Selasa, 12 April 2022 | 1:00pm
Eyka yang kini muncul dengan filem Autumn in Wales arahan Rahila Ali. - Foto IG Eyka Farhana
Eyka yang kini muncul dengan filem Autumn in Wales arahan Rahila Ali. - Foto IG Eyka Farhana

Eyka terpaksa tolak drama seberang?

KUALA LUMPUR: Diberi kepercayaan membintangi naskhah terbitan negara seberang, Indonesia menerusi drama rantaian, Pretty Little Liars menjadi peluang yang berharga buat pelakon kecil molek, Eyka Farhana.

Eyka berkata, peluang itu sangat bagus buatnya untuk melebarkan sayap dalam bidang lakonan, namun tawaran kembali menjayakan musim ketiga naskhah adaptasi drama Hollywood itu terpaksa ditolak ekoran pandemik COVID-19.

"Sepatutnya, saya menjayakan sambungan Pretty Little Liars musim ketiga, tahun lalu. Namun, sempadan negara belum dibuka, jadi saya terpaksa menolak.

"Syarikat produksi pula mengatakan jadual tidak boleh ditukar kerana semuanya sudah diatur. Jadi, tidak tahu macam mana nak buat, saya pun sudah cuba pelbagai cara.

"Tambah lagi, saya sedang menjayakan penggambaran drama bersiri, Dukun Diva, tetapi pihak produksi melepaskan saya untuk ke Indonesia.

"Malangnya, kerajaan masih tidak membenarkan kita ke luar negara," katanya kepada BH Online.

Ekoran itu, pihak produksi Pretty Little Liars 3 terpaksa menukar pelakon lain menggantikan Eyka.

Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi berkata, watak Ema terpaksa digantikan dengan pelakon lain iaitu Caitlin Halderman.

"Secara jujurnya, saya kecewa sangat. Ia adalah satu daripada impian untuk berlakon di Indonesia.

"Jadi, apabila mendapat peluang pasti saya mahu teruskan, apatah lagi, drama Pretty Little Liars akan bersambung sehingga musim kelima.

"Disebabkan rasa kecewa, saya tidak keluar bilik selama seminggu. Namun, apabila saya fikir balik, mungkin ada rezeki lain. Jadi, kalau diberikan tawaran lagi untuk berlakon di Indonesia, saya tidak akan menolak," katanya.

Eyka kecewa hingga tidak keluar bilik selama seminggu berikutan terpaksa menolak membintangi drama Pretty Little Liars musim ketiga. - Foto IG Eyka Farhana
Eyka kecewa hingga tidak keluar bilik selama seminggu berikutan terpaksa menolak membintangi drama Pretty Little Liars musim ketiga. - Foto IG Eyka Farhana

Sementara itu, Eyka yang kini muncul dengan filem Autumn in Wales berkongsi pengalamannya bekerja bersama produksi negara seberang itu.

"Dari segi persekitaran kerja, banyak benda yang dipelajari. Antaranya, cara mereka bekerja dan mendapat ilmu baharu apabila bekerjasama dengan barisan pelakon Indonesia.

"Pada awalnya, saya gementar kerana hanya saya seorang sahaja pelakon dari Malaysia, tetapi mereka sangat profesional," katanya.

Tambahnya, sikap profesional pasukan produksi membuatkannya selesa untuk bekerja.

"Walaupun jumlah kru agak ramai iaitu dua kali ganda berbanding pasukan produksi Malaysia, mereka tetap berjaya membuatkan saya selesa. Sistem kerja di Indonesia berbeza dengan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Eyka turut menyimpan impian untuk berlakon bersama pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Irwansyah, kerana menggemari filem lakonannya, My Heart.

Terbaru, filem lakonannya, Autumn in Wales kini ditayangkan di platform Astro First. Berbeza watak biasa dilakonkannya, Eyka membawakan watak komedi.

"Selalunya, saya melakonkan watak romantik. Kali ini, saya melakonkan watak komedi dan berbeza daripada karakter sebenar saya.

"Dalam filem ini, saya memegang watak Aira. Saya pernah berlakon di bawah arahan Rahila Ali dan banyak membantu saya untuk menjayakan watak ini," katanya.

Menerusi filem terbitan Pencil Pictures itu, Eyka bergandingan dengan Keith Foo, Jaa Suzuran dan Amyza Aznan.

Berita Harian X