X
Sabtu, 2 April 2022 | 5:27pm
Yana beruntung kerana setiap perkara dilalui menjadi inspirasi dalam lagu termasuk single terbaharu, I Need U. Foto Ihsan Yana
Yana beruntung kerana setiap perkara dilalui menjadi inspirasi dalam lagu termasuk single terbaharu, I Need U. Foto Ihsan Yana

Yana hargai kawan dalam lagu

KUALA LUMPUR: Sama seperti remaja lain, penyanyi, Shalma Eliana yang kini mahu dikenali sebagai Yana, pernah melalui fasa mencabar dalam hidup.

Namun, Yana beruntung kerana setiap perkara dilalui menjadi inspirasi dalam lagu termasuk single terbaharu, I Need U.

Namun, Yana, 22, enggan mengenang detik pahit yang pernah dilalui, sebaliknya, melihat kepada sisi positif seperti kelebihan mempunyai sistem sokongan yang kuat untuk bangkit semula.

"Lagu ini datang ketika saya berada pada tahap paling rendah dalam hidup. Teman-temanlah yang membantu melalui fasa itu.

"Saya beruntung mempunyai kelebihan itu. Saya juga mahu semua orang sedar hidup kita sangat beruntung dengan pelbagai nikmat walau ada cabarannya.

Video muzik single I Need U menampilkan rakan-rakan Yana yang menjadi sumber kekuatan selama ini. Foto Ihsan Yana
Video muzik single I Need U menampilkan rakan-rakan Yana yang menjadi sumber kekuatan selama ini. Foto Ihsan Yana

"Jadi, ia sangat penting untuk kita hargai semua ini dalam melihat keindahan dunia," katanya kepada BH Online.

Yana berkata, lebih istimewa apabila video muzik single I Need U menampilkan rakan-rakannya yang menjadi sumber kekuatan selama ini.

"Lagu yang menjelaskan kepentingan sistem sokongan ini ditujukan buat rakan-rakan saya. Video muzik kami rakam di Port Dickson, Negeri Sembilan. 

"Cerita di sebalik lagi adalah bagaimana kita semua saling memerlukan. Kawan-kawan yang tampil dalam klip video terbabit semuanya beraksi spontan dan kami tidak perlu berlakon," katanya.

"Secara tidak langsung, ini membuatkan saya sedar betapa pentingnya kehadiran dan sokongan rakan-rakan dalam membantu saya bangkit semula," katanya.

Tambah Yana, episod hitam yang dilalui tidak mampu menghalang dirinya daripada terus aktif dalam industri muzik tempatan. 

Biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran, Yana percaya dengan melakukan penjenamaan baharu, dia beroleh semangat.

"Sekarang saya bersedia menimba banyak pengalaman dengan sebuah lagi karya berbahasa Inggeris.

"I Need U adalah lagu yang ditulis dalam bilik tidur saya. Istimewanya, ia dihasilkan penerbit yang kian meningkat naik iaitu SeaTravel, " katanya yang berhasrat menarik perhatian kelompok pendengar baharu melalui single terbabit.

I Need U boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 25 Mac lalu.

Video lirik single ini juga sudah dimuat naik di YouTube Universal Music Malaysia.

Berita Harian X