Khamis, 10 March 2022 | 8:30am
Ahmad Idham menerima perlantikan sebagai Penolong Pesuruhjaya Bersekutu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi meneruskan kerja khidmat masyarakat. - Foto Ihsan Ahmad Idham
Ahmad Idham menerima perlantikan sebagai Penolong Pesuruhjaya Bersekutu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi meneruskan kerja khidmat masyarakat. - Foto Ihsan Ahmad Idham

Ahmad Idham kembali ke dunia pengarahan

KUALA LUMPUR: Ada hikmah di sebalik pemecatan selebriti berpengaruh, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 48, apabila kontrak sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar ditamatkan dalam tempoh 24 jam pada 23 Februari lalu.

Selain menerima pelbagai tawaran termasuk mengarahkan drama sebanyak 40 episod, aktor yang pernah mencetuskan fenomena menerusi drama Mr Cinderella pada era 1990-an itu akan kembali ke arena lakonan.

Ahmad Idham berkata, dia tidak pernah risau mengenai tawaran kerja kerana mempunyai perniagaan sendiri.

Namun, katanya, dia kini lebih berminat terhadap kerja khidmat masyarakat dengan melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Saya sudah berada dalam industri lebih 20 tahun. Minat saya kini lebih ke arah memberi semula kepada masyarakat.

"Ini kerana merekalah yang banyak menyokong menjadikan siapa saya hari ini.

"Secara kebetulan, saya mempunyai platform melalui APM, jadi kenapa saya tidak gunakan platform ini untuk tujuan melakukan kerja khidmat masyarakat," katanya yang baru sahaja dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Bersekutu (Pertahanan Awam).

Sementara itu, seminggu sudah berlalu, namun, belum ada sebarang penjelasan kukuh daripada Kementerian Luar berhubung pemecatan Ahmad Idham dan rakannya, Datuk Seri Eizlan Yusof, sekali gus menimbulkan persoalan apakah mereka dianiaya?

Ahmad Idham menerima surat penamatan kontrak selepas empat bulan berkhidmat sebagai Setiausaha Kebudayaan di bawah pimpinan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Awalnya, enggan mengusutkan fikiran, Ahmad Idham dan Eizlan menerima berita penamatan kontrak dalam tempoh 24 jam dengan hati yang terbuka.

Namun, apabila kerap diasak pertanyaan daripada teman dan masyarakat yang ingin mengetahui punca pemecatan hingga ada beranggapan mereka dianiaya, jadi mula timbul persoalan di hati.

Mengulas tidakkah terkilan dengan apa yang berlaku, Ahmad Idham berkata, sebagai manusia biasa pasti sedikit sebanyak kecewa kerana diberhentikan tanpa sebarang penjelasan.

"Mulanya, saya hanya ingin memandang ke depan dan melihat isu pemecatan daripada sudut positif.

"Namun, jika ke kedai atau ke mana sahaja, orang sekeliling yang tidak dikenali turut bertanya soalan sama, kenapa kami dipecat.

"Ada berpendapat kami dianiaya, sekali gus membuatkan saya terfikir mungkin ada benarnya apa yang dikatakan.

"Saya juga manusia biasa, takkanlah tiada sekelumit rasa terkilan. Dan, apabila mengingat semula tuduhan mendakwa saya ingin melobi isu politik, timbul keraguan di situ.

"Sedangkan saya langsung tidak terasa sebelum ini," katanya kepada BH Online.

Ahmad Idham dan Eizlan terasa hati apabila dituduh melobi mahu bertanding dalam PRU-15, sedangkan mereka tidak pernah menjadi ahli jawatankuasa bagi parti berkenaan di Pahang. - Foto Ihsan Ahmad Idham
Ahmad Idham dan Eizlan terasa hati apabila dituduh melobi mahu bertanding dalam PRU-15, sedangkan mereka tidak pernah menjadi ahli jawatankuasa bagi parti berkenaan di Pahang. - Foto Ihsan Ahmad Idham

Pengarah filem Adnan Sempit dan Hantu Bonceng itu berkata, dia menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana yakin dengan kepimpinan parti berkenaan.

"Sebelum ini, saya tidak pernah uar-uarkan penyertaan saya. Ini kerana ia adalah hak saya menyokong mana-mana parti.

"Namun, tidak sangka sebagai ahli BERSATU dan bekerja pula di bawah menteri yang bernaung di bawah BERSATU, saya diperlakukan sebegini.

"Jadi, mula timbul persoalan apakah tindakan menyertai parti ini satu keputusan betul?" kata Ahmad Idham.

Ahmad Idham berkata, apa yang membuatkannya lebih terasa hati apabila dia dan Eizlan dituduh melobi mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sedangkan mereka tidak pernah menjadi ahli jawatankuasa bagi parti berkenaan di Pahang.

"Kami tidak pernah menjadi komuniti parti BERSATU di Pahang. Inilah masalahnya apabila sehingga kini tiada jawapan berhubung pemecatan kami.

"Saya akui tertekan dan kerap diasak, sedangkan saya tiada jawapan. Lebih terkilan kenapa parti yang disertai sanggup melakukan seperti ini kepada saya dan Eizlan," katanya.

Bagaimanapun, kata Ahmad Idham, dia tidak ralat dengan pemecatan kerana sepanjang empat bulan menggalas tanggungjawab hampir 90 peratus sasaran tugasannya tercapai.

Selain itu, katanya, dia juga lega Unit Diplomasi Kebudayaan kini pada peringkat akhir untuk diangkat kelulusan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Apa yang penting, kewujudan unit ini diiktiraf. Siapa pun bernaung di bawah unit Unit Diplomasi Kebudayaan ini akan memacu usaha membawa karya, muzik dan produk Malaysia ke peringkat global.

"Saya juga masih boleh memberikan kerjasama sekiranya diperlukan, melainkan jika ada pihak yang ingin sabotaj untuk menunjukkan kegagalan, itu mungkin isu lain," katanya.

Berita Harian X