

"Akibatnya, kita dapati mereka (pemohon dana) sekadar bergantung kepada dana lain termasuk yang diperuntukkan bagi membiayai kos pemasaran.

"Ini yang kita mahu elak kerana dana pemasaran ada had. Jadi, dalam hal ini, mereka jelas kenapa permohonan ditolak," katanya kepada BH Online selepas sesi dialog awam bersama penggiat industri kreatif Sabah di Teater Tun Hamdan, Yayasan Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Md Nasir berkata, isu agihan dana kerajaan bagi penghasilan kandungan banyak dibangkitkan dalam sesi dialog, bukan sahaja penerbit di Semenanjung Malaysia, malah Sabah dan Sarawak.

"Perkara dibangkitkan (agihan dana untuk penghasilan filem) dalam sesi dialog awam sebenarnya dibangkitkan banyak pihak.

"Jadi, sebenarnya, perkara dibangkitkan saya sedia maklum dari awal lagi. Setiap persoalan diketengahkan sebenarnya ada yang sudah saya laksanakan dan akan saya lakukan.

"Mereka (pembuat filem) ada yang tidak berpuas hati dalam aspek pembahagian dana dan apabila mereka memohon dana, tiba-tiba ditolak.

"Itu semua sudah dijelaskan kenapa permohonan ditolak. Selalunya, pemohon tidak mencapai markah diperlukan iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus," katanya sambil menambah FINAS mengambil inisiatif menganjurkan sesi dialog awam bersama penggerak industri bagi mendapatkan maklum balas dan mendengar permasalahan mereka.

Md Nasir berkata, FINAS mahu memastikan dana yang diagihkan digunakan secara maksimum dengan menghasilkan produk atau filem bermutu.

"Maksudnya, kita hendak dana itu digunakan untuk menghasilkan filem berkualiti. Pada masa sama, kita juga mahu syarikat produksi ada sumber kewangan sendiri untuk menampung kos agar tidak tersekat di tengah jalan," katanya.

Md Nasir memberitahu, penerbit perlu membuktikan adanya sumber kewangan kukuh setiap kali memohon dana kerajaan untuk sektor industri kreatif. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Md Nasir memberitahu, penerbit perlu membuktikan adanya sumber kewangan kukuh setiap kali memohon dana kerajaan untuk sektor industri kreatif. - NSTP/Mohd Adam Arinin

Selain isu dana, Md Nasir berkata, penggerak industri juga membangkitkan soal 'rate card' atau panduan sebut harga untuk tenaga kerja yang terbabit dalam produksi filem.

"Kita sudah meminta kerjasama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) untuk menjadi koordinator dan berbincang bersama persatuan lain bagi menetapkan kadar minimum dan maksimum pekerja seni.

"Ini merangkumi pelakon, kru dan sebagainya," katanya.

Bulan lalu, FINAS menyerahkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) 2.0 kepada 10 syarikat produksi membabitkan kos berjumlah RM392,461.60.

Pada majlis penyampaian ITFC 2.0, 10 syarikat produksi terpilih bagi fasa suku pertama 2022.

Penyerahan dilakukan Md Nasir kepada syarikat produksi yang berjaya menerbitkan 10 filem cereka yang ditayangkan di bawah Skim Wajib Tayang, di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Kelang.

Langkah itu adalah usaha dan inisiatif berterusan kerajaan melalui FINAS dalam membantu pembangunan industri perfileman melalui strategi galakan dan insentif kepada pemain industri.

Melalui FINAS, kerajaan dilapor memperuntukkan RM1 juta untuk penyerahan insentif berkenaan.

Sesuai dengan pembukaan semula industri kreatif, 10 filem cereka layak menerima serahan ITFC 2.0 dengan jumlah keseluruhan RM392,461.40 bagi suku pertama 2022.

Sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi membantu pembikin filem menerusi ITFC yang dikawal selia FINAS bagi tempoh lima tahun iaitu 2021 hingga 2025 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Berita Harian X