X
Isnin, 9 Mei 2022 | 1:00pm
Fasha terima banyak komen negatif gara-gara menjayakan watak Hanimsya menerusi drama Khilaf Asmara di TV3.
Fasha terima banyak komen negatif gara-gara menjayakan watak Hanimsya menerusi drama Khilaf Asmara di TV3.

Fasha terima ancaman gara-gara Hanimsya

KUALA LUMPUR: Sisi baik mahupun hitam, pelakon Fasha Sandha, 38, tidak pernah gagal mempamerkan lakonan yang berkesan.

Terbaru, watak Hanimsya sebagai perampas lakonan Fasha menerusi drama Khilaf Asmara yang disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 mengundang kebencian, amarah dan kecaman netizen.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia menerima terlalu banyak komen negatif, carutan dan luahan tidak berpuas hati gara-gara watak antagonis itu.

"Saya hanya menjalankan tugas menghidupkan watak Hanimsya. Maafkan saya jika karakter ini sangat keterlaluan.

"Saya berterima kasih kerana menonton, walaupun ramai mencarut, hendak sepak, pukul dan pecahkan televisyen (TV).

"Malah, ada juga penonton mahu hala dan letup mercun roket atas muka saya.

"Namun, sebagai pelakon, saya hanya menjayakan watak mengikut kehendak skrip. Kalau ikutkan, saya juga geram dengan Hanimsya," katanya kepada BH Online.

Antara babak Fasha menggoda Fattah dalam drama Khilaf Asmara di TV3.
Antara babak Fasha menggoda Fattah dalam drama Khilaf Asmara di TV3.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu menjelaskan, drama arahan Uchee Fukada itu bukan sikapnya di alam realiti.

"Saya hanya menjayakan karakter ini, ia bukanlah sikap saya dalam kehidupan realiti.

"Jika ada yang 'panas' dengan Hanimsya, ia bererti usaha saya menghidupkan watak ini berjaya. Itupun sudah membuatkan saya bersyukur biarpun kena maki hamun, setiap hari," katanya.

Fasha berkata, dia mahu menterjemahkan watak yang digambarkan dengan sebaiknya.

"Ini semua tuntutan skrip dan lakonan semata-mata. Saya harap penonton pandang dari sudut positif dan ia mampu memberikan banyak teladan buat kita," katanya.

Isteri kepada Aidil Azizi itu juga memohon maaf kepada penonton yang beremosi dengan watak dilakonkan.

"Ikutkan, banyak tangkap layar yang tidak dapat dikongsi. Carutan diterima juga terlalu ekstrem," katanya.

Selain Fasha, drama terbitan Radius One itu turut dibintangi Nelydia Senrose, Fattah Amin dan Fahrin Ahmad.

Berita Harian X