Jumaat, 15 April 2022 | 3:00pm
Ajai teruja apabila video rakaman tular, sekali gus ia menandakan strategi mempromosikan album Gema Lebaran Legenda yang diterbitkan empat tahun lalu menjadi.
Ajai teruja apabila video rakaman tular, sekali gus ia menandakan strategi mempromosikan album Gema Lebaran Legenda yang diterbitkan empat tahun lalu menjadi.

Video Ajai, Sanisah Huri tular sejuta dalam TikTok

KUALA LUMPUR: Tindakan komposer terkenal, Ajai memuat naik video yang memaparkan penyanyi malar segar, Sanisah Huri menyanyikan lagu Bersabarlah Sayang dalam aplikasi TikTok menjadi tular hingga meraih lebih sejuta jumlah tontonan, baru-baru ini.

Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut dan peminat penyanyi kelahiran Singapura itu teruja dengan usaha Ajai merakamkan semula lagu yang cukup dekat di hati pendengar terutama apabila tiba Aidilfitri.

Mengulasnya, Ajai meluahkan rasa teruja dengan maklum balas diberikan kerana ia menandakan strateginya untuk mempromosikan album berkonsepkan Aidilfitri Raya berjudul Gema Lebaran Legenda yang diterbitkan empat tahun lalu menjadi.

"Saya tidak terkejut langsung apabila video yang dimuat naik dalam aplikasi TikTok itu tular. Ini kerana saya memang sudah menjangka perkara ini pasti berlaku.

"Video ini sudah lama dirakam iaitu ketika pembikinan album Gema Lebaran Legenda pada 2018. Tujuan saya memuat naik video untuk mempromosikan semula album berkenaan.

"Kami tidak dapat buat publisiti ketika album dilancarkan empat tahun lalu berikutan berlaku beberapa masalah.

"Nyata strategi saya menjadi apabila video ini tular. Saya berasakan ini adalah masa sesuai mempromosikan album Gema Lebaran Legenda kerana peminat hari ini begitu mendambakan lagu klasik raya yang boleh membawa nostalgia kepada mereka," katanya kepada BH Online.

Album terbitan bersama komposer terkenal, S Atan ini memuatkan kembali untaian yang pernah dibawakan penyanyi legenda seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan isteri, Allahyarham Puan Sri Saloma, Datuk Sharifah Aini, Datin Rafeah Buang, S Jibeng, Datuk Ahmad Jais dan ramai lagi.

Mengakui menjadikan Sanisah sebagai 'umpan' berikutan tarikan yang ada padanya, Ajai berkata, tujuan video dimuat naik juga untuk memberi rezeki kepada penyanyi bersuara lunak itu.

"Saya menjadikan Sanisah sebagai kandungan utama dalam perkongsian ini. Ini kerana beliau mempunyai aura tersendiri dan memiliki ramai peminat.

"Selain itu, Sanisah laris setiap kali menjelang Ramadan dan membawa kepada Syawal hanya bersandarkan lagu raya evergreen yang dinyanyikan itu.

"Selain mahu memberi hiburan, saya juga ingin membantu Sanisah mendapatkan lebih banyak tawaran persembahan.

Ajai dan Sanisah bekerjasama ketika rakaman semula tiga lagu raya malar segar nyanyian penyanyi legenda itu, empat tahun lalu.
Ajai dan Sanisah bekerjasama ketika rakaman semula tiga lagu raya malar segar nyanyian penyanyi legenda itu, empat tahun lalu.

Disebabkan itu, kami mahu mempromosikan album semula dan percaya kepada kekuatan yang ada pada album ini," terang komposer berusia 46 tahun ini.

Sementara itu, berkongsi pengalaman bekerja dengan penyanyi yang popular dengan lagu Sejakku Bertemu Padamu ini, Ajai berkata, dia cukup mengagumi komitmen yang diberikan Sanisah sepanjang rakaman.

"Untuk album ini, Sanisah merakamkan tiga lagu popular iaitu Aidilfitri, Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri dalam versi baharu.

"Alhamdulillah, beliau berjaya merakamkan semua lagu ini dalam masa sehari dan nyanyiannya masih menggunakan 'key' asal.

"Sepanjang bekerja dengannya, Sanisah sangat profesional. Apa yang membuatkan saya kagum adalah persediaannya sebelum masuk studio.

"Beliau sudah tahu apa yang perlu dilakukan oleh seorang penyanyi tanpa perlu diingatkan. Paling seronok, dari segi ketenangan ketika rakaman dijalankan.

"Aura penyanyi veteran memang lain. Situasi ini menjadikan sesi rakaman menjadi lebih mudah. Namun hasilnya tetap terbaik," puji Ajai.

Ditanya apakah ada perancangan membawa Sanisah ke Malaysia untuk tujuan promosi, Ajai berkata, setakat ini, tiada sebarang perbincangan ke arah itu.

"Jika dapat bawa Sanisah ke Malaysia, bagus juga. Tetapi, buat masa ini, memang tiada perancangan membawanya ke sini.

Bagaimanapun jika ada kelapangan dan beliau pun sihat, perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil," ujarnya.

Selain Sanisah, penyanyi lain yang turut terbabit dengan pembikinan album termasuk Datuk Yusni Hamid, Ziana Zain, Salamiah Hassan, Ramlah Ram, Salwa Abdul Rahman, Salma, Hael Hussaini, Hazama, Syamel, Haziq dan Fazli Zainal.

@byajai

Bersabarlah Sayang Rasa Win.. Bila Dapat Reckan Lagu Ini Balik.. Lagi Win Bila Dinyanyikan Oleh Penyanyi Asalnya. Sanisah Huri Alhamdulillah ️

original sound - byajai

Berita Harian X