Jumaat, 11 March 2022 | 1:00pm
Ezzanie beralih arah kepada bidang lakonan selepas bergelar model sambilan dan pemengaruh. - Foto IG Ezzanie Jasny
Ezzanie beralih arah kepada bidang lakonan selepas bergelar model sambilan dan pemengaruh. - Foto IG Ezzanie Jasny

Beri pemengaruh media sosial peluang sebelum nilai

KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Ezzanie Jasny, 23, mohon ubah persepsi pemengaruh media sosial hanya bersandarkan pada wajah cantik, sedangkan bakat belum diuji.

Sebagai model dan pemengaruh media sosial, Ezzanie berkata, seharusnya kelompok itu diberikan ruang untuk membuktikan bakat dalam bidang lakonan sebelum dinilai.

"Tidak adil menghakimi seseorang hanya sebab pemengaruh media sosial dan mempertaruhkan wajah cantik. Kenalah ubah pemikiran itu.

"Apabila diberi peluang, takkanlah mahu menolaknya disebabkan mulut orang mengatakan popular disebabkan muka sahaja, sedangkan bakat belum teruji.

"Jadi, apapun kena cuba terlebih dahulu, itulah yang saya fikir. Sebelum ini, saya seorang model peragaan sambilan.

"Namun, agak membosankan sekiranya saya fokus pada satu pekerjaan sahaja. Jadi, sekarang saya cuba beralih arah kepada industri lakonan, nak uji kemampuan bakat saya sampai mana," katanya kepada BH Online.

Ezzanie atau nama sebenarnya, Nur Ezzanie Sherazade Jasny berkata, dia perlahan-lahan cuba mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

Katanya, dia tidak menyangka daripada hanya watak ekstra lalu lalang dan kini, diberikan kepercayaan membawa watak heroin dalam drama Sayang Tak Dikenang arahan Feroz Kader yang menghiasi slot Akasia di TV3.

"Sebenarnya, saya bermula menjadi pelakon ekstra lalu lalang sahaja, arahan Feroz. Seingat saya, tawaran pertama menerusi drama Cinta Nan Grata pada 2019.

"Saya masih belajar ketika itu. Secara kebetulan, saya ada masa terluang, jadi terima tawaran Feroz yang meminta menjayakan watak ekstra pada saat akhir.

"Alhamdulillah, kemudiannya saya diberikan watak berdialog. Namun, saya ambil masa nak terima tawaran lakonan disebabkan tuntutan tugas sebagai model.

"Saya hanya aktif berlakon semula sejak tahun lalu," katanya graduan bidang perniagaan di KDU University College itu.

Ezzanie membuktikan bakatnya menerusi drama Sayang Tak Dikenang bergandingan dengan Fadlan dan Ruhainies. - Foto IG Fadlan Hazim
Ezzanie membuktikan bakatnya menerusi drama Sayang Tak Dikenang bergandingan dengan Fadlan dan Ruhainies. - Foto IG Fadlan Hazim

Ezzanie berkata, dia bersyukur dipertemukan dengan orang yang baik-baik sejak menyertai dunia lakonan.

"Jika tak, berlakon pun jadi tak seronok," katanya yang ditemui pada sidang media drama Sayang Tidak Dikenang, secara virtual, baru-baru ini.

Menerusi drama Sayang Tak Dikenang arahan Feroz itu, Ezzanie memegang watak Hattin Isabella bergandingan dengan watak utama, Fadlan Hazim dan Ruhainies.

Drama bersiri 28 episod itu kini sedang ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3 sejak 4 Mac lalu.

Mengulas drama terbitan FJ Pictures Sdn Bhd itu, Ezzanie berkata, dia berharap lakonan diterima dan cuba memperbaiki kualiti daripada masa ke semasa.

"Sebenarnya, saya belum yakin boleh menjayakan drama ini. Feroz banyak kali tawarkan saya peluang lakonan, tetapi empat kali saya tolak.

"Saya rasa belum layak membawakan watak berbeza daripada drama terdahulu. Sebelum ini, saya banyak membawakan watak antagonis iaitu seperti anak derhaka.

"Namun, saya perlu banyak bermain dengan emosi, mental dan fizikal menerusi watak Hattin ini.

"Jadi, saya fikir apa salahnya kali ini saya mencuba watak lebih besar, walaupun saya seperti bidan terjun," katanya.

Berita Harian X