Rabu, 20 April 2022 | 8:30am
Nasha turut membintangi Talbis Iblis yang mengangkat subjek permainan syaitan. Foto Ihsan Infinitus Gold
Nasha turut membintangi Talbis Iblis yang mengangkat subjek permainan syaitan. Foto Ihsan Infinitus Gold

Tayangan perdana di festival dunia

KUALA LUMPUR: Filem seram mengangkat subjek permainan syaitan, Talbis Iblis dan karya aksi 'thriller', The Assistant yang memaparkan kisah lelaki yang merengkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya, terpilih mengisi slot tayangan perdana global pada Far East Film Festival (FEFF) Ke-24 di Udine, Itali.

Lebih mengujakan, kedua-dua filem dihasilkan anak tempatan itu juga bakal bersaing dengan lebih 40 filem dari seluruh Asia pada festival berkenaan yang menghimpunkan karya terbaik dihasilkan pembikin filem rantau ini.

Pemilihan Talbis Iblis dan The Assistant menyertai FEFF dianggap pemerhati industri sinematik tempatan sebagai suatu perkembangan sihat ketika industri kreatif kembali rancak, sesuai dengan fasa peralihan endemik.

Belum ditayangkan di pawagam tempatan, kedua-dua filem terbabit bakal dipertontonkan kepada audiens dunia pada festival berkenaan yang mempromosikan filem Asia di Eropah, mulai Jumaat ini.

Penerbit Eksekutif Infinitus Gold yang menghasilkan filem Talbis Iblis iaitu Gayatri Su-Lin Pillai teruja dengan pemilihan filem berkenaan bersaing di FEFF.

"Apa yang penting bagi kami adalah untuk meneroka peluang mewakili Malaysia melalui filem arahan Kabir Bhatia yang merangkul trofi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 ini.

"Biarpun filem ini memaparkan budaya tempatan di Malaysia, subjek diketengahkan bersifat 'universal'. Mungkin ini menjadi daya tarikan kepada panel awal pemilihan FEFF.

"Tidak ketinggalan, kekuatan barisan pelakon seperti Nasha Aziz, Zul Ariffin dan Azira Shafinaz yang menjiwai watak selain garapan kreatif pengarah," katanya kepada HIP.

Gayatri berkata, dia akan 'terbang' ke Itali pada 27 April depan bagi membawa cabaran Talbis Iblis di FEFF.

"Saya pergi ke Itali bersama Nasha, Azira dan Zul serta wakil penerbit bersama iaitu Jazzy Pictures," katanya.

Penggambaran filem Talbis Iblis dilakukan di Pulau Carey, Selangor sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

Gayatri berkata, penggambaran filem Talbis Iblis disiapkan kira-kira setahun sejak Disember 2018.

"Jika tiada aral melintang, filem ini akan menghantui pawagam tempatan akhir tahun ini," katanya.

Gayatri yang pernah menerbitkan filem Sangkar menyifatkan Talbis Iblis sebagai karya yang tidak wajar dilepaskan penonton.

"Apa yang boleh saya katakan, filem ini penuh dengan inti pati dan elemen seram. Pastinya di bawah arahan Kabir, naskhah ini mampu memberi kejutan.

"Subjek dipaparkan berkisar permainan syaitan yang tak pernah berhenti dalam kehidupan," katanya.

Gayatri optimis cerita seram masih menjadi genre yang digemari bukan sahaja di Malaysia, malah, seluruh dunia.

"Fitrah manusia sukakan pengalaman ekstrem. Kalau kelakar, mahu yang lucu betul. Begitu juga genre seram, hendak rasa ketakutan yang memuncak.

"Genre seram ini memberi peluang kepada penonton untuk melupakan masalah dunia dalam tempoh sejam setengah hingga lebih dua jam.

"Pengalaman itu menyeronokkan untuk penggemar filem. Setiap filem seram, ada sisi tipikal. Semuanya terpulang kepada penerbit serta pengarah untuk memaparkannya dan menyulam inti pati berbeza buat penonton," katanya.

Sementara itu, Adrian Teh bersyukur dan berbangga filem arahannya, The Assistant beroleh rezeki bersaing di FEFF bersama Talbis Iblis.

Hairul (kiri) dan Iedil membintangi The Assistant arahan Teh. Foto Act 2 Pictures
Hairul (kiri) dan Iedil membintangi The Assistant arahan Teh. Foto Act 2 Pictures

Filem terbitan Act 2 Pictures itu diterajui Hairul Azreen dan Iedil Dzuhrie Alaudin.

"Saya gembira atas kejayaan awal ini. Saya bangga dengan hasil kerja barisan pelakon dan kru hingga The Assistant diterima di peringkat antarabangsa," katanya.

Adrian yang juga pengarah filem Wira dan Paskal The Movie memberitahu, dia bersama tiga pelakon utama The Assistant akan berangkat ke Itali, esok.

"Saya dan Hairul, Iedil dan Henley Hii akan berada di Itali selama lima hari," katanya sambil menambah filem The Assistant akan menemui penonton di pawagam mulai 19 Mei depan.

Adrian berkata, kos pembikinan filem The Assistant yang menjalani penggambaran tahun lalu, mencecah RM6 juta.

"Filem ini sarat dengan babak aksi dan banyak 'twist'. Pengakhiran filem ini tidak boleh dijangka.

"Peminat kena pastikan menontonnya hingga minit akhir di mana pada detik itulah terjawab kemuncak segala persoalan," katanya.

Ditanya mengenai kekerapannya mengambil Hairul dalam filem arahannya, Adrian menyifatkan suami Hanis Zalikha itu sangat profesional.

"Saya senang bekerja dengan Hairul. Sama juga dengan Henley yang sudah beberapa kali bekerja dengan saya," katanya.

Talbis Iblis yang mengangkat genre seram diterbitkan dengan kerjasama Astro Shaw, A Next Star Productions, MM2

Entertainment dan Chain FX.

Filem The Assistant turut terpilih menyertai Neuchatel International Fantastic Film Festival (NIFFF) di Switzerland.

Berita Harian X