Sabtu, 9 April 2022 | 3:00pm
Amy terkenang mengambil tugas memasak sepenuhnya ketika arwah ibu tidak kuat dan sihat menjelang Syawal. - Foto Amy Search
Amy terkenang mengambil tugas memasak sepenuhnya ketika arwah ibu tidak kuat dan sihat menjelang Syawal. - Foto Amy Search

Amy sayu terkenang arwah ibu

KUALA LUMPUR: Pemergian ibu tersayang, Allahyarham Fatimah Idris yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada 1 Ogos, tahun lalu meninggalkan kesayuan di hati penyanyi otai, Amy Search.

Bagi Amy, Ramadan ditempuhi saat ini berbeza tanpa kehadiran insan bernama ibu.

"Tahun ini, saya menyambut Ramadan tanpa seorang ibu. Masa menziarahi pusara arwah, terasa sedih sangat. Ingat lagi dahulu, saya akan balik ke Johor Bahru menziarahi pusara ayah sebelum Ramadan.

"Kebiasaannya, seminggu sebelum raya, saya sudah berada di kampung. Masa itu, saya akan kemas rumah, pasang langsir, anyam ketupat dan pergi ke pasar beli keperluan sambut raya.

"Saya akan menyiapkan semua bahan-bahan nak memasak. Termasuklah menu kegemaran, rendang daging atau paru dan ayam masak hijau," katanya.

Pagi semalam, Amy lerai kerinduan menziarahi pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara.

Amy luah kerinduan ketika menziarahi pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, semalam. - Foto Amy Search
Amy luah kerinduan ketika menziarahi pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, semalam. - Foto Amy Search

Penyanyi lagu Tiada Lagi itu menambah, dialah yang mengambil tugas memasak sepenuhnya ketika arwah ibu tidak kuat dan sihat.

"Tetapi, masa itu arwah emak akan tunjuk dan bantu macam mana nak menumis bahan-bahan basah dan kering.

"Namun, semua itu sudah menjadi kenangan. Ramadan kali ini terasa sangat tanpa arwah emak dan ayah, apatah lagi, saat menyambut Syawal.

"Tiada momen bersalaman mohon ampun dosa," katanya.

Amy menambah, arwah jarang mengadu kesusahan yang dialami ketika masih hidup.

"Al-Fatihah untuk mereka berdua. Moga Allah tempatkan mereka di syurga firdausi dengan keredaan-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.

Berita Harian X