Sabtu, 16 April 2022 | 1:00pm
Sharifah Rose tak pernah tersinggung mahupun ambil hati, malah belajar daripada teguran diterima. - Foto IG Sharifah Rose
Sharifah Rose tak pernah tersinggung mahupun ambil hati, malah belajar daripada teguran diterima. - Foto IG Sharifah Rose

'Kritikan jadi motivasi berlakon lebih baik'

KUALA LUMPUR: Satu demi satu drama terbitan TV3 mengetengahkannya sebagai heroin, pelakon baharu, Sharifah Rose, 23, menafikan beliau menjadi 'anak emas' kepada stesen televisyen itu.

Rose atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, percaya tawaran diterima berikutan sambutan positif selepas membintangi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard.

"Anak emas itu tidaklah. Mungkin daripada drama pertama bersama Redza Rosli, ia dapat menarik perhatian penonton. Jadi, dari situ, mungkin stesen televisyen perasan saya dan memberikan peluang baharu.

"Dari situ jugalah karier lakonan saya berkembang. Saya rasa ini semua adalah rezeki saya. Alhamdulillah," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media drama Do You Love Me, Captain? secara virtual, baru-baru ini.

Menerusi drama itu, Rose diberikan kepercayaan menghidupkan watak utama, di samping pelakon baharu, Ali Rezark.

Mengulas sama ada masih berhadapan dengan kritikan, Rose tidak menidakkan kenyataan itu, tetapi dalam masa sama, banyak belajar daripada teguran yang diterima.

"Dari dahulu, dengan kritikan itulah saya belajar. Saya tak pernah tersinggung atau ambil hati.

"Sebab ada kala apa yang dikritik sebab nampak perkara yang kita tak nampak. Sebab saya tak nampak diri saya pada skrin. Hanya pengarah, rakan pelakon serta penonton nampak, jadi saya belajar terima teguran mereka.

"Jadi, apabila orang kritik saya di sosial media dan sebagainya, dari situ saya jadikan motivasi untuk saya buat yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Sharifah Rose diberikan kepercayaan menghidupkan watak utama di sisi Ali Rezark menerusi drama Do You Love Me, Captain? - Foto Ihsan TV3
Sharifah Rose diberikan kepercayaan menghidupkan watak utama di sisi Ali Rezark menerusi drama Do You Love Me, Captain? - Foto Ihsan TV3

Mengulas lanjut drama romantik komedi itu, Rose yang menjayakan watak Daneena itu berseronok sepanjang penggambaran, apatah lagi ia membariskan ramai pendatang baharu sepertinya.

"Kami bekerja di lokasi penggambaran dengan gembira dan tiada rasa tertekan. Malah, saya banyak belajar perkara baharu dalam drama ini.

"Saya bekerja dengan orang yang berbeza dalam setiap drama. Jadi, ia selalunya proses pembelajaran bagi saya.

"Kali ini saya banyak belajar dari pelakon gandingan saya yang rata-ratanya pendatang baharu. Ini juga kali pertama bergandingan dengan Ali dan kami berdua adalah pendatang baharu.

"Jadi, kami belajar banyak daripada satu sama lain. Kami berkongsi banyak ilmu di lokasi penggambaran," katanya.

Do You Love Me, Captain? terbitan Creative Skill Solution ditayangkan menerusi slot Lestary di TV3 sejak 13 April lalu. Ia turut dibintangi Faye Kusairi, Azim Yusof dan Hazeeq Dean.

Berita Harian X