Isnin, 11 April 2022 | 6:40pm
Bunga sibuk dengan pembikinan album pertama yang dijangka keluar, Jun depan. - Foto IG Bunga Isme
Bunga sibuk dengan pembikinan album pertama yang dijangka keluar, Jun depan. - Foto IG Bunga Isme

Bunga 'laris' selepas AJL 36

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Bunga Isme, 22, bersyukur laluannya membina nama sebagai penyanyi rap disambut baik selepas menjadi finalis dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36, baru-baru ini.

Justeru, kata Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini mengambil peluang dengan memanfaatkan setiap tawaran yang diberikan, meskipun pada bulan puasa.

"Alhamdulillah, saya menerima banyak tawaran seperti ada projek untuk lagu raya, iklan dan menjayakan kempen untuk beberapa jenama besar pada Ramadan ini.

"Ini juga kali pertama saya menjayakan kempen bersama jenama besar. Saya sememangnya berharap orang nampak bakat saya selepas AJL 36.

"Syukur, segala-galanya menjadi kenyataan. Saya ingatkan peminat akan fokus pada barisan pemenang sahaja. Artis tak menang dirasakan kena bekerja keras sikit, tetapi Alhamdulillah rezeki sentiasa ada," katanya kepada BH Online.

Bunga berkata, selain fokus dengan ibadah puasa, dia juga bekerja dalam masa yang sama.

"Bagi saya, saya akan berusaha habis-habisan pada usia yang masih muda. Kalau nak rehat, tunggulah masa yang sesuai nanti. Selagi ada kudrat, saya akan teruskan," katanya.

Tambah penyanyi lagu Intan Payung ini, dia juga sedang berusaha menyiapkan album pertama.

"Sekarang sudah ada lima lagu dalam tangan, cuma proses penulisan melodi, belum lagi. Jadi, harapnya sudah ada satu produk yang keluar sekitar Jun depan.

"Lagu Intan Payung dan Belai turut akan dimuatkan dalam album ini, menjadikan semuanya sebanyak 10 lagu. Tujuh lagu baru dan tiga lagu sedia ada," katanya.

Bunga mengambil peluang memanfaatkan setiap tawaran diberikan, meskipun pada bulan puasa. - Foto IG Bunga Isme
Bunga mengambil peluang memanfaatkan setiap tawaran diberikan, meskipun pada bulan puasa. - Foto IG Bunga Isme

Tidak hanya itu, Bunga turut sibuk dengan pengajiannya dalam bidang Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan.

"Saya masih belajar menerusi talian, jadi tidak sukar untuk saya ikut sama," katanya.

Sementara itu, Bunga mengakui, dia tidak meletakkan harapan besar untuk lagu seterusnya diterima baik seperti lagu-lagunya sebelum ini.

Kata Bunga, dia enggan kecewa apabila meletakkan harapan yang tinggi.

"Saya tak mahu lagu tak jadi, saya sedih. Disebabkan itu, apabila tak letak harapan tinggi, kita lebih selesa dan bersemangat nak buat.

"Jadi saya tidak letak harapan tinggi, tetapi saya berikan usaha sama seperti lagu-lagu sebelum ini. Dalam masa sama, saya akan cuba memberikan 'rupa' dan 'rasa' berbeza untuk lagu seterusnya bagi memberikan variasi pada profil seni saya.

"Saya nak orang kenal sebagai penyanyi yang berani mencuba sesuatu genre muzik lain dari lain. Bukan bermaksud saya lupa asal usul atau lupa daratan, tetapi mencari arah lebih mengenali muzik. Selagi saya boleh teroka, saya teroka," katanya.

Tambah Bunga, dia akan memperbanyakkan lagu solo, memandangkan sudah mengeluarkan beberapa lagu duet antaranya bersama Noraniza Idris, Siti Nordiana dan Amsyar Lee.

Berita Harian X