Khamis, 19 Mei 2022 | 8:30am
Ellie enggan mendedahkan punca perceraian, sebaliknya ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.
Ellie enggan mendedahkan punca perceraian, sebaliknya ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.

'Saya masih hormati bekas suami' - Ellie

KUALA LUMPUR: Hampir dua dekad melayari bahtera rumah tangga, tiada angin, tiada ribut, ikatan suci yang dibina pasangan pelakon, Ellie Suriaty Omar, 52, dan Azri Iskandar, 54, akhirnya menemui titik noktah, Selasa lalu.

Tiada pasangan berkahwin mahukan perceraian, namun, siapa kita untuk menidakkan ketentuan takdir. Biarpun tidak lagi tinggal sebumbung dan berkongsi bantal, terlalu banyak kenangan pahit manis suka dan duka yang dikongsi bersama.

Lebih-lebih lagi, sepanjang 19 tahun berkongsi hidup, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18, dan Nur Azreen, 13, sebagai pengikat kasih.

Dalam nada suara tenang, Ellie memberitahu, keputusan untuk berpisah bukan mudah. Malah, akui bintang Spinning Gasing ini, keputusan diambil cukup berat.

Tegas Ellie, bukan dia mahupun Azri tidak cuba menyelamatkan bahtera perkahwinan, sebaliknya, pelbagai usaha dilakukan sejak empat tahun lalu, namun, tidak berhasil.

"Keputusan ini adalah sesuatu yang cukup berat dan tidak dibuat dalam tempoh singkat. Sebaliknya, kami mengambil masa panjang antara tiga hingga empat tahun sebelum keputusan dicapai.

"Pelbagai usaha sudah kami lakukan, bukan kami tidak berusaha langsung bagi menyelamatkan perkahwinan ini. Kami juga berserah, tawakal serta percaya kepada qada dan qadar.

"Kami cuba sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan ini demi anak. Namun, jodoh dan pertemuan semuanya sudah tertulis," katanya ketika dihubungi BH Online.

Ellie dan Azri bercerai secara rasmi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur dengan talak satu, Selasa lalu.

Ellie yang memfailkan perceraian pada 22 April lalu sudah meninggalkan rumah kelamin mereka sebaik perceraian difailkan di mahkamah.

Ellie dan Azri cuba menyelamatkan bahtera perkahwinan, sebaliknya, pelbagai usaha dilakukan sejak empat tahun lalu tidak berhasil.
Ellie dan Azri cuba menyelamatkan bahtera perkahwinan, sebaliknya, pelbagai usaha dilakukan sejak empat tahun lalu tidak berhasil.

Ellie berkata, dia meminta izin daripada Azri untuk keluar rumah kerana enggan bersikap hipokrit.

"Sebelum itu, kami masih duduk bersama. Namun, selepas memfailkan perceraian, saya meminta izin daripadanya untuk keluar rumah. Saya rasa tidak hormat kepada diri sendiri kerana sudah failkan perceraian," katanya.

Ditanya apa yang menjadi punca dia nekad dengan keputusannya itu, Ellie enggan mendedahkan butirannya. Ellie menjelaskan perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsikan.

Cukup, katanya, tiadanya persefahaman sepanjang hidup bersama menjadi punca mereka membuat keputusan untuk membawa haluan hidup sendiri.

"Saya dan Azri sangat menjaga privasi, terutama yang membabitkan hal peribadi. Jadi, biarlah hanya kami berdua sahaja tahu punca perpisahan itu.

"Cuma apa yang boleh saya katakan, tiada lagi persefahaman.

"Walaupun sudah berpisah, saya tetap hormati dia sebagai bapa kepada anak kami. Lagipun kami pernah berkongsi hidup selama 19 tahun, terlalu banyak suka duka dan pahit manis yang kami kongsi.

"Jadi, tentulah sukar untuk saya memadamkan memori bersama. Bagi saya, segala memori itu tidak mampu dibeli dengan wang ringgit," katanya.

Menyentuh soal anak, Ellie berkata, anak faham dan matang dengan apa yang berlaku. Tambah Ellie, dia dan bekas suami tidak pernah menghalang anak memberi pendapat kerana mereka adalah sebuah keluarga.

Mengenai hak penjagaan anak, Ellie berkata, tiada istilah berebut harta, mahupun anak kerana perkara itu tidak menjadi isu.

"Hubungan kami dan anak baik, begitu juga hubungan saya dengan anak tiri. Walaupun saya tidak lagi bersama dengan bapa mereka, mereka tetap menghormati saya sebagai ibu tiri mereka.

"Tiada istilah ingin berebut harta ataupun anak, semua itu tidak menjadi isu," katanya.

Terdahulu, Ellie dan Azri mendirikan rumah tangga pada 2003.

Berita Harian X