Selasa, 8 March 2022 | 11:00am
Mokhzani (kiri) dan Khairul Anwar (kanan) mengulas kemenangan dan penganjuran AJL 36 pada sidang media sejurus acara berprestij itu selesai. - NSTP/Aziah Azmee
Mokhzani (kiri) dan Khairul Anwar (kanan) mengulas kemenangan dan penganjuran AJL 36 pada sidang media sejurus acara berprestij itu selesai. - NSTP/Aziah Azmee

Pelukan Angkasa serlah anjakan muzik baharu

KUALA LUMPUR: Ketua juri Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL 36), Datuk Mokhzani Ismail menyifatkan lagu Pelukan Angkasa kolaborasi SOG dan Shila Amzah yang diangkat sebagai juara hadir dengan satu pakej muzik lengkap dan berbeza.

Katanya, karya ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishamuddin itu hadir dengan sisi berbeza, sekali gus membawa satu anjakan kepada muzik baharu.

"Unsur atau elemen yang pelbagai dalam lagu Pelukan Angkasa termasuk menggabungkan elemen tradisional dan moden yang menjadi nadi kepada penghasilan lagu ini.

"Setiap anggota SOG membawa peranan bagi membezakan lagu Pelukan Angkasa dengan karya finalis lain. Ditambah pula kehadiran Shila memberi nilai tambah.

"Sesebuah karya yang baik bukan bersandarkan kepada melodi baik semata-mata, malah, turut disokong lirik, susunan muzik dan persembahan secara langsung,

"Semua rangkuman ini ada dalam lagu Pelukan Angkasa," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, AJL 36 disiarkan secara langsung TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam kelmarin.

Selain Mokhzani, juri termasuk Datuk Habsah Hassan, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Edrie Hashim, Helen Yap, LY, Altimet dan Faizal Tahir.

Katanya, pendengar hanya mendengar sesebuah lagu, manakala, juri pula mengupas dan menganalisa.

"Memberi pemarkahan kepada lagu yang berada di pasaran dengan lagu baharu juga berbeza. Berada di pasaran bererti lagu ini memiliki kelompok peminat. Mereka mendengar lagu barangkali didorong minat terhadap penyanyi.

"Bagaimanapun, juri menganalisa lirik dan perjalanan lagu juga ada perbezaan.

"Tambah pula, mengadili semua genre lagu, jadi wujud kesukaran. Setiap juri ada cita rasa, namun, diingatkan mengetepikan cita rasa itu.

"Juri perlu menilai karya berdasarkan aspek lagu, lirik, gubahan muzik dan impak terhadap industri muzik," katanya.

Katanya, barisan juri sudah membuat penilaian 12 lagu berdasarkan markah 85 peratus diadili terlebih awal.

"Ia daripada segi melodi, lirik, vokal, produksi dan susunan dalam rakaman, manakala baki 15 peratus memberi nilai tambah kepada penentuan posisi atau kedudukan karya bertanding.

"Nyanyi secara rakaman semestinya berbeza persembahan 'live'. Rakaman album semua akan jadi sedap.

"Ada vokal yang pincang pun boleh guna teknologi 'auto tune' ketika rakaman.

"Jadi baki pemarkahan 15 peratus diadili menerusi persembahan dan vokal termasuk susunan muzik secara langsung pada malam kemuncak AJL 36," katanya.

Setiap anggota SOG membawa peranan bagi membezakan lagu Pelukan Angkasa dengan karya finalis lain, selain kehadiran Shila memberi nilai tambah.
Setiap anggota SOG membawa peranan bagi membezakan lagu Pelukan Angkasa dengan karya finalis lain, selain kehadiran Shila memberi nilai tambah.

Mokhzani berkata, lagu Cinta nyanyian Marsha Milan Londoh dengan persembahan dan vokal mantap membawa perubahan kedudukannya diangkat sebagai naib juara, mengalahkan Mimpi nyanyian Haqiem Rusli yang berada di tempat ketiga.

"Lagu duet Nafas Cinta dendangan Khai Bahar dan Aina Abdul berada di tangga keempat, manakala lagu Salahku nyanyian Yonnyboii pula pada kedudukan nombor lima.

Mokhzani berkongsi, kategori Vokal Terbaik menyaksikan persaingan sengit antara Marsha dan Aina.

"Marsha kalah tipis dengan Aina. Kedua-duanya bagus dan juri menilai semua sudut nyanyian.

"Ada kala jeritan penonton bukan jaminan. Juri lebih tahu dan telinga peka kepada teknik nyanyian artis.

"Saya dibantu Datuk Syafinaz Selamat dalam mengenal pasti teknik vokal lebih luas daripada sekadar lontaran di pentas," kata Mokhzani.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berpuas hati penganjuran dan penjurian AJL 36.

"Ia selaras transformasi Media Prima sebagai syarikat yang memerlukan jenama penting seperti AJL.

"Media Prima harus kekal relevan dan selaras dengan hala tuju yang ingin dicapai.

"Selain berpuas hati daripada sudut penjurian dan produksi, setiap persembahan ada momen magis," kata Khairul Anwar.

Mengulas mengenai AJL 36 yang mengundang 200 tetamu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa, Khairul Anwar akur, kehadiran penonton lebih bermakna.

"Edisi AJL sebelum ini dianjurkan tanpa penonton, memang ada kekurangan, namun kita akur situasi semasa. Kita mengalu-alukan SOP baharu untuk menggantikan yang sedia ada.

"Untuk industri kreatif melangkah lebih maju, kehadiran penonton tidak boleh diketepikan," ujarnya.

Berita Harian X