Isnin, 14 March 2022 | 8:30am
Ahmad melakukan kunjungan hormat di pejabat Md Nasir bagi membincangkan isu industri kreatif, baru-baru ini. - Foto IG FINAS
Ahmad melakukan kunjungan hormat di pejabat Md Nasir bagi membincangkan isu industri kreatif, baru-baru ini. - Foto IG FINAS

Penjenamaan semula MyCAP tingkat kepakaran

KUALA LUMPUR: Meskipun bersikap terbuka terhadap cadangan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) agar Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) dikaji semula, namun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tetap mengiktiraf sumbangan program berkenaan dalam membangunkan industri seni kreatif tempatan.

Memperjelaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim mengakui, fungsi MyCAP yang jauh lebih berkesan berbanding skim Padu Citra yang dimansuhkan pada 1 Februari, tahun lalu.

"FINAS menerima pandangan FDAM dan bersikap terbuka mengenainya. Bagaimanapun, FINAS yakin terhadap peranan MyCAP yang lebih holistik bagi membantu melonjakkan kepakaran penggiat kreatif ke tahap lebih tinggi.

"Program MyCAP adalah penambahbaikan lebih berkesan terhadap fungsi Padu Citra, sebelum ini," katanya kepada BH Online.

Md Nasir memaklumkan untuk memantapkan fungsi MyCAP dan menjadikannya relevan dengan situasi semasa, program itu akan menerusi proses penjenamaan semula.

"MyCAP akan dijenamakan semula mengikut keperluan ekosistem semasa yang dikenal pasti dalam industri kreatif," ujarnya.

Terdahulu, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim memaklumkan cadangan FDAM memperkenalkan semula skim Padu Citra mendapat maklum balas positif daripada FINAS.

Ahmad Ibrahim dipetik berkata, FINAS bersetuju memperkenalkan semula Padu Citra, tetapi dengan nama baharu yang akan diumumkan berdasarkan perbincangan dilakukan bersama perbadanan itu.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri ketika mengulas perkara itu mendakwa, kenyataan Ahmad berhubung keputusan FINAS yang bersetuju memperkenalkan semula skim Padu Citra bercanggah dan mengelirukan.

"Saya baca kenyataan dikeluarkan Md Nasir di IG. Ia dilihat bercanggah dengan apa yang dikatakan Presiden FDAM. Jadi Ahmad kena perjelaskan kenyataannya menerusi hasil perbincangan dengan FINAS.

"Disebabkan berlaku percanggahan, penggiat industri kreatif akan keliru, sekali gus menampakkan kenyataannya seperti rekaan.

"Untuk mengelakkan timbul dakwaan berunsur penipuan, Ahmad kena perjelaskan perkara ini," tegas Ahmad Idham.

Ahmad Idham berpendapat, kenyataan Ahmad berhubung keputusan FINAS bersetuju memperkenalkan semula skim Padu Citra bercanggah dan mengelirukan. - Foto IG Ahmad Idham
Ahmad Idham berpendapat, kenyataan Ahmad berhubung keputusan FINAS bersetuju memperkenalkan semula skim Padu Citra bercanggah dan mengelirukan. - Foto IG Ahmad Idham

Terus mempertahankan kredibiliti MyCAP dalam membantu meningkatkan kemahiran dan tahap profesionalisme ahli, Ahmad Idham berkata, FDAM perlu keluar daripada pemikiran kuno jika mahu persatuan berkenaan mendapat sokongan kelompok pengarah muda.

"FDAM, antara persatuan yang enggan menyertai MyCAP. Bagi saya, keputusan itu satu kerugian kepada ahlinya.

"Jika kita lihat persatuan seni lain seperti Persatuan Dokumentari Malaysia dan Persatuan Sinematografi Malaysia yang sedang giat mengadakan kursus dan latihan bertaraf antarabangsa untuk ahli, sedangkan FDAM masih dengan bengkel asas peringkat domestik.

"Disebabkan itu, ramai pengarah muda lebih berminat menyertai Pertubuhan Karya Sutradara Sinematik Malaysia (MCAG) di bawah pimpinan Khir Rahman dan Pertubuhan Pencipta Kandungan Kreatif Digital Malaysia (DCAM) yang diterajui Ghaz Abu Bakar kerana dua persatuan ini lebih relevan dalam situasi industri kreatif, hari ini.

"Kalau FDAM benar-benar hebat dan relevan, kenapa perlu nak tubuhkan dua persatuan ini?," ujurnya yang juga antara individu penting di sebalik penubuhan MyCAP.

MyCAP adalah inisiatif FINAS untuk mewujudkan satu pangkalan data berpusat penggiat industri kandungan kreatif di Malaysia yang boleh diakses secara 'real time' pada bila-bila masa melalui Sistem Pengurusan & Pemantauan Industri Kreatif (SPPIJK).

Ia disertai Persatuan Sinematografi Malaysia; Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN); Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia; Persatuan Dokumentari Malaysia dan Persatuan Audio Malaysia.

Turut terpilih Pertubuhan Karya Sutradara Sinematik Malaysia; Persatuan Pekerja Profesional Solekan dan Kesan Khas Filem & TV; Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia; Yayasan Artis Veteran Malaysia dan Pertubuhan Pencipta Kandungan Kreatif Digital Malaysia.

Berita Harian X