Ahad, 6 March 2022 | 11:22am
Foto terakhir dirakam Que bersama arwah ibu ketika berkunjung ke sebuah restoran, Januari lalu. Foto Ihsan Que Haidar
Foto terakhir dirakam Que bersama arwah ibu ketika berkunjung ke sebuah restoran, Januari lalu. Foto Ihsan Que Haidar

Ibu Que Haidar meninggal dunia akibat COVID-19

KUALA LUMPUR: Ibu pelakon Que Haidar, Rahmah Hussein, 68, meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, kira-kira jam 1.20 pagi tadi.

Berkongsi berita sedih itu, Que berkata, arwah ibunya juga menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, masalah jantung dan darah tinggi, sejak beberapa tahun lalu.

"Pagi semalam, kakak hubungi saya memaklumkan keadaan arwah. Emak nazak dan mengadu sakit dada kepada kakak saya.

Que berkongsi maklumat mengenai pemergian ibu tersayang melalui Instagram Story (IGs). Foto IG Que Haidar
Que berkongsi maklumat mengenai pemergian ibu tersayang melalui Instagram Story (IGs). Foto IG Que Haidar

"Sebelum itu, arwah alami serangan jantung sebanyak empat kali. Kali pertama, terjadi di rumah adik saya di Pasir Gudang manakala selebihnya di hospital.

"Saya segera pulang ke kampung sendirian memikirkan arwah ibu masih kuat.

"Malah, ketika itu, abang beritahu jantung emak kembali stabil. Namun, Allah lebih menyayanginya," katanya yang tiba di HSA kira-kira jam 6 petang, semalam.

Que atau nama sebenar, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar berkata, kali terakhir dia pulang ke kampung bertemu arwah ibu, Januari lalu.

"Kami sempat luangkan masa bersama. Saya bawa emak keluar berjalan dan menikmati asam pedas kegemarannya. Saya fikir hendak pulang ke Johor Bahru bulan ini dan mencuri masa bersamanya.

"Kebetulan, saya mengarahkan telefilem sulung, Bahalol di Mersing. Jadi, alang-alang hendak luangkan masa bersama emak. Namun, saya tidak sempat meneruskan hasrat itu," katanya.

Que berkata, isteri dan anak-anak sedang dalam perjalanan untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah ibunya.

Jenazah Allahyarham Rahmah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai, Johor, hari ini.

Allahyarham Rahmah meninggalkan 10 anak dan 27 cucu.

Berita Harian X