Jumaat, 13 Mei 2022 | 7:53pm
Denden pada sidang media berkongsi butiran mengenai Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang kali pertama menyaksikan dirinya berganding dengan kumpulan rock legenda itu. Foto NSTP Fathil Asri
Denden pada sidang media berkongsi butiran mengenai Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang kali pertama menyaksikan dirinya berganding dengan kumpulan rock legenda itu. Foto NSTP Fathil Asri

Kami Search 'original' - Din

KUALA LUMPUR: "Kami sebenarnya kumpulan Search yang 'original' (asal)."

Itu dakwaan salah seorang anggota Search, Noordin Mohd Taib atau Din apabila ditanya pertembungan dua konsert membabitkan kumpulan rock legenda itu yang bakal berlangsung di ibu negara, bulan depan.

Umpama kapal yang berpecah dua, vokalis Search, Amy bersama gitaris, Hillary Ang, Man Kidal dan pemain bes, Nasir Daud akan mementaskan Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre di sini, pada 4 Jun ini.

Din pula bersama gitaris Kid, pemain bes, Yan, vokalis Denden Gonjalez dan pemain drama, Minn akan beraksi pada Konsert Search Rockin' On Rooftop di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, di sini, pada 11 Jun ini.

Menjelaskan situasi itu, Din memberitahu, anggota Search yang bersamanya adalah penggerak band itu yang 'original'.

"Selama ini, kami tidak pernah keluarkan kenyataan mahu meninggalkan Search atau sebagainya.

Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang menampilkan Denden (tengah) bakal mempersembahkan antara 14 hingga 17 lagu band ikonik itu. Foto NSTP Fathil Asri
Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang menampilkan Denden (tengah) bakal mempersembahkan antara 14 hingga 17 lagu band ikonik itu. Foto NSTP Fathil Asri

"Jika ada kenyataan seumpama itu (dikeluarkan), boleh tunjukkan bukti... Kami tidak gentar. Kami berani kerana benar," katanya pada sidang media dan rumah terbuka Konsert Search Rockin' On Rooftop di sini, hari ini.

Din berkata, dia dan teman-teman band bersikap terbuka andai peminat mahu memilih mana-mana konsert.

"Tidak mengapa kalau peminat anggap Search yang asli wujud bersama Amy. Hendak sokong Search yang sana atau yang ini (merujuk kepada mereka), kami terbuka.

"Kami teruskan perjuangan ini... Bukan hendak berlawan dengan sesiapa. Tak perlu gaduh-gaduh. Kami hendak terus berkarya dan 'enjoy' muzik Search," katanya.

Sementara itu, Kid atau nama penuhnya, Hamzah Mohd Taib berharap peminat kumpulan Search tidak bertelagah sesama sendiri.

"Tidak perlulah hendak bertelagah. Ini adalah pilihan sekalipun kelompok peminat sudah terbahagi dua. Mereka boleh dengar dan sokong ikut suka hati.

"Tidak payah peningkan kepala. Apa yang penting, kita berjuang dan menyokong secara jujur dan matang.

"Nak bertelagah buat apa? Tidak mendatangkan faedah. Perkara ini tidak beri kebaikan langsung... Elaklah jika boleh," katanya.

Sementara itu, konsert dirancang bakal menampilkan kelainan terutama daripada segi bunyi, pencahayaan, rekaan pentas dan pemilihan lagu.

Kumpulan otai itu dijangka membawa antara 14 hingga 17 lagu Search. Ia termasuk dendangan yang jarang dan tidak pernah dimainkan dalam mana-mana konsert.

Contohnya, lagu dipetik daripada album keenam Search iaitu Rampage yang diterbitkan pada 1992.

Konsert Search Rockin' On Rooftop bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan. Ella juga akan berduet dengan Denden.

Peminat masih boleh mendapatkan tiket berharga RM198 dan RM298. Tiket paling murah, RM88, bagaimanapun sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell. Bagi pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com.

Pergeseran antara anggota kumpulan rock ikonik itu membabitkan Amy, Nasir, Din dan Kid sejak beberapa tahun lalu berterusan dan belum menampakkan tanda bakal berakhir.

Berita Harian X