Jumaat, 8 April 2022 | 11:00am
Pengalaman Ahmad Idham dan isterinya, Amy membesarkan anak istimewa, Ahmad Firdaus membuatkan mereka sedar, industri pendidikan khas untuk anak istimewa masih kritikal di Malaysia. - Foto Ihsan Ahmad Idham
Pengalaman Ahmad Idham dan isterinya, Amy membesarkan anak istimewa, Ahmad Firdaus membuatkan mereka sedar, industri pendidikan khas untuk anak istimewa masih kritikal di Malaysia. - Foto Ihsan Ahmad Idham

Ahmad Idham laksana inisiatif pendidikan anak istimewa

KUALA LUMPUR: Selepas kontrak sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar ditamatkan tanpa alasan, bulan lalu, pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri kini giat menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ahmad Idham berkata, sudah tiba masa untuknya secara serius menyantuni masyarakat di luar yang selama ini menyokong kerjayanya hingga hari ini.

"Kejayaan selama 25 tahun dalam dunia seni disebabkan sokongan masyarakat. Sudah tiba masanya saya membalas jasa dengan memberikan semula kepada komuniti sebagai CSR.

"Produksi saya berjalan lancar, tetapi pada masa sama, saya terpanggil untuk fokus dengan program CSR selepas kontrak saya ditamatkan sebelum ini.

"Apa yang berlaku sebagai tanda untuk saya serius menjalankan usaha ini. Cuma bezanya, orang lain mungkin akan menyantuni asnaf, anak yatim dan sebagainya, tetapi saya melihat industri pendidikan khas untuk anak istimewa masih kritikal di Malaysia. Kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan ini juga kurang.

"Jadi, selepas berbincang dengan isteri, Amy Aziz, kami rasa lebih baik kami menggerakkan CSR di bawah sekolah kami, Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus," katanya kepada BH Online.

Semalam, Ahmad Idham bersama Amy menandatangani memorandum persefahaman antara Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus dengan Tadika Sinar Indah Berkat.

Memorandum ini menandakan satu jalinan usaha sama bagi mempertingkatkan pembangunan dan kesedaran terhadap Pendidikan Khas kepada golongan anak istimewa sekitar Ampang.

Bertepatan April sebagai bulan Autism Sedunia, usaha sama ini juga bakal memberi impak dan kesedaran lebih mendalam kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa agar lebih memahami kepentingan modul pembelajaran dan terapi yang terbaik.

Pengarah filem Adnan Sempit dan Syurga Cinta itu berkata, antara diperkasakan dalam memorandum adalah Tadika Sinar Indah Berkat sebagai tadika pertama di kawasan Ampang yang menyediakan khidmat pendidikan khas.

"Selain itu, kami mahu menyediakan khidmat saringan percuma bagi membantu ibu bapa mendapatkan pra diagnosis mengenai kelewatan anak dari segi akademik, mewujudkan program sokongan bersama komuniti ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.

"Dan juga menyediakan latihan untuk guru mendalami ilmu pengajaran kepada anak istimewa dan melaksanakan program kekeluargaan dari masa ke masa," katanya.

Ahmad Idham, Amy, Ahmad Firdaus bersama Pengetua Tadika Sinar Indah Berkat, Siti Balkeh Md Yusoff dan rakan kongsi, Siti Rohani Mohd Yaacob. - Foto Ihsan Ahmad Idham
Ahmad Idham, Amy, Ahmad Firdaus bersama Pengetua Tadika Sinar Indah Berkat, Siti Balkeh Md Yusoff dan rakan kongsi, Siti Rohani Mohd Yaacob. - Foto Ihsan Ahmad Idham

Bertanyakan mengapa Ampang menjadi lokasi pilihan, Ahmad Idham berkata, ia adalah lokasinya dan isteri membesar, selain Bukit Indah menjadi tempat permulaannya mereka mengusahakan tadika sejak 1998.

"Di Ampang, saya dan isteri mengusahakan tadika selama 14 tahun. Tadika ini juga adalah tadika pertama di Bukit Indah yang memperkenalkan kaedah montessori.

"Saya mahu mulakan Ampang sebagai Hab Pendidikan Khas dan insya-Allah, saya akan kembangkan ke seluruh Malaysia.

"Selepas termeterai usaha sama ini, saya akan memulakan gerakan bertemu beberapa sekolah dan menziarahi keluarga sekitar Ampang untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan khidmat bantuan saya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham berkata, pendidikan khas perlu perhatian di seluruh negara ini kerana ramai ibu bapa tidak mendapat pendedahan sebenar dalam menjaga anak istimewa.

Disebabkan itu, katanya, dia menubuhkan Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus yang juga dinamakan bersempena anak sulungnya, Ahmad Firdaus Ahmad Idham, 21, yang juga anak istimewa.

"Pada usia dua tahun, anak sulung saya diserang penyakit viral dalam otak. Disebabkan itu, Ahmad Firdaus mengalami kesukaran berjalan dan bertutur. Dia tergolong dalam anak yang mengalami kesukaran belajar.

"Jadi, bayangkan saya duduk dalam dunia pendidikan khas ini dari usia Ahmad Firdaus dua tahun dan kini, memasuki usia 21 tahun. Saya pernah berhijrah ke Johor Bahru bagi menghantarnya memasuki sekolah di Singapura.

"Ketika itu, saya memang mencari pendidikan khas untuk Ahmad Firdaus. Kita boleh lihat Singapura mengambil pendidikan khas secara serius dan sistematik berbanding Malaysia.

"Sistem sokongan terhadap anak istimewa di Malaysia juga agak kritikal, jadi saya kena lakukan usaha ini kerana mungkin ibu bapa yang ada anak istimewa sahaja memahami dan merasakan pendidikan khas ini satu keperluan," katanya.

Selain Ahmad Firdaus, Ahmad Idham dikurniakan tiga cahaya mata lain, Ahmad Aydeel, 18, Kintan Myra, 16, dan Ahmad Khaliff, 12.

Berita Harian X