Rabu, 8 Jun 2022 | 8:30am
Md Nasir (tengah) bersama pembikin filem dalam majlis penyampaian ITFC 2.0 bagi fasa suku pertama 2022. - Foto IG FINAS
Md Nasir (tengah) bersama pembikin filem dalam majlis penyampaian ITFC 2.0 bagi fasa suku pertama 2022. - Foto IG FINAS

10 syarikat produksi terima insentif hampir RM400,000

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyerahkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) 2.0 kepada 10 syarikat produksi membabitkan kos berjumlah RM392,461.60, bulan lalu.

Menerusi majlis penyampaian ITFC 2.0, 10 syarikat produksi terpilih bagi fasa suku pertama 2022.

Penyerahan dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim kepada syarikat produksi yang berjaya menerbitkan 10 filem cereka yang ditayangkan di bawah Skim Wajib Tayang di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Kelang pada pertengahan Mei lalu.

Ia menjadi usaha dan inisiatif berterusan kerajaan melalui FINAS dalam membantu pembangunan industri perfileman melalui strategi galakan dan insentif kepada pemain industri.

Md Nasir berkata, kerajaan melalui FINAS memperuntukkan RM1 juta untuk penyerahan insentif berkenaan.

"Sebagai permulaan, 10 filem cereka layak menerima serahan ITFC 2.0 dengan jumlah keseluruhan RM392,461.40.

"Melalui ITFC 2.0, FINAS harap dapat memberikan motivasi kepada pembikin filem untuk terus menghasilkan karya berkualiti supaya menarik lebih ramai penonton ke pawagam.

"Sejak fasa peralihan ke endemik, kerancakan filem tempatan dan antarabangsa mengisi slot tayangan mula menarik minat penonton ke pawagam," katanya kepada BH Online.

Md Nasir harap dapat memberikan motivasi kepada pembikin filem menghasilkan karya berkualiti dan mampu menarik lebih ramai penonton ke pawagam dengan pemberian ITFC 2.0. - Foto IG FINAS
Md Nasir harap dapat memberikan motivasi kepada pembikin filem menghasilkan karya berkualiti dan mampu menarik lebih ramai penonton ke pawagam dengan pemberian ITFC 2.0. - Foto IG FINAS

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah statistik ITFC 2.0 yang diberikan kepada 10 syarikat menunjukkan kutipan tiket dilihat tidak konsisten.

"Filem Nasi Lemak 1.0 terbitan Entertainment Sdn Bhd memperoleh insentif RM2049,811.30.

"Ia meninggalkan jauh syarikat yang mendapat kutipan tiket terendah, A&S Pictures Sdn Bhd menerusi filem Budak Kripto dengan perolehan sebanyak RM4,00.56.

"FINAS berharap pembukaan pawagam secara meluas mengubah senario tidak konsisten ini," katanya.

Tambah Md Nasir, ITFC menjadi salah satu inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam membantu penggiat industri seni untuk terus bergerak, walaupun berada dalam keadaan sukar.

"Ia juga menjadi​ salah satu misi FINAS demi menggalak dan​ membantu pembikin filem menghasilkan karya tempatan lebih banyak dan berkualiti.

"Kerajaan tidak pernah mengetepikan industri perfileman dalam arus perdana. Kerajaan serius terhadap perkara ini dan menyediakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi membantu pembikin filem menerusi ITFC yang dikawal selia oleh FINAS bagi tempoh lima tahun iaitu 2021 hingga 2025 menerusi RMK-12," katanya.

Tambahnya, KKMM dan FINAS sentiasa berusaha mencari inisiatif lain dari semasa ke semasa bagi membantu penggiat industri perfileman dalam menempuh waktu sukar.

Selain NSP Entertainment dan A&S Pictures, antara syarikat produksi menerima ITFC 2.0 membabitkan Lomo Pictures Sdn Bhd menerusi filem Small Town Heroes dengan perolehan RM53,2755.23, Multimediq Film Productions Sdn Bhd (Rumah Maduku Berhantu, RM36,145.03), Unison Production Sdn Bhd (Mr Peyii, RM26, 918.92) dan Kristal Azmir Sdn Bhd (Prebet Sapu, RM25,586.25).

Selain itu, 555 Film Sdn Bhd (Kongsi Raya, RM22,670.77), Trilion Marketing Sdn Bhd (Syahadan, RM9,491.88), Richplus Media Sdn Bhd (Dendam Kesuma, RM6,955.85) dan Redboy Pictures Sdn Bhd (C144 Human X Nature, RM5,035.69).

Berita Harian X