Selasa, 24 Mei 2022 | 1:00pm
Muhyiddin (kanan) bersama Ahmad Idham menyampaikan duit raya kepada golongan anak istimewa pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, baru-baru ini. - Foto IG Ahmad Idham
Muhyiddin (kanan) bersama Ahmad Idham menyampaikan duit raya kepada golongan anak istimewa pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, baru-baru ini. - Foto IG Ahmad Idham

Perjuangan Ahmad Idham dapat sokongan

KUALA LUMPUR: Usaha murni pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 48, memperjuangkan Hab Pendidikan Khas yang dimulakan sekitar Ampang akhirnya mendapat perhatian masyarakat dan pemimpin.

Perjuangan pengarah filem box-office, Adnan Sempit itu mempertingkatkan pembangunan dan kesedaran terhadap pendidikan khas bukan usaha mudah berikutan sistem sokongan terhadap golongan anak istimewa di Malaysia agak kritikal.

Hanya ibu bapa memiliki anak istimewa memahami pendidikan khas satu keperluan, selain ada antaranya tidak mendapat pendedahan mendalam menjaga anak istimewa, memahami kepentingan modul pembelajaran dan terapi terbaik.

"Hari ini terlakar sejarah baharu dalam hidup saya apabila perjuangan Hab Pendidikan Khas yang saya mulakan sekitar Ampang dapat perhatian masyarakat dan pemimpin.

"Ini adalah perjuangan saya dalam membela nasib anak istimewa agar keresahan mereka didengari masyarakat serta pemimpin.

"Anak istimewa memerlukan sistem sokongan komuniti agar untuk menjalani kehidupan seperti manusia normal," katanya kepada BH Online.

Perjuangan Ahmad Idham mempertingkatkan pembangunan dan kesedaran terhadap pendidikan khas bukan usaha mudah berikutan sistem sokongan terhadap golongan anak istimewa di Malaysia agak kritikal. - Foto IG Ahmad Idham
Perjuangan Ahmad Idham mempertingkatkan pembangunan dan kesedaran terhadap pendidikan khas bukan usaha mudah berikutan sistem sokongan terhadap golongan anak istimewa di Malaysia agak kritikal. - Foto IG Ahmad Idham

Ahmad Idham berkata, dia terharu apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin sudi meluangkan masa menyantuni dan menyampaikan duit raya kepada anak istimewa ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU Negeri Selangor, baru-baru ini.

"Saya berterima kasih kepada Pengerusi BERSATU Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari kerana mengangkat Hab Pendidikan Khas ke peringkat lebih tinggi.

"Saya menganggap ia pembakar semangat dalam terus istiqamah dalam memperjuangkan anak istimewa melalui wadah Hab Pendidikan Khas ini.

"Saya juga akan memperbanyakkan program dan menyusun aktiviti dari semasa ke semasa demi memperkukuhkan sistem sokongan komuniti ini," kata Ketua Cawangan BERSATU Pinggiran Ukay, Ampang itu.

Ahmad Idham berkata, dia juga bersyukur usahanya mendapat kerjasama Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran, Pusat Jagaan Persatuan Komuniti Istimewa dan ibu bapa yang berganding bahu merealisasikan perjuangan Hab Pendidikan Khas itu.

"Saya hanya mengharapkan keredaan Allah agar apa yang sedang diusahakan memberi manfaat besar kepada anak istimewa," katanya.

Berita Harian X