Sabtu, 7 Mei 2022 | 7:51pm
Khairul Rizuan berterima kasih kepada Janna kerana merakamkan detik kejadian hingga membantu pihak berkuasa mengesan suspek. - Foto Facebook Khairul Rizuan Azizan
Khairul Rizuan berterima kasih kepada Janna kerana merakamkan detik kejadian hingga membantu pihak berkuasa mengesan suspek. - Foto Facebook Khairul Rizuan Azizan

Rakaman kamera Janna bantu tangkap suspek

KUALA LUMPUR: Rakaman kamera papan pemuka kejadian penyampai berita, Khairul Rizuan Azizan diseret ketika cuba mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap kereta miliknya di Damansara Perdana dimuat naik pelakon dan penyanyi popular, Janna Nick membantu pihak berkuasa mengesan suspek.

Secara kebetulan, Janna melalui lokasi kejadian sebaik pulang dari gimnasium, memuat naik rakaman menerusi akaun TikTok dan Instagram miliknya yang kini sudah mendapat hampir 800,000 tontonan.

Khairul Rizuan, 34, berkata, dia berterima kasih kepada Janna kerana merakamkan detik kejadian berkenaan.

"Video berkenaan sangat membantu pihak berkuasa mengesan suspek.

"Saya pula hanya mengalami kecederaan kecil, keadaan saya semakin okay.

"Terima kasih Janna membantu. Saya memang berhasrat bertemu Janna untuk mengucapkan terima kasih kepadanya," katanya.

Terdahulu, Janna tidak mengetahui mangsa yang terbabit dalam kejadian itu adalah penyampai berita TV3.

"Peragut hampir membunuh! Omg! tolong cari jap owner kereta tu. Kesian abang pakai baju Melayu ni. Sampai berdarah-darah tangan kena seret atas jalan. Cermin kereta dia pecah.

"To abang baju Melayu, i don't have your contact number. Taktau macam mana nak pass this video. Luckily my dashcam ada record," tulisnya.

Hantaran ini mendapat reaksi positif dari rakan artis dan pengikut Janna yang memuji usaha dilakukannya. Malah, menerusi komen, akhirnya dua suspek berjaya diberkas.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, Khairul Rizuan mengalami luka di tangan, jari kanan dan lutut kanan akibat diseret kereta Perodua Myvi dipandu suspek yang bertindak melarikan diri.

Janna memuat naik rakaman kamera menerusi akaun Instagram miliknya yang kini sudah mendapat hampir 800,000 tontonan. - Foto IG Janna Nick
Janna memuat naik rakaman kamera menerusi akaun Instagram miliknya yang kini sudah mendapat hampir 800,000 tontonan. - Foto IG Janna Nick

Ketika kejadian, Khairul Rizuan meletakkan kereta Honda City miliknya di tepi jalan untuk ke sebuah kedai serbaneka.

"Sebaik tiba kedai serbaneka itu, saya mendapati premis berkenaan tutup dan kembali semula ke kereta.

"Ketika itu, saya melihat seorang lelaki memakai jaket sedang menendang tingkap bahagian penumpang hadapan kereta saya," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu juga dilihat mengambil beg miliknya yang ditinggalkan di dalam kereta.

"Saya kemudian menjerit ke arah lelaki berkenaan menyebabkannya membaling beg, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

"Saya cuba mengejar dan sempat menumbuk mukanya yang ketika itu sudah berada dalam kereta.

"Namun, suspek bertindak memecut kereta menyebabkan saya terseret di jalan sebelum dapat melepaskan diri," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Damansara.

Semalam, dua adik-beradik dipercayai suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Suspek, seorang lelaki dan wanita tempatan masing-masing berusia 31 dan 24 tahun ditahan di satu lokasi di Puncak Alam, Selangor.

Berita Harian X