Khamis, 9 Jun 2022 | 5:10pm
Raissuddin bersama Mak Der, Emy dan Uwais mahu menyambung silaturahim selepas pertemuan pertama.
Raissuddin bersama Mak Der, Emy dan Uwais mahu menyambung silaturahim selepas pertemuan pertama.

Dah lama nak bertemu 'kembar Siti Sarah'

KUALA LUMPUR: Kehilangan satu-satunya anak perempuan disayangi, namun, penyanyi dan pelakon era 1980-an, Raissuddin Hamzah dan keluarganya dipertemukan dengan wanita berwajah mirip dengan Allahyarham Siti Sarah.

Pertemuan dengan wanita bernama Emy disifatkan cukup bermakna, apatah lagi, kehadirannya dilakukan secara kejutan ketika Raissuddin menyambut ulang tahun ke-66 pada penghujung Mei lalu.

Kejutan itu diatur isterinya, Siti Fatimah Suberi atau lebih mesra disapa Mak Der dengan mengundang 'kembar Siti Sarah' itu.

Video Raissuddin terkejut dan tergamam dimuat naik Mak Der menerusi Instagramnya ketika meraikan ulang tahun Raissuddin di sebuah restoran di ibu kota. Emy hadir membawa kek hari jadi kepada Raissuddin.

Raissuddin berkata, dia terkejut dan tidak menyangka isteri membuat kejutan dengan mengundang Emy bersama suami dan anak-anaknya.

"Sudah tentu, momen ini cukup bermakna dan tak mampu dilupakan sampai bila-bila.

"Saya sudah lama berhajat mahu bertemu Emy. Tak sangka isteri merancang membuat kejutan pada hari ulang tahun saya.

"Saya akui, kerinduan terhadap arwah tidak pernah pudar, biarpun sudah lebih sembilan bulan pemergian arwah.

"Arwah adalah anak yang ditatang bagaikan minyak penuh sejak lahir sehingga mendirikan rumah tangga dengan Shuib Sepahtu dan dikurniakan empat cahaya mata.

"Arwah manja dan satu-satunya anak perempuan saya. Jadi, kehadiran Emy mengubat kerinduan biarpun hanya dalam tempoh dua jam," katanya kepada BH Online.

Raissuddin berkata, dia dan keluarganya akan menyambung silaturahim dengan Emy, suami dan empat cahaya matanya.

"Emy yang berasal dari Melaka sudah berkahwin dan memiliki empat cahaya mata. Kehidupannya tak ubah seperti arwah.

"Kehadiran Emy umpama jelmaan arwah, sekali gus mengubat kerinduan saya kepada arwah.

"Saya berharap ini bukanlah pertemuan terakhir, saya dan keluarga mahu memanjangkan silaturahim ini," kata Raissuddin.

Uwais terkejut dan menoleh beberapa kali ketika melihat kehadiran Emy pada majlis ulang tahun kelahiran Raissuddin.
Uwais terkejut dan menoleh beberapa kali ketika melihat kehadiran Emy pada majlis ulang tahun kelahiran Raissuddin.

Sementara itu, Mak Der berkata, usaha kejutan dilakukan selepas cerita Emy yang memiliki wajah mirip arwah tular dalam media sosial.

"Saya fikir kenapa tidak berusaha mendapatkan Emy untuk membuat kejutan hari lahir suami.

"Alhamdulillah, usaha dan niat dipermudahkan. Senang berurusan dengan Emy," kata Mak Der.

Mak Der berkata, dia tidak mampu menahan sebak ketika kejutan dilakukan.

"Bayangkan, suami dan cucu sulung, Uwais Al-Qarni terkejut dan memandang beberapa kali melihat Emy, apatah lagi, saya sendiri.

"Perasaan saya bercampur baur perasaan. Ada rasa gembira, teruja dan sedih.

"Tetapi, paling utama, saya dapat menghadiahkan momen ini kepada suami," kata Mak Der.

Menerusi hantaran akaun Facebook, Emy turut memuat naik gambar berserta kapsyen penghargaan.

"Beberapa kali nak jumpa, tak ada rezeki. Kali ini, Allah permudahkan semua.

"Terima kasih Mak Der jemput saya, suami dan anak.

"Keluarga arwah baik-baik semuanya. Tak sombong, sama macam arwah," tulisnya.

Berita Harian X