Selasa, 17 Mei 2022 | 3:00pm
Wani dan Wany Hasrita pernah muncul dengan single duet berjudul Sinar Terindah pada 2019 dan terbaharu single Sang Purnama.
Wani dan Wany Hasrita pernah muncul dengan single duet berjudul Sinar Terindah pada 2019 dan terbaharu single Sang Purnama.

Wani Syaz kecil hati dibanding dengan Wany Hasrita

KUALA LUMPUR: Jarang meluahkan, namun, penyanyi Wani Syaz berkecil hati apabila peminat menganggapnya sebagai Wany Hasrita.

Bagaimanapun, Wani atau nama sebenarnya, Nursyazwani Selamat, 25, berkata dia tidak menyimpan dalam hati apabila sering dibayangi sahabatnya yang berada di bawah satu pengurusan, FMC Music itu.

"Sudah tentu ada rasa juga perasaan kecil hati apabila ada menyangkakan saya Wany Hasrita, malah membandingkan kami.

"Disebabkan itu, saya selalu mencari single berbeza genre bagi memberi perbezaan. Malah, kami tampil dengan single duet agar orang dapat membezakan kami," katanya kepada BH Online.

Wani dan Wany Hasrita pernah muncul dengan single duet berjudul Sinar Terindah pada 2019 dan terbaharu, lagu Sang Purnama.

Katanya, tindakannya menukar nama pentasnya kepada Wani Syaz pada 2019 banyak membantu orang ramai lebih mengenalinya.

"Sebelum membuat penjenamaan semula saya sebagai Wani Syaz, ramai memanggil saya Wany Hasrita. Itulah kebiasaan yang dilalui apabila bertemu dengan orang ramai.

"Saya kena jelaskan saya bukan Wany Hasrita. Tetapi, ada juga ingat saya Wani Kayrie.

"Selepas menggunakan nama Wani Syaz, saya nampak perbezaan. Bagaimanapun, saya tahu orang akan membandingkan saya dengan Wany Hasrita.

"Apa yang saya boleh katakan, saya dan Wany Hasrita sangat berbeza. Kami berdua ada cara tersendiri," katanya.

Wani tidak menyimpan dalam hati apabila sering dibayangi Wany Hasrita yang berada di bawah satu pengurusan, FMC Music itu.
Wani tidak menyimpan dalam hati apabila sering dibayangi Wany Hasrita yang berada di bawah satu pengurusan, FMC Music itu.

Sementara itu, masih menetap di Batu Pahat, Johor, Wani tidak pernah merancang berpindah ke Kuala Lumpur memandangkan tawaran nyanyian tidak banyak.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Pendusta Cinta itu berkata, dia kini mahu fokus kepada perniagaan restoran miliknya di Batu Pahat.

"Paling banyak, saya terima dua jemputan dalam sebulan. Namun, ia bergantung kepada lagu, kalau lagu tengah popular, banyaklah tawaran.

"Jadi, saya tiada rancangan mahu menetap di Kuala Lumpur sebab sekarang saya mahu fokus pada perniagaan. Kerana saya melihat masa depan saya dalam perniagaan lebih baik daripada nyanyian.

"Lagi pun undangan nyanyian agak berkurangan, takkan saya mahu tunggu undangan nyanyian sahaja. Jadi, saya fikir lebih baik teruskan perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, Wani berkata, dia juga ada terdetik meletakkan titik noktah pada kerjaya nyanyiannya.

"Saya ada fikir begitu, sebab saya tidak akan menyanyi sampai bila-bila. Ada satu masa pastinya saya bersara.

"Tetapi, tidaklah saya memutuskan berhenti menyanyi awal, mungkin sekarang saya memperlahankan sekejap untuk fokus pada perniagaan.

"Saya keluarkan satu single baharu dalam masa setahun pun sudah memadai," katanya yang kali terakhir mengeluarkan single solo berjudul Aku Selalu Setia, tiga tahun lalu.

Berita Harian X