Ahad, 20 March 2022 | 3:44pm
Shila melakar kejayaan bersama kumpulan SOG apabila lagu dendangan mereka, Pelukan Angkasa mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36, baru-baru ini. Foto Ihsan TV3
Shila melakar kejayaan bersama kumpulan SOG apabila lagu dendangan mereka, Pelukan Angkasa mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36, baru-baru ini. Foto Ihsan TV3

Shila Amzah mohon maaf kepada media

PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada media bahasa Melayu tempatan selepas lapan tahun berlakunya kemelut yang menjejaskan hubungan dengan wartawan.

Membuat permohonan maaf itu melalui program Melodi yang disiarkan secara langsung oleh TV3, tengah hari tadi, Shila mengakui kontroversi itu luar kawalan dirinya.

"Saya minta maaf kepada media yang terguris hati dengan apa yang berlaku sebelum ini. Segala apa yang berlaku adalah di luar kawalan saya.

"Saya tidak diberi ruang untuk membuat keputusan sendiri pada masa itu. Jika saya ada akses, pasti saya boleh bersemuka dengan media untuk menjelaskan perkara sebenar.

Shila mendakwa tidak diberi ruang untuk membuat keputusan sendiri ketika kemelut bersama media bahasa Melayu tercetus, kira-kira lapan tahun lalu. Foto IG Shila Amzah
Shila mendakwa tidak diberi ruang untuk membuat keputusan sendiri ketika kemelut bersama media bahasa Melayu tercetus, kira-kira lapan tahun lalu. Foto IG Shila Amzah

"Jauh di sudut hati, saya mengharapkan kemaafan daripada kalian semua. Saya juga tidak mahu isu ini dipanjangkan lagi," katanya dalam temubual lebih empat minit itu.

Penyanyi Patah Seribu ini turut meluahkan rasa kesal dan menyifatkan kemelut itu memberi kesan emosi kepada dirinya.

"Andai dapat dapat diundurkan masa, saya tidak mahu kemelut itu berlaku. Bagi saya, keputusan untuk membawa kes itu ke mahkamah tidak sepatutnya dibuat.

"Ia bukan sahaja membuang masa, malah, membazirkan wang ringgit. Kadang-kadang apabila hendak pergi mahkamah, saya rasa berat hati.

"Apa yang saya alami itu adalah satu titik hitam dalam diri saya. Moga ia menjadi pengajaran buat saya serta anak seni yang lain," luah Shila.

Mengakui tidak menyimpan dendam, Shila atau nama sebenar, Nur Shahila Amir Hamzah berharap penjelasannya itu dapat menjernihkan keadaan dan dia dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang.

"Saya tidak salahkan sesiapa dengan apa yang berlaku pada masa lalu. Saya hanya mahu hidup tenang.

"Malah, saya juga tidak mahu berdendam dengan sesiapa. Saya harap mereka yang terguris itu dapat memaafkan saya.

"Kalau mereka tidak mahu berkawan dengan saya selepas ini pun, tidak mengapa. Tetapi saya bersyukur kerana pada sidang media Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36, baru-baru ini, ada media yang sudah boleh memandang mata saya berbanding sebelum ini... Itu juga petanda baik buat saya," katanya.

Kontroversi membabitkan Shila dan media berbahasa Melayu tercetus apabila penyanyi Memori itu memuat naik status di Instagram (IG) di mana dia memuji media berbahasa Cina yang membuat liputan meluas kerjaya seninya, berbanding media berbahasa Melayu yang lebih fokus kepada kisah peribadi dan gosip.

Kenyataannya itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan media dan menyifatkan penyanyi itu lupa diri selepas berjaya menempa nama di China.

Berita Harian X