Isnin, 2 Mei 2022 | 8:30am
Farah dan anak-anak akan memakai pakaian arwah ketika meraikan Aidilfitri sekiranya terlalu rindukan arwah Pitt. - Foto IG Farah Ahmad
Farah dan anak-anak akan memakai pakaian arwah ketika meraikan Aidilfitri sekiranya terlalu rindukan arwah Pitt. - Foto IG Farah Ahmad

'Hanya jasad tiada, memori utuh terpahat'

KUALA LUMPUR: Hampir tiga tahun menjalani ibadah puasa dan meraikan Syawal tanpa suami tersayang, pelakon Farah Ahmad, 44, dan anak-anaknya kini semakin lali dengan situasi berkenaan.

Pelakon filem Roh yang kehilangan suami yang juga pengarah, Allahyarham Firdaus Hanif pada 2019 itu berkata, dia dan anak-anak sudah menanamkan dalam diri, hanya jasad arwah tiada, namun, memori manis tetap utuh terpahat dalam sanubari.

"Saya dan anak-anak, perasaan kami sama sahaja. Kami tanamkan dalam fikiran, yang tiada hanya jasad arwah, tetapi memori tetap tidak mampu dibuang jauh. Jadi, kami sentiasa kenang momen manis bersama arwah.

"Ramadan dan Syawal juga sama sahaja seperti orang lain. Kami tetap 'enjoy' ketibaan Ramadan dan Syawal, tidak lama lagi.

"Bagi kami, apa-apa bulan pun tetap sama, tiada lagi momen emosional. Saya berharap Allah terus kekalkan keredaan dalam hati saya dan anak-anak," katanya kepada BH Online.

Ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu, sebagai manusia biasa, ada kalanya hatinya dan anak-anak tetap terusik, terutama apabila kepenatan bekerja.

Namun, bagi meleraikan kekusutan itu, Farah berkata, dia akan bercakap-cakap dengan arwah suami dalam kereta, seolah-olah berada di depan matanya.

"Ada masanya perasaan saya juga terusik, tanpa perlu menunggu Ramadan atau Syawal. Apabila kepenatan, saya akan bercakap dengan arwah dalam kereta untuk mengadu.

"Namun, sebaik keluar daripada kereta dan masuk dalam rumah, saya akan berlagak seperti tiada apa-apa di hadapan anak-anak.

"Saya tidak akan sesekali mencampur adukkan perasaan ketika di rumah. Saya perlu kuat di hadapan anak-anak kerana tiada gunanya saya menyuruh anak-anak kuat jika saya sendiri tidak kuat dan sabar.

"Anak-anak ada cara untuk mengekspresi diri. Anak sulung akan tumbuk dinding jika berada dalam keadaan emosi.

"Kami ada cara tersendiri untuk melampiaskan apa yang terbuku dalam hati. Namun, saya tidak pernah anggap apa yang mereka lakukan salah kerana itu cara masing-masing," kata Farah lagi.

Farah dan tiga cahaya mata, Dhia Farhana, Mhia Farhana dan Thia Farhana enggan lagi bersedih ketika meraikan Syawal, namun semakin lali dengan ketiadaan arwah. - Foto IG Farah Ahmad
Farah dan tiga cahaya mata, Dhia Farhana, Mhia Farhana dan Thia Farhana enggan lagi bersedih ketika meraikan Syawal, namun semakin lali dengan ketiadaan arwah. - Foto IG Farah Ahmad

Di sebalik itu, Farah berkata, dia dan anak-anak akan memakai pakaian arwah ketika meraikan Aidilfitri sekiranya terlalu rindukan arwah suami.

Menguruskan tiga cahaya mata sendirian, Farah berkata, dia bersyukur mempunyai sistem sokongan kuat daripada keluarga dan teman-teman.

Katanya, rezekinya juga sentiasa ada. Jika tidak pada lakonan, dia turut membantu ibu mentuanya, Fauziah Nawi menguruskan kelas lakonan, manakala pada waktu lapang menggunakan kesempatan pada kerja seni lukis.

"Alhamdulillah, setakat ini hendak kata tawaran lakonan tidak pernah putus itu tidak juga. Tetapi, saya sentiasa ada kerja yang boleh dilakukan. Ada masanya, saya membantu ibu menguruskan kelas lakonan peribadi.

"Jika tidak sibuk berlakon, saya juga akan memberikan tumpuan pada kerja seni lukis. Ada masanya, saya terpaksa tolak tawaran lakonan kerana perlu menyiapkan lukisan," katanya.

Pada 26 Oktober 2019, arwah Firdaus Hanif atau lebih dikenali sebagai Pitt Hanif ditemui lemas ketika sedang memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Dhia Farhana, 19, Mhia Farhana, 16, dan Thia Farhana, 10.

Berita Harian X