Khamis, 26 Mei 2022 | 1:00pm
Denden mengagumi kemampuan Amy ketika bersama Search dan menganggap lontaran vokalnya memukau menerusi dendangan dihasilkan dalam setiap album.
Denden mengagumi kemampuan Amy ketika bersama Search dan menganggap lontaran vokalnya memukau menerusi dendangan dihasilkan dalam setiap album.

'Amy Search idola, tak timbul siapa lebih hebat'

KUALA LUMPUR: Mengaku menjadikan Amy sebagai idola, penyanyi berasal dari Indonesia, Denden Gonjalez yang ditampilkan sebagai vokalis Search pada Konsert Search Rockin' On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, pada 11 Jun depan, tidak ambil pusing krisis melanda kumpulan rock ikonik itu.

Denden mengagumi kemampuan Amy ketika bersama Search dan menganggap lontaran vokal penyanyi 'otai' itu memukau melalui dendangan dihasilkan dalam setiap album.

"Saya pandang tinggi dan menjadikan Amy sebagai idola dalam dunia nyanyian sejak dahulu.

"Saya tidak mahu wujud istilah berlawan untuk membuktikan siapa lebih hebat. Pengalaman saya dan Amy amat berbeza.

Masing-masing ada cara dan gaya sendiri. Paling utama, kami bersaing secara sihat.

"Sebab itu, saya tidak ambil pusing dan kisah mengenai kontroversi Search selama ini. Itu urusan mereka yang dahulu. Saya hanya mahu beri yang terbaik untuk konsert kelak," katanya yang akan tampil membuat persembahan bersama Din, Kid, Yan dan Minn pada malam itu kelak.

Sebelum ini, Denden tular selepas aksinya pada sesi uji bakat program The Voice Bulgaria hangat diperkatakan dalam media sosial.

Berikutan itu, gitaris Search, Din atau Noordin Mohd Taib mempelawa Denden menjadi vokalis Search pada Konsert Search Rockin' On Rooftop.

Denden berkata, soal sama ada dirinya lebih hebat daripada Amy juga tidak timbul.

"Saya tidak mahu ulas kalau ada yang kata saya tidak setanding atau tidak sesuai dengan kumpulan Search.

"Pastinya kerisauan saya itu bersarang di mana adakah peminat boleh menerima kehadiran saya.

"Namun, saya tawakal. Pada akhirnya, terserah kepada pendapat masing-masing. Saya percaya setiap daripada kita ada pilihan dan minat sendiri," katanya.

Denden tampil kali pertama bersama Din, Kid, Yan dan Minn dalam Konsert Search Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur pada 11 Jun depan.
Denden tampil kali pertama bersama Din, Kid, Yan dan Minn dalam Konsert Search Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur pada 11 Jun depan.

Denden berkata, banyak lagu Search menjadi siulannya sejak dahulu seperti Isabella, Hilang Dalam Terang, Fantasia Bulan Madu dan banyak lagi.

"Detik dilamar menganggotai Search sukar digambarkan. Perasaan itu bercampur baur. Tentunya, saya sangat senang dan tenang.

"Paling utama, saya bangga kerana bergelar vokalis utama Search," katanya yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan penyanyi Inka Christie dan Judika.

Mengenai persiapan menjelang konsert, Denden mengaku tidak bermasalah menyanyikan lagu kumpulan itu yang rata-ratanya bernada tinggi.

"Saya suka dan senang menyanyikan lagu bernada tinggi. Lagu Search kena dengan vokal saya," katanya yang dijangka mendendangkan 17 lagu kumpulan itu.

Bulan depan, peminat akan menyaksikan dua konsert Search.

Pada persembahan pertama, vokalis asal Search, Amy bersama gitaris, Hillary Ang, Man Kidal dan pemain bes, Nasir Daud pula akan mementaskan Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre di sini, pada 4 Jun.

Konsert Search Rockin' On Rooftop bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan. Ella juga akan berduet dengan Denden.

Peminat masih boleh mendapatkan tiket berharga RM198 dan RM298. Tiket paling murah, RM88, bagaimanapun sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell. Bagi pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com.

Berita Harian X