Sabtu, 19 March 2022 | 11:00am
Tunku Ismail, Kim Lim dan Joe Flizzow pada majlis menandatangani perjanjian strategik lagu tema rasmi JDT. Foto IG Joe Flizzow
Tunku Ismail, Kim Lim dan Joe Flizzow pada majlis menandatangani perjanjian strategik lagu tema rasmi JDT. Foto IG Joe Flizzow

Pioneers obor semangat JDT

KUALA LUMPUR: 'I'm a champion, pioneer for the future ahead.' (saya juara, pelopor masa hadapan).

Demikian antara bait lirik lagu Pioneers yang bakal menjadi kebanggaan, bukan saja dalam kalangan penyokong Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim FC (JDT), malah peminat bola sepak tempatan.

Pioneers yang menjadi lagu tema rasmi JDT menggunakan lirik Bahasa Inggeris sepenuhnya, dinyanyikan legenda hip hop antarabangsa, Snoop Dogg dan pencetus irama hip hop tempatan, Joe Flizzow, sekali gus membuktikan JDT berada pada kelas tersendiri.

Judul Pioneers menjadi pilihan kerana membawa maksud perintis atau pelopor yang bakal menjadi sumber inspirasi bagi pasukan JDT dan penyokong di seluruh negara bagi mencapai kejayaan dalam hidup.

Malah, imej dipaparkan pada permulaan video muzik Pioneers adalah Stadium Sultan Ibrahim yang dipilih sebagai 'Stadium Of The Year 2020' oleh StadiumDB.com.

Kemudahan serba canggih ini mampu memuatkan kapasiti 40,000 penonton di atas tapak berkeluasan 28.3 hektar.

Pioneers yang menjadi lagu tema rasmi JDT menggunakan lirik Bahasa Inggeris sepenuhnya, dinyanyikan Snoop Dogg dan Joe Flizzow. Foto IG Joe Flizzow
Pioneers yang menjadi lagu tema rasmi JDT menggunakan lirik Bahasa Inggeris sepenuhnya, dinyanyikan Snoop Dogg dan Joe Flizzow. Foto IG Joe Flizzow

Lagu Pioneers bukan saja menjadi strategi penjenamaan global JDT, malah bakal menjadi sumber inspirasi bagi membolehkan peminat menyalurkan dan menghargai inti pati nilai kemenangan JDT iaitu mentaliti, inovasi, disiplin dan kecemerlangan pada peringkat tertinggi.

Ini dilengkapi imej pemain skuad, lambang JDT dan detik kejuaraan yang pernah dirangkul pasukan itu.

Sudah pasti, idea menghasilkan lagu tema rasmi JDT tercetus daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Kelab JDT sebagai penggemar muzik hip hop.

Malah, penggunaan lirik Bahasa Inggeris dijangka mendukung populariti JDT di persada antarabangsa yang juga menjadi antara strategi penjenamaan global bijak pasukan ini.

Lebih menarik, lagu ciptaan SonaOne dipersembahkan Snoop Dogg yang dianggap ikon hip hop global dan Joe Flizzow yang juga Presiden Def Jam Recordings SEA.

Ini kali kedua Snoop Dogg dan Joe Flizzow bergabung di mana pada tahun lalu, Snoop Dogg memilih Joe Flizzow untuk bekerjasama bagi album baharu menampilkan artis hip hop dari seluruh dunia.

Malah, sebelum ini, peminat Joe Flizzow yang mengikuti video pendek perbualannya di YouTube tertanya-tanya mengapa beliau menyarung jersi JDT tanpa tujuan.

Namun, kelmarin semua persoalan terjawab apabila lagu tema baharu JDT itu dilancarkan secara rasmi.

Tunku Ismail berkata, setiap bait lirik Pioneers memiliki makna mendalam dan mampu menjadi inspirasi kepada semua.

"Lagu ini bukan sahaja menjadi strategi penjenamaan global, malah bakal menjadi sumber inspirasi bagi membolehkan peminat menyalur dan menghargai inti pati nilai kemenangan JDT iaitu mentaliti, inovasi, disiplin dan kecemerlangan di peringkat tertinggi.

"Lagu tema ini bukan saja amat bermakna bagi kelab, malah penyokong JDT di seluruh negara.

"Saya yakin ia mampu mengukir senyuman tidak ternilai dalam kalangan penyokong yang sentiasa setia bersama kami," katanya.

JDT mengorak selangkah lagi ke hadapan dengan apabila menjalin kerjasama strategik baharu dengan Universal Music Asia Tenggara (UM SEA) dan Def Jam Recordings SEA bagi penerbitan lagu tema rasmi kelab itu bertajuk Pioneers seperti yang diumumkan, kelmarin.

Universal Music Group adalah syarikat muzik terbesar dunia dengan sejarah artis yang memenangi anugerah dan muzik hebat serta membentuk industri hiburan hampir 100 tahun.

Difahamkan single Pioneers akan menjadi permulaan bagi jalinan kerjasama antara JDT dan Universal Music pada masa hadapan.

Pada majlis itu, Tunku Ismail turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pengedaran keluaran lagu Pioneers oleh Snoop Dogg dan Joe Flizzow sebagai Lagu Tema Rasmi JDT 2022, di ibu pejabat JDT di Iskandar Puteri, Johor, kelmarin.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Sdn Bhd, Kim Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim serta Joe Flizzow.

Sementara itu, Joe Flizzow terharu diberi kesempatan berganding dengan legenda hip hop dalam projek istimewa itu.

"Saya terharu dapat berganding dengan Snoop Dogg dan tertarik dengan mesej disampaikan dalam lagu Pioneers. Saya berterima kasih atas peluang ini," katanya yang menganggap tawaran merakamkan lagu tema rasmi JDT sebagai sesuatu yang berbeza.

Sementara itu, Kim Lim berkata, kolaborasi artis adalah antara satu kuasa kreatif terbesar yang memacu muzik dan jenama hari ini.

Tambahnya, keindahan perkongsian dengan JDTFC ini menyediakan peluang bagi artis tempatan dan jenama tempatan berganding dengan bintang antara bangsa seperti Snoop Dogg.

"Saya yakin kerjasama ini membuka peluang baharu antara Universal Music Malaysia dan JDTFC pada masa akan datang.

"Video muzik Pioneers yang ditayangkan pada acara hari ini (kelmarin) dimuat naik di semua akaun media sosial rasmi JDT dan saluran YouTube JDT TV mulai Khamis lalu," katanya.

Berita Harian X