Jumaat, 25 March 2022 | 1:00pm
Saharul yang mula mendekatkan dengan dengan ilmu agama, tidak menolak tawaran berlakon jika watak diberi sesuai dengan penampilan dirinya sekarang. Foto IG Saharul Ridzwan
Saharul yang mula mendekatkan dengan dengan ilmu agama, tidak menolak tawaran berlakon jika watak diberi sesuai dengan penampilan dirinya sekarang. Foto IG Saharul Ridzwan

Teman 'jentik' hati Saharul

KUALA LUMPUR: Kata-kata seorang kenalan baharu yang meluahkan keyakinan mereka pasti bertemu lagi kerana Allah, benar-benar menjentik naluri Saharul Ridzwan untuk merenung diri dan kehidupan.

Tidak hairanlah, sejak tahun lalu pelakon sasa yang mula dikenali selepas membintangi drama Love You Mr Arrogant pada 2013 ini mula 'low profile' serta lebih mendekatkan diri dengan kegiatan kerohanian dan keagamaan.

Semuanya bermula Ramadan tahun lalu apabila Saharul, 33, diperkenalkan dengan seorang peniaga yang meninggalkan dirinya dengan kata-kata ringkas, tetapi sangat mendalam.

Bertolak daripada itu, Saharul mula mendekatkan diri dengan Allah dan mendalami ilmu agama menerusi jemaah tabligh.

"Ada seorang sahabat, Amar berjumpa saya tahun lalu. Ketika itu, saya sedang berfikir jenis bisnes yang akan diusahakan jika tidak lagi berlakon.

"Sahabat saya itu menjual topi. Dahulunya dia seorang jurutera yang kemudian berhenti kerja dan menjalankan kegiatan dakwah serta pada masa sama, berniaga.

"Pada awalnya, saya fikir dia mahu menyuruh saya mempromosikan barangan jualannya, tetapi tidak. Sebelum pulang, dia menyatakan keyakinan bahawa kami akan berjumpa lagi, suatu hari nanti kerana Allah.

"Disebabkan ayat itu, saya banyak berfikir. Daripada situlah terbuka hati saya untuk mendalami agama.

Saharul tersentuh apabila temannya, Amar mengucapkan kata-kata penuh hikmah hingga mendorong dirinya merenung semula kehidupan. Foto IG Saharul Ridzwan
Saharul tersentuh apabila temannya, Amar mengucapkan kata-kata penuh hikmah hingga mendorong dirinya merenung semula kehidupan. Foto IG Saharul Ridzwan

"Saya tidak pernah kenal dan jumpa Amar sebelum ini. Tetapi ayat yang dikatakan itu penuh dengan kasih sayang sehingga membuatkan saya tersentuh," katanya kepada BH Online.

Sejak itu, Saharul akui dia perlahan-lahan memperbaiki diri dengan menyertai majlis agama, berjemaah di masjid dan sebagainya.

Walaupun begitu, kata Saharul, tidak bermakna dia mahu melupakan dunia lakonan. Saharul tidak menolak jika ada kesesuaian, mungkin dirinya sedia menimbang sebarang tawaran.

"Saya tidak berhenti berlakon. Sepuluh tahun saya dalam bidang ini dan minat masih ada. Kalau berhenti, saya akan merindui kerjaya ini.

"Dunia lakonan ada banyak cabang, bukan berlakon drama sahaja. Jadi, saya mahu cuba mengubah arah lakonan saya. Dari genre romantik mungkin ke arah Islamik.

"Biarpun sejak 2016 saya elak adegan bersentuhan, tetapi untuk berlakon sekarang, saya masih perlu meminjamkan rasa.

"Sekarang saya sedang belajar pergi masjid dan mencintai Nabi. Jadi, apabila kita campur adukkan rasa itu, ia tak sesuai," katanya.

Sehubungan itu, Saharul tidak menafikan tumpuannya lebih terarah kepada bidang perniagaan sementara menantikan tawaran berlakon dengan watak yang sesuai dengan pegangannya.

"Baru-baru ini ada yang menawarkan saya berlakon filem. Tetapi saya fikir, belum masa untuk menerimanya.

"Kalau saya terima, habislah apa yang saya usahakan sekarang di mana ia baru hendak bercambah. Insya-Allah, tahun depan saya akan berlakon jika ada rezeki," katanya yang kali terakhir berlakon dalam drama Mr Bibik bersama Zara Zya.

Ditemui pada majlis pembukaan Restoran Human Gang yang diusahakan bersama pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad serta dua rakan kongsi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Rabu lalu, Saharul teruja berkongsi projek terbarunya itu.

Saharul berkata, pada mulanya, mereka merancang membuka kedai makanan beku, namun tidak kesampaian.

"Biarpun saya dan Nabil dalam industri sama, kami tidak pernah bekerjasama. Selepas berjumpa pada majlis ilmu yang dianjurkan selama tiga hari, Ramadan tahun lalu, kami berbincang untuk membuka kedai makanan beku.

"Bagaimanapun, projek itu tidak jadi dan masing-masing kecewa. Namun, kami terima dan fikir ada perkara lebih baik Allah hendak beri," katanya.

Saharul berkata, mereka bekerjasama dengan dua rakan kongsi dengan seorang daripadanya adalah cef yang tiga dekad berkecimpung dalam dunia sajian.

"Alhamdulillah, dalam tempoh dua bulan sahaja, kami berjaya merealisasikan projek Restoran Human Gang," katanya.

Saharul mengaku pernah berdoa dan berharap tahun ini dia dapat memiliki perniagaan sendiri, bukan sekadar projek kolaborasi atau menjadi duta.

"Alhamdulillah, tahun ini saya ada perniagaan dan terbabit 100 peratus. Saya bertanggungjawab dalam memilih makanan dan melihat hasilnya.

"Syukur, Allah perkenankan doa saya," katanya yang bakal menyambut Ramadan di Tanah Suci bersama isteri, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir.

Berita Harian X