Selasa, 19 April 2022 | 8:31am
Shuib mengaku masih belum mampu menerima sepenuhnya hakikat bahawa isteri tersayang, Siti Sarah sudah pergi menghadap Ilahi. Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib mengaku masih belum mampu menerima sepenuhnya hakikat bahawa isteri tersayang, Siti Sarah sudah pergi menghadap Ilahi. Foto IG Shuib Sepahtu

Shuib sebak rai Syawal tanpa Siti Sarah

KUALA LUMPUR: Aidilfitri yang bakal disambut dua minggu lagi mengundang sebak buat pelawak dan pelakon, Shuib Sepahtu apabila terkenang momen meraikan hari kemenangan umat Islam itu bersama isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Walaupun cuba menahan, namun, air mata Shuib atau nama penuh, Shahmira Muhamad, 38, gugur tatkala menceritakan pengalaman mereka menyambut 1 Syawal dalam keadaan serba kekurangan pada awal perkahwinan mereka.

"Memori menyambut Hari Raya bersama arwah yang tidak dapat saya lupakan adalah pada zaman kami susah dahulu.

"Walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan perlu berhati-hati ketika berbelanja, iaitu terpaksa buat kira-kira terutama untuk beli pakaian, kuih raya dan duit raya, tetapi arwah tidak kisah.

Shuib meneruskan kehidupan bersama empat anak tanpa Siti Sarah yang meninggal dunia akibat COVID-19, Ogos tahun lalu. Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib meneruskan kehidupan bersama empat anak tanpa Siti Sarah yang meninggal dunia akibat COVID-19, Ogos tahun lalu. Foto IG Shuib Sepahtu

"Momen itulah yang masih saya ingat hingga hari ini," katanya kepada BH Online.

Biarpun sudah lapan bulan pemergian isteri tersayang, namun, perkara yang masih belum mampu diterima sepenuhnya bekas penyampai radio Hot FM ini adalah hakikat Siti Sarah sudah tiada

Malah, dek masih terkenang dan merindui arwah, Shuib hilang selera makan hingga berat badan makin menyusut.

"Saya tidak sakit, cuma tiada selera hendak makan sangat. Hingga hari ini, saya masih tidak jumpa apa yang boleh saya makan. Selalunya dalam bulan puasa, saya suka makan pajeri nanas.

"Ketika saya kemas peti sejuk selepas arwah pergi, saya jumpa pajeri nanas masakannya. Apabila ternampak, saya jadi sebak. Bayangkan, selama 10 tahun saya nikmati makanan itu.

"Bagaimanapun, demi anak-anak, saya paksa diri untuk makan. Makan sekadar untuk beri tenaga dan bukannya beriya-iya.

"Disebabkan itu, saya hilang lapan kilogram (kg) dan dijangka terus menyusut hingga 11 kilogram pada penghujung Ramadan ini.

"Jika itu berterusan, ia tidak baik untuk kesihatan. Ini akan menyebabkan saya kurus seperti papan dan muka menjadi cengkung," ujar bapa kepada empat cahaya mata ini.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu akibat COVID-19, iaitu tiga hari selepas melahirkan anak bongsu, Ayyash Affan.

Semalam, Shuib menghadiri majlis berbuka anjuran Indigital Music di sebuah hotel, di sini. Shuib turut mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak penghuni sebuah rumah kebajikan yang menjadi tetamu istimewa acara berkenaan.

Berita Harian X