Sabtu, 9 April 2022 | 11:00am
Shuib dan anak-anaknya tampil dalam program Diary Daddy sebanyak lima episod, setiap Sabtu jam 5.30 petang di TV3 sejak 2 April lalu.
Shuib dan anak-anaknya tampil dalam program Diary Daddy sebanyak lima episod, setiap Sabtu jam 5.30 petang di TV3 sejak 2 April lalu.

'Sukar padam memori Ramadan arwah Sarah'

KUALA LUMPUR: Ramadan kali ini tidak seindah tahun-tahun sebelumnya bagi pelawak dan pelakon, Shuib Sepahtu, 38.

Pemergian isteri tersayang yang juga penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang menghadap sang pencipta pada tanggal 9 Ogos, tahun lalu akibat COVID-19, tiga hari selepas berjuang melahirkan anak bongsu, Ayyash Affan membuatkan kehidupan Shuib tidak lagi seindah dahulu.

Andai orang lain tidak sabar menantikan kehadiran Ramadan, berbeza pula Shuib. Kedatangan bulan mulia itu dilalui dengan penuh kesayuan apabila buat kali pertama menyambutnya tanpa isteri di sisi.

Keterujaan dan keseronokan melakukan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan bagaikan lenyap sejak ketiadaan isteri di sisi.

Namun, Shuib atau nama sebenarnya, Shamira Muhammad harus teguh melangkah demi empat cahaya mata yang masih kecil, selain memerlukan belaian dan kasih sayang.

"Saya anggap Ramadan kali ini paling mencabar. Ini kerana kali pertama saya menyambutnya bersendirian tanpa arwah Sarah di sisi. Anak-anak tiada masalah, mereka sangat teruja menyambut puasa.

"Dua tiga minggu sebelum tibanya bulan Ramadan, mereka sudah menunjukkan keterujaan. Jujurnya, saya tak susah menguruskan anak-anak, mereka tiada masalah bangun sahur dan berpuasa.

"Tiada merengek mahupun menangis. Alhamdulillah, mereka cukup bersemangat pada bulan puasa, malah melakukan pelbagai aktiviti bagi elak kebosanan ketika menunggu waktu berbuka puasa.

"Ada masa mereka menemani saya ke bazar Ramadan membeli juadah berbuka," kata Shuib ketika ditemui pada sidang media program Diari Daddy secara virtual, baru-baru ini.

Namun, kata Shuib, perkara paling dirindui bersama arwah adalah kemeriahan berbuka puasa di kediamannya setiap tahun.

Katanya, sudah menjadi kelaziman arwah mengundang sanak saudara dan sahabat berbuka puasa di rumah, malah kediaman meriah dengan kehadiran tetamu umpama majlis kenduri kendara, hampir setiap malam.

"Kami suka suasana orang ramai di rumah. Setiap tahun, ruangan paling atas kediaman akan dijadikan tempat berbuka puasa.

"Kami bentang tikar dan duduk berbuka puasa beramai-ramai. Boleh katakan, arwah akan menganjurkan aktiviti berbuka puasa di kediaman tanpa gagal, setiap tahun.

"Itulah momen paling indah tidak mampu dilupakan sampai bila-bila. Saya anak tunggal dan dilahirkan dalam keluarga sangat kecil. Jadi, saya belajar makan beramai-ramai ketika berbuka puasa dan bersahur selepas berkahwin dengan arwah.

"Ketika bujang, saya berbuka dan bersahur bersendirian, namun ia sesuatu yang menyeronokkan apabila menyertai keluarga arwah. Walaupun arwah sudah tiada, tradisi berbuka puasa beramai-ramai masih diteruskan," katanya kepada HIP.

Shuib menerima tawaran menjayakan program Diary Daddy demi anak-anak, selain mahu mencipta memori bersama mereka.
Shuib menerima tawaran menjayakan program Diary Daddy demi anak-anak, selain mahu mencipta memori bersama mereka.

Berkongsi program Diari Daddy, Shuib berkata, ia bukan bermakna dirinya bersedia kembali mewarnai dunia hiburan, sebaliknya, menerima pelawaan TV3 menjayakan program berkenaan demi anak-anak.

Katanya, dia ingin mencipta memori dan ingin anak-anak tahu kepayahan bekerja dan mencari duit demi menyara keluarga.

"Saya menerima tawaran menjayakan program Diary Daddy kerana dapat mengeratkan hubungan dengan anak-anak, memandangkan mereka turut terbabit dalam program ini.

"Saya mahu anak-anak tahu bukan mudah kerja penggambaran. Jadi, mereka tahu betapa bersusah payah saya bekerja selama ini demi menyara keluarga.

"Alhamdulillah, anak-anak seronok sepanjang penggambaran. Saya tak sangka mereka berbakat dan memberikan kerjasama yang sangat baik.

"Program Diary Daddy bakal menjadi memori yang indah buat kami," katanya.

Anak kelahiran Johor Bahru itu berkata, walaupun boleh menghasilkan sendiri program seperti ini untuk saluran YouTube, namun ia tidak sama.

"Ini kerana perjalanannya lebih lancar dan menarik kerana dilaksanakan oleh mereka yang profesional berbanding jika penggambaran sendiri untuk YouTube," katanya.

Program Diari Daddy ditaja oleh Lipton dan Panadol disiarkan sebanyak lima episod, setiap Sabtu, jam 5.30 petang sejak 2 April lalu di TV3

Ia mengisahkan rutin harian keluarga Shuib, pelawak dan usahawan terkenal bersama empat cahaya mata. Ia memaparkan bagaimana Shuib membahagikan masa antara kerja dan anak-anak terutama merancang aktiviti harian sepanjang Ramadan.

Berita Harian X